Tuesday, January 27, 2009

Syor tolak calon kepartian


Pilihan raya kampus (PRK) merupakan medan terbaik dalam mendewasakan pandangan politik mahasiswa. Kematangan dalam berpolitik adalah sangat dituntut agar nilai dan semangat sebenar kemahasiswaan tidak dikesampingkan yang menjurus kepada sikap tidak benar dan berterusan diperalat golongan ketiga yang sedia menanti ruang silap generasi penerus kecemerlangan negara yang bakal membuka pintu polemik yang berterusan.


Kekuatan sebenar mahasiswa seharusnya diserlah menerusi peti undi PRK. Juteru sikap non-partisan yang menjadi tunjang kekuatan suara ketiga (the third voice) yang jelas tidak menjadi bayangan kepada mana-mana parti politik luar adalah pelu disuburkan kembali di arena politik kampus. Keadaan semasa jelas menggambarkan sebaliknya.


Kita perlu berasa kecewa dan dukacita sekiranya perkara ini tetap menjadi penentu utama dalam PRK tahun ini. Oleh itu, seruan kepada semua mahasiswa kampus agar menolak calon yang bertanding atas ideologi politik kepartian yang menebal sehingga mengabai objektif dan matlamat kemahasiswaan.


Calon yang membawa aspirasi mahsiswa, yang jujur dan amanah, matang dan berhikmah, luhur akhlak serta tinggi kualiti intelektualnya harus diterima dan diletakkan ditempatnya. Secara umumnya mereka harus menginsafi dan menjiwai teras 3P iaitu, prihatin, pembela dan pendidik.


Pertama. mereka harus bersifat prihatin kepada masyarakat kampus, penduduk di lokaliti setempat serta rakyat Malaysia dan dunia umumnya. Semangat kepedulian umat ini tidak akan ahir sehari dua dalam tempoh berkempen, tetapi ia adalah suatu proses yang panjang dan berterusan.


Pimpinan mahasiswa dan masyarakat luar adalah ibarat satu badan yang sekiranya dicubit peha kanan peha kiri turut terasa pedihnya. Bersatu dengan masyarakat bukan sahaja mampu mengarusperdanakan mahasiswa malah memastikan mereka kekal relevan dalam cabaran dunia semasa.


Kedua, mereka harus sedia membela atas prinsisp keadilan dan kebenaran. Mereka bukan sahaja simpati dan empati terhadap permasalahan masyarakat malah sedia dan berani mengenengahkannya di pentas yang sepatutnya.


Kemandulan dan kebaculan mahasiswa jelas tergambar apabila mereka bukan sahaja gagal membela nasib umat malah diri mereka sendiri sering diperkotak-katikkan. The angry young man tidak sepatutnya terus dikambinghitamkan dalam setiap permasalahan.


Ketiga, menjiwai roh pendidik dalam usaha membela dan mengangkat martabat umat. Pembelaan buta tanpa disokong nilai perubahan dan pemulihan akan hanya merugikan semua. Justeru pandangan ilmu yang sebenar dan kuasa ilmiah harus diselarikan dengan semangat aktivisme.


Selain nilai ilmiah, konsep pendidik ini juga perlu dihimpun bersama nilai ta’dib yang membawa semangat merubah kepada keperebadian unggul dan berakhlak mulia selaras dengan ajaran Islam dan lain-lain agama.


Dalam konteks ini, kita harus memilih pemimpin yang teradun sebati bersama nilai aktivisme dan intelektualisme selain mampu menjadi contoh tauladan yang baik kepada semua seperti yang yang ditekankan dalan ciri kepimpinan al-Mawardi.


Secara keseluruhannya, calon yang terbaik harus mempunyai kekuatan ilmu dan kebijaksanaan, kepedulian yang mengakar, hikmah dalam menyanggah, waras dalam beremosi, luhur budi pekerti serta berani dalam mengangkat kebenaran dan keadilan sejagat.


