Wednesday, January 31, 2007

Konsert Rentaq Serantau Wajib Dibatalkan





Saya ingin merujuk kepada iklan penganjuran Konsert Rentaq Serantau yang akan diadakan pada hari sabtu 3 Februari 2007 di Stadium Melawati Shah Alam. Konsert tersebut yang dianjurkan oleh Syarikat Telekomunikasi Digi bakal menampilkan empat penyanyi terkemuka dari Malaysia dan Indonesia iaitu Search, Ella, Radja dan tidak ketinggalan Inul.Bak ungkapan Pepatah Melayu “Alah bisa tegal biasa”, penganjuran konsert seperti di atas sudah biasa diadakan apatah lagi melibatkan artis-artis tempatan mahupun dari Indonesia, namun apabila sesebuah konsert itu menampilkan Inul maka pasti majoriti Masyarakat Malaysia risau dan gusar akan keterlibatan artis tersebut untuk membuat persembahan.


Kehadiran Inul pasti sekali lagi menimbulkan kontroversi, terutamanya apabila beliau menari dengan tarian yang menggairahkan sambil menyajikan goyang gerudinya. Lantas timbul satu persoalan, apakah goyang gerudi inul itu sudah dihalalkan di negara ini untuk dipertontonkan kepada umum? Umum mengetauhi Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh harus dijauhkan daripada sebarang unsur-unsur yang cuba memberikan impak negatif kepada status ke Islaman Malaysia itu sendiri.


Apakah dengan niat untuk berhibur dan memikirkan keuntungan semata-mata, maka kita agak lunak di dalam membiarkan artis yang lebih goyang punggung daripada menyanyi hadir dan melekakan malah pasti menaikkan syahwat penonton-penonton konsert berkenaan yang kebanyakkanya terdiri daripada golongan muda dan pelajar.


Apakah semata-semata untuk menunjukkan kita bersikap toleransi terhadap fenomena budaya global, maka kita sanggup melihat idealisme, spiritualisme serta intellektualisme generasi muda kita dicabut tanpa kita sedari?


Di dalam melihat perkara di atas sudah tentu, beban kesalahan tidak harus diletakan kepada Inul itu sendiri, tetapi kepada pihak berwajib yang menjemput beliau untuk membuat persembahan terbuka kepada khalayak ramai.


Masyarakat Malaysia secara umumnya masih belum boleh menerima Inul untuk membuat persembahan di negara ini, memandangkan gaya persembahan beliau yang dikira lucah malah memalukan untuk ditonton.Apakah pihak penganjur konsert berani untuk memberikan jaminan agar beliau tidak menyajikan goyang gerudinya ketika membuat persembahan?


Dan jikalau ada jaminan pun, konsep persembahan beliau tidak sesuai malah bertentangan dengan syarak, adat dan budaya ketimuran yang masih menjadi pegangan dan jati diri Masyarakat Malaysia.Seharusnya pihak penganjur harus peka terhadap pelbagai usaha yang dijalankan oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan di dalam memastikan golongan muda di Malaysia membangun dengan keberdayaan akal fikiran yang sihat dan menjauhi gejala-gejala yang merosakan terutama yang menghakis akhlak dan sahsiah generasi muda.


Penganjuran konsert sedemikian pasti bertentangan dengan usaha terkini yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk mempertingkatkan kualiti pelajar. Di dalam halaman 67 pelan berkenaan, pemugaran kepada usaha-usaha cintakan ilmu pasti akan tidak kesampaian apabila penganjuran konsert-konsert seperti di atas dibudayakan malah diberikan publisiti meluas kepada masyarakat dan generasi muda yang pasti dahagakan cinta gejala hiburan melampau pula.


Penganjuran sesuatu konsert itu tidak salah asalkan ianya diurus dan diisi dengan program-program yang tidak merosakkan nilai, jatidiri serta akhlak penontonya.Justeru, memikirkan bentuk pengisian konsert Rentaq serantau tersebut serta kesan-kesan negatif yang bakal dirasai oleh generasi muda dan Masyarakat Malaysia, konsert sedemikian wajib dibatalkan.


MUHAMMAD BUKHORI BIN ALIAS

Setiausaha Agung PKPIM

Akhirnya MPP UIAM Disahkan!


Akhirnya, penantian mahasiswa Taman Ilmu dan Budi selama 4 bulan 4 hari berkesudahan dengan baik sekalipun dalam temph masa yang begitu panjang. Tanggal 25 Janurai yang lepas, kemenangan calon-calon PRK 06 UIAM untuk mengisi perjawatan di dalam MPP disahkan oleh pihak pentadbiran univerisiti. Tahniah diucapkan kepada MPP UIAM sesi 06/07.
Pukul 12 tghr. ini maka berlangsunglah upacara bai'ah MPP UIAM sesi 06/07 di dalam Conferrence Room, Cultural Activity Centre. Saf penuh perjawatan MPP UIAM mengangkat sumpah sebagai pemimpin-pemimpin mahasiswa UIAM selama sepenggal yang cuma tinggal 3/4 daripadanya.
Buktikan bahawa pilihan mahasiswa UIAM tepat...

