Friday, December 22, 2006

Dilema MPP UIAM

Sudah tiga bulan berlalu pasca Pilihanraya Kampus (PRK) 2006 pada September yang lepas. Mahasiswa serata kampus di Malaysia daripada KUKUM di Perlis hinggalah ke UMS di Sabah sudah pun melalui proses PRK untuk memilih pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk menduduki kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Keputusan PRK 06 yang didapati tidak sampai seminggu pasca PRK 06 telah menyaksikan barisan pemimpin pilihan mahasiswa di setiap kampus untuk mewakili suara kita di persada negara.

Namun, di saat MPP kampus-kampus lain sudah pun disahkan, malah sedang giat dengan aktiviti-aktiviti kampus semasa, malangnya lain pula yang berlaku di kampus UIAM. Barisan MPP, pemimpin pilihan mahasiswa UIAM di dalam PRK 06 yang lepas masih lagi kekal di dalam dilema yang tidak berkesudahan. Pemimpin-pemimpin MPP pilihan mahasiswa UIAM, sehingga ke hari ini masih gagal untuk mempunyai sebuah kabinet MPP yang disahkan. Hatta kampus UUM, sekalipun agak terlewat sedikit menjalani PRK 06 pun sudah mempunyai barisan kabinet MPP kampus yang sah.

Kita imbas sedikit keputusan PRK 06 yang lepas di mana golongan pemimpin mahasiswa yang dilabelkan sebagai Aspirasi disytiharkan menang lantas berjaya menawan kesemua kampus di Malaysia kecuali UIAM. UIAM menyaksikan golongan pemimpin mahaiswa yang dilabel sebagai pembangkang telah merampas kembali tampuk kepimpinan mahasiswa UIAM daripada tangan Aspirasi.

Perkembangan suasana kampus UIAM pasca PRK 06 yang lepas sememangnya cukup pelik tetapi merupakan kebenaran yang tidak dapat disembunyikan. Ini dapat diperhatikan apabila tiada satu pun notis, pekeliling apatah lagi poster yang dinaikkan oleh pihak berwajib untuk memaklumkan warga kampus berhubung dengan keputusan PRK 06 yang dilalui. Malah tidak ada sebarang usaha serius pun yang tampak daripada pihak berwajib untuk memaklumkan kepada warga kampus secara keseluruhannya tentang keputusan PRK 06 UIAM selain daripada pengumuman keputusan yang dibuat di sebelah malam pada hari PRK 06 yang lepas. Hanya notis-notis kecil yang menghiasi papan-papan notis serata kampus UIAM dibuat oleh pemimpin-pemimpin pilihan mahasiswa UIAM yang masih lagi tidak berkabinet.

Dilema ini bukanlah suatu isu kecil yang boleh dipandang remeh. PRK merupakan wadah untuk mahasiswa melaksanakan hak yang telah termaktub untuk bebas memilih pemimpin pilihan kita. Namun sekarang, dilema MPP UIAM ini membawa signifikasi penting untuk menunjukkan betapa hak kita sebagai mahasiswa sedang dipermain-mainkan. Pemimpin-pemimpin mahasiswa UIAM pilihan kita di dalam PRK 06 yang lepas telah diletakkan di dalam dilema sehingga gagal mempunyai kabinet MPP yang sah.

Hak kita untuk memilih pemimpin pilihan di dalam wadah PRK yang sah seolah-olah merupakan suatu permainan yang tiada nilai di mata kedewasaan yang rosak dengan nilai perpecahan. Lantas, di manakah letak nilai hak kita sebenarnya?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...