Apapun sekarang, pilihan ditangan mahasiswa. Kalau baik pilihannya, maka baiklah kepimpinannya, kalau tidak, kita harus siap untuk menghadapi saat sukar di masa depan. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa ayat 85 yang bermaksud, “barangsiapa yang memberi pertolongan yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian dari (pahala)nya. Dan barangsiapa memberi pertolongan dengan pertolongan yang buruk, nescaya dia akan memikul bahagian dari (dosa)nya. Allah maha kuasa atas segala sesuatu.”


Kita perlu keluar dari lingkaran syaitan (vircious circle) sepertimana yang diungkapkan oleh Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, agar tidak terus melahirkan pemimpin palsu yang lahir dari keceramukkan budaya ekoran kecearuan pemikiran.


Al-Qaid al-mufakkir atau pemimpin pemikir perlu diserlahkan di barisan utama mahasiswa agar dapat mengemudi idea penerus (guiding idea) seperti yang ditekankan oleh Malek Ben nabi sebagai perkara terpenting dalam sesuatu gerakan yang mana ideanya harus komprehensif meliputi pengajaran dari rentetan sejarah, relevan pada zamannya dan kebolehdugaan pencapaian hadapan.


Justeru, pada pemilihan akan datang, mahasiswa diseru membuat pilihan dengan bijak dan lebih kritis dalam menilai calon dan manifestonya. Masa depan di tangan anda. Selamat mengundi.


ABU QASSIM NOR AZMI

Exco Pendidikan dan Penyelidikan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Friday, January 23, 2009

Berakhirnya bahang PRK



Usai sudah Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Tidak seperti universiti lain umumnya, calon-calon yang bertanding atas proksi kuliyyah (fakulti) menjadi sandaran untuk memenangi kerusi pilihanraya berbanding universiti lain yang mempertaruhkan kerusi di bawah nama persatuan. Sebagaimana Universiti Malaya (UM), kemenangan Persatuan Mahasiswa Islam atau pro-Mahasiswa yang memenangi pilihanraya kali ini setelah 5 tahun kerusi dipegang oleh Aspirasi memberi satu nafas baru dan gelombang perubahan bagi mereka.

Ironinya, media secara skeptikalnya akan menggunakan label aspirasi dan pro-mahasiswa sebagai kayu ukur keputusan tersebut. Dan keadaan ini agak berbeza di UIA kerana calon yang bertanding di bawah kapasiti kuliyyah sukar ditentukan dari sisi mana mereka. Acapkali penampilan dan wajah yang menjadi penentu bahawa calon itu berdiri di bawah nama aspirasi mahupun pro-Mahasiswa.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya persaingan perebutan kerusi bagi pilihanraya kali ini dirasakan sedikit hambar. Mungkin penumpuan diberi kepada permasalahan dan penderitaan yang dirasai oleh saudara seaqidah kita, Palestin. Hakikatnya, inilah percaturan Allah. Penderitaan yang dirasai oleh Palestin lebih wajar kita kongsikan berbanding terlalu menumpukan kepada kemenangan pilihanraya. Hal ini kerana, politik kampus tidak jauh bezanya dengan politik luar.

Permainan-permainan kotor yang dirasakan berstrategi menjadi pilihan. Perang-perang saraf, penyebaran propaganda, risalah-risalah fitnah menjadi sebahagian daripada perkara yang dihalalkan sementelah pula label aspirasi dan pro-mahasiswa seakan-akan gambaran parti politik luar. Justeru, tidak hairanlah sekiranya strategi kempen, menjatuhkan pihak lawan, melaga-lagakan adalah cara pilihan kerana universiti sendiri sudah tercemar dengan politik kepartian. Universiti yang seharusnya menjadi medan mahasiswa mengatur langkah melalui idealisme mereka terencat disebabkan kerana sikap-sikap manusia yang gagal berakhlak dengan akhlak nabi.


Sabda nabi: “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia
riwayat imam bukhari, ahmad, hakim

Permasalahan ideologi dan matlamat tidak boleh dijadikan cara untuk kita beremosi atau menggunakan taktik kotor. Adalah lebih baik strategi kempen seperti ‘menjual muka’ dilakukan sebelum pilihanraya. Keadaan ini penting dalam usaha dakwah dan menyebarkan risalah kenabian tanpa mengira golongan sasaran yang berbeza fiqrah mahupun latar belakang. Sentiasa memberi salam, bermanis muka, mengajak ke arah kebaikan, dan berakhlak dengan akhlak nabi, inilah faktor dan bukti jelas yang ditunjukkan baginda dalam berdakwah. Hak muslim kepada muslim lain adalah menerima salam.

Oleh itu, kenapa mahasiswa cenderung menghukum seseorang berdasarkan penampilan, idealogi, matlamat bahkan cara sekalipun? Sejarah sendiri membuktikan bagaimana orang bukan Islam tertarik dengan Islam kerana akhlak yang ditonjolkan nabi. Tetapi kita pula merasakan jalan yang kita pilih adalah paling baik sehingga saudara yang sama fiqrah juga dijatuhkan. Sekiranya nabi sendiri boleh berurusan dengan orang bukan Islam, kenapa kita sendiri meletakkan sempadan antara keduanya?
Sememangnya asbab yang paling jelas adalah kita dipengaruhi dengan persekitaran universiti. Pengaruh yang tidak sihat ini bakal mencorak satu generasi mahasiswa yang berbeza fahaman dan akhirnya membawa kepada kekeliruan kepada masyarakat. Sedangkan peranan mahasiswa generasi kini sama besarnya dengan pemimpin negara, menyumbang kepada pembangunan ummah dan masyarakat serta menjadi sebaik-baik manusia, iaitu yang bermanfaat kepada orang lain. Wallahu a’lam

Saturday, January 17, 2009

faham'iblis' pada zionisme

Semalam Al Jazeera menayangkan gambar seorang bapa menunjukkan anaknya tiga orang mati angkara peluru Israel. Yang dasyatnya, kelihatan jelas tebukan peluru yang menembusi dada anak kecil itu. Bagi manusia yang biasa, perkara itu sama sekali tidak boleh diterima. Apatah lagi anak kecil yang berumur lingkungan 3- 4 tahun ditembak.

Hanya manusia berjiwa 'iblis' sahaja yang ketawa riang melihat anak kecil sewenangnya ditembak di dada. Hatta haiwan pun menyayangi anaknya. Sifat 'keiblisan' merasuk jiwa orang Israel. Tentera Israel semua menganut faham 'iblis'.Tidak semua orang Yahudi sokong pembunuhan di Gaza. Ada yang protes.

Seperti biasa darah ummat Islam terus mengalir, kerana menyaksikan kekejaman Zionis Israel mengganas di Gaza. Bagi orang Islam, Gaza adalah satu tempat yang bersejarah dalam kalendar ummat Islam. Ia tempat kelahiran Imam besar kita, Imam Syafiee.Dikhabarkan ketika kelahirannya, ibunya bermimpi sebutir bintang menjunam ke bumi. Bintang itu memecahkan muka bumi dan kelihatan gugusan- gugusan bintang kecil menyinari alam ketika itu. Ulama mentafsirkan, itu ialah tanda mulia kelahiran seorang bakal ulama termashyur kelak.
Bagi kita, kemarahan pasti berterusan. Kemarahan boleh datang dan pergi. Teruskan berdemosntrasi menyatakan bantahan, memboikot, mencetuskan kesedaran dan meratakan kesedaran sehingga menyentuh hati nurani ummat tentang isu di Gaza. Pada masa yang sama apa strategi kita mendatang?