Demonstrasi Tak Jadi! Penganjur Tak Dikenali...

Demonstrasi yang dijadualkan berlangsung selepas sahaja solat Jumaat 20 Januari yang lepas akhirnya tidak kesampaian. Hasrat untuk melihat perkumpulan pelajar besar-besaran memperjuangkan hak yang dinafikan akhirnya terbang dilayang angin. Namun yang menjadi persoalan kali ini adalah siapakah yang bertangguungjawab di atas penganjuran demonstrasi tersebut?



Hujan lebat yang turun di kala khutbah yang dibacakan oleh Dr. Farid Shahran sedang berlangsung telah menjadi petandan awal bahawa demonstrasi yang dijadualkan tidak akan berjalan lancar. Tambah meyakinkan telahan awal itu apabila Bapak-Bapak dan Emak-Emak Jaga sudah kelihatan mundar-mandir berkeliaran di sekitar Masjid SHAS UIAM. Penantian selama sejam akhirnya memutuskan bahawa hipotesis kegagalan penganjuran demonstrasi hari itu benar belaka.


Di dalam penantian itu, banyak sosok-sosok pemimpin daripada pelbagai lapisan yang kelihatan menunggu-nunggu peristiwa besar tersebut. Baiknya daripada yang dilabel pembangkang, kerajaan mahupun yang atas pagar dan orang-orang kebanyakan. Pensyarah-pensyarah, bapak-bapak pentadbiran hinggalah buruh-buruh kasar turut memenuhkan foyer masjid meskipun ada di antara mereka tidak tahu apa yang ditunggu.

Persoalan akan siapa penganjur demonstari semakin membiulkan. Baiknya mereka yang dilabel pembangkang mahupun orang atas pagar tidak mengaku menjadi penganjur. Mungkinkah mereka yang dilabel kerajaan yang sebenarnya menganjurkan demonstrasi ini?

Di dalam politik apa-apa boleh jadi. Meskipun tindakan tampak memberi manfaat kepada musuh, tetapi tindakan itu masih boleh dimanipulasi untuk menjatuhkan musuh. Malah mungkin sahaja mereka yang "dibuli" sengaja mencuba nasib. Kalau-kalau jadi, megahlah mereka dengan agenda mereka disambut oleh tangan-tangan mahasiswa. Kalau gagal, baling batu sembunyi tangan. Tidak mustahil bagi sesiapa sahaja untuk melakukannya walaupun di bibir mengaku tidak.

Dua tiga hari selepas kegagalan demonstrasi yang dianjurkan oleh "hantu" pihak pentadbiran universiti pun beraksi. Kain-kain rentang "peringatan" ditujukan khas buat mereka yang berkenaan supaya jangan sekali-kali mencabar kewibawaan pentadbiran universiti. Seolah-olah memberi ingat bahawa kebenaran dan keadilan ditentukan oleh tangan bapak-bapak pentadbir Universiti dan bukannya melalui teori-teori idealis penulis buku-buku mahupun tokoh-tokoh.

Apa-apapun, Demonstrasi Tak Jadi! Penganjur Tak Dikenali...

Monday, January 15, 2007

Tekanan Politik Parti Luar Punca Kegagalan Pengesahan SRC

Di dalam perjumpaan dengan salah seorang pegawai pentadbiran (yang mahu namanya dan jabatannya dirahsiakan) menyatakan bahawa pentadbiran UIAM khususnya Students Development Division (S-Dev) ditekan dengan hebat oleh parti politik luar yang menyebabkan kegagalan pengesahan MPP UIAM sehingga sekarang.
Di dalam menghitung hari sebelum genap 4 bulan pihak pentadbiran UIAM gagal menunaikan hak mahasiswa UIAM, parti politik luar masih lagi menghantui S-Dev dengan mengancam untuk menyekat umbangan kewangan untuk menjayakan program-program anjuran mahasiswa UIAM samada di dalam mahupun luar kampus. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila program-program anjuran mahasiswa UIAM sukar untuk mendapat sumbangan kewangan daripada pihak-pihak penyumbang luar yang terdiri daripada syarikat-syarikat, badan-badan kerajaan dan lain-lain.
Tekanan politik daripada luar ini akhirnya menyebabkan hak mahasiswa UIAM dinafikan sehingga ke hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...