Friday, March 27, 2009

UZLAH MAHABBAH DI BANGSAR

Hari ini berlangsungnya Uzlah Mahabbah antara pertubuhan pelajar Islam di Masjid Abu Bakar, Bangsar. Buat pertama kalinya wadah PKPIM, GAMIS, KARISMA dan TERAS Kampus berjaya dihimpunkan dalam satu majlis yang penting dan bermakna. Semua kepimpinan utama dijemput dan hadir dalam majlis ini. Tujuan majlis ini adalah untuk mengangkat martabat perjuangan generasi muda, yang bukan semudah membantah bak 'the young angry man', akan tetapi ada perancangan jangka panjang yang serius dan wacana yang membina pemikiran bersama.

Apabila bercakap mengenai perubahan atau Islah, apakah sebenarnya yang kita cari? Islah dalam ekonomi, mungkin kita memerlukan satu sistem perekonomian yang mapan dan mesra- Insan. Jika Islah dalam politik, tentu mahukan sistem tadbir- urus yang amanah dan baik. Islah dalam sosial, tentulah usaha amar makruf dan nahi mungkar. Pokoknya, semua bermula dari akal dan worldview kita.

Sebab itu bicara usaha perubahan atau Islah yang mahu kita buat harus menangani aspek pemikiran dahulu. Dalam konteks majlis malam ini, sebuah karya oleh Dr Majid Irsan Al Kilani telah menjadi the guiding ideas. Dr Farid Shahran telah mengupas dengan tuntas dan kemas akan idea penting ini.

Apa yang menarik buku ini ialah mengenai testimonial kejayaan Salahuddin merampas Baitul Maqdis bermula dengan pengaruh Imam Al Ghazali, yang hidup sebelum itu lagi. Imam Al Ghazali, Hujjatul Islam, telah membina satu kerangka pemikiran yang harmoni, berpandukan epistemologi ilmu yang jernih dari agama, melahirkan gagasan islah yang meresap pemikiran generasi selepas itu.

Hampir 2- 3 generasi selepas Al Ghazali, kemudian disambut oleh Sheikh Qadir Al Jailani, yang menubuhkan madrasah penting, yang melahirkan ramai alumni 'Ghazali School of Thought'. Kemudian mereka ini yang menduduki kerusi penting dalam pentadbiran negara, mufti agama, panglima tentera dan guru agama. Sheikh Nuruddin Al Zinki, khalifah yang ada ketika itu terkenal dengan sikap zuhud dan alimnya, telah membuka jalan kepada kelahiran Salahuddin Al Ayubi yang memimpin tentera umat Islam yang akhirnya berjaya merampas Baitul Maqdis.

Ramai yang mungkin melihat sosok Salahuddin dan Al Ghazali secara keperibadiannya, dan tidak nampak kaitan antara dua tokoh ini. Buku Dr Majid adalah testimonial yang relevan untuk kita kaji dan ambil iktibar. Testimonial ini dapat menyingkirkan sindrom menunggu 'hero' yang akan menyelamatkan umat Islam, tatkala diserang pelbagai penjuru hari ini. Apabila cara kesinambungan legasi Al Ghazali membina generasi Salahuddin dapat diambil iktibar, sebenarnya