Apakah kita sudah menyediakan satu perancangan masa depan yang tersusun untuk memastikan maruah ummat Islam tidak mudah dipijak seperti hari ini? Jika Salahuddin Al Ayubi mengambil masa hampir seratus tahun untuk menakluk Al Quds, itu pun selepas pengaruh Ihya Al Ghazali merata ke seluruh pelusuk alam di bumi ummat Islam, lalu melahirkan satu generasi yang berkongsi fikrah dan bernaung di bawah satu bumbung worldview yang sama. Generasi ini terdiri daripada penglima perang, askar, ulama, pekerja, orang biasa, pelajar serta kaum wanita.

Wallahu'alam. Semua kena sama- sama duduk semeja, berlapang dada, berfikiran terbuka, saling kasih mengasihi, membina generasi beradab dan mengangkat ilmuwan di tempat yang sewajarnya.

sumber:http://hilmimadani.blogspot.com/

Wednesday, January 14, 2009

Bekalan Air Terganggu Ekoran Kemalangan Di Lebuhraya Karak


KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) - Kemalangan di KM28 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur pukul 3.30 petang ini yang mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit, menyebabkan gangguan bekalan air di lapan kawasan utama membabitkan 18,000 pengguna.


Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan di sini berkata tumpahan minyak kelapa sawit itu mencemarkan sumber air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Gombak.
“Syabas telah melakukan pengalihan bekalan air dari sumber yang lain bagi mengurangkan jumlah kawasan gangguan dan sedang giat melakukan kerja-kerja pemulihan bagi mengatasi pencemaran minyak kelapa sawit di muka sauk,” kata kenyataan itu.


Antara kawasan yang terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), British Malaysian Institute (BMI), Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Menengah Integrasi Gombak, Tol Lebuhraya Karak, Sekolah Al-Amin Gombak, International Islamic School dan Stesen Minyak BHP Lebuhraya Karak.


Menurut kenyataan itu Syabas telah mengaturkan penghantaran air kecemasan menggunakan lori tangki ke lapan kawasan berkenaan bagi meringankan beban gangguan bekalan air kepada pengguna.


Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, selaku operator loji rawatan air di Sungai Gombak melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sungai yang tercemar.
Pengguna dinasihatkan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 untuk maklumat lanjut.

Tuesday, January 13, 2009

Calon PKPIM terdesak di UIA?

Pemerhati politik kampus Jan 13, 09 4:00pm

Setelah sekian lama menyepi, akhirnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) muncul semula ke arena pilihanraya kampus. Setelah hampir sepuluh tahun sejak mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, PKPIM mula memencilkan diri dalam arena politik kampus, lebih-lebih lagi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sepanjang tempoh itu juga, PKPIM lebih banyak menaja dan berkerjasama dengan pihak yang dirasakan mampu memberi kredit kepada mereka - tidak kira dari kumpulan pro-Aspirasi mahupun pro-Mahasiswa, GPMS-Wawasan mahupun We Unite For Islam (WUFI) - mereka telah melalui kedua-duanya.

Penglibatan PKPIM dalam gerakan mahasiswa di luar juga dapat dilihat dengan penglibatan mereka dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Dalam masa yang sama, PKPIM turut terlibat dengan pro-Aspirasi di peringkat nasional.

Kemunculan PKPIM pada kali ini sememangnya sudah dapat dijangkakan. Beberapa tahun kebelakangan ini, PKPIM telah menghantar calon-calon tajaan dan ahli mereka untuk bertanding kerusi dalam pilihanraya kampus. Sama ada secara zahir atau tidak, itu terpulang.

Bantahan PKPIM terhadap penggunaan label "pro-Mahasiswa" dan "pro-Asporasi" yang dibuat adalah suatu langkah terdesak mereka setelah lama menyepi dari arena politik kampus. Ia dilihat melanggar apa yang dipersetujui. Pro-Mahasiswa digagaskan sebagai alternatif kepada Pro-Aspirasi yang menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus-kampus utama pada hari ini. Jadi, inisiatif persatuan-persatuan yang bernaung bawah SMM menggunakan jenama pro-Mahasiswa adalah wajar.

Langkah PKPIM membantah penggunaan label pro-Mahasiswa di UIA bertujuan mencari laluan kepada kemunculan kembali persatuan itu dalam pilihanraya kampus kali ini. Persoalannya, mengapa tidak ada sebarang perbincangan dimulakan berhubung perkara ini bersama pihak berkaitan, terutamanya WUFI sebagai wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) yang menjadi tunggak kepada SMM.

Adakah PKPIM cuba menangguk di air yang keruh?PKPIM kali ini hanya menghantar calon di beberapa kerusi kulliyyah (fakulti) sahaja. Kulliyyah sasaran mereka adalah Kulliyyah Ekonomi dan Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.

Sebagai pemerhati situasi politik kampus, saya berpendapat tindakan membantah penggunaan label pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi sebagai tindakan terdesak bagi orang yang ingin kembali semula. PKPIM seolah-olah cuba menidakkan usaha SMM yang menjenamakan "pro-Mahasiswa" dan meletakkan risiko yang agak tinggi ketika mempertaruhkan calon mereka atas tiket itu.

Perbincangan dan tahalluf (kerjasama) pada ketika ini boleh menjadi tindakan yang tepat atau sebaliknya. Apa yang pasti, pro-Aspirasi telah ada perancangan mereka yang tersendiri. Semuanya hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. Adakah PKPIM sudah fikir semasak-masaknya? Ataupun mereka telah ada perjanjian bersama pro-Aspirasi tentang pembahagian kerusi? Atau PKPIM ingin mengambil peluang membina kembali nama mereka setelah tsunami politik dalam pilihanraya umum 8 Mac berlalu? Jika dilihat daripada sumbangan mahasiswanya, kumpulan pro-Mahasiswa yang lebih sekerat nyawa membantu. Fikir-fikirkanlah.

PKPIM bantah istilah pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa...



Jimadie Shah Othman Jan 13, 09 11:38am

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganggap penggunaan label pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa bagi kumpulan pelajar yang bertanding dalam pilihanraya kampus di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai "tidak sihat dan merosakan perjuangan gerakan mahasiswa".

Sebaliknya, PKPIM berpendapat adalah lebih baik kumpulan yang bertanding itu dikenali mengikut persatuan dan organisasi yang dianggotai mereka iaitu We Unite For Islam (Wufi), Wawasan-GPMS dan calon PKPIM.

Media selama ini menggunakan istilah pro-Aspirasi merujuk kepada Wawasan-GPMS dan pro-Mahasiswa terhadap Wufi, manakala PKPIM pula dianggap pihak ketiga dalam pilihanraya kampus di UIA."(Amalan) menggunakan gelaran Pro-Mahasiswa memperlihatkan seolah-olah wujudnya hanya satu kelompok yang memperjuangkan mahasiswa," kata exco antarabangsa PKPIM, Khairul Anuar Musa.

Khairul yang juga anggota badan pemantau pilihanraya kampus UIA yang ditubuhkan PKPIM berkata seharusnya pilihan kampus tidak mengikut rentak politik luar, yang sifatnya adalah hitam dan putih."Sesiapa sahaja di kalangan mahasiswa yang mendokong idelisma gerakan mahasiswa, seharusnya layak untuk bertanding. "Pemilihan pimpinan dalam pilihanraya kampus berdasarkan merit dan kebolehan untuk memimpin bagi mahasiswa, bukan bendera mana yang dipegang," katanya.

Universiti itu akan mengadakan pilihanraya kampus pada 19 Januari depan.Pada awalnya, pilihanraya kampus UIA dijadual diadakan pada 15 Januari sebelum tarikh dipinda kepada 19 Januari.Ekoran itu, kumpulan Wufi dilaporkan mengesyaki tindakan itu bertujuan untuk menghalang mahasiswanya daripada terlibat dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Pilihanraya kampus di UIA kali ini akan menyaksikan perebutan 29 kerusi - 24 kerusi fakulti, lima kerusi antarabangsa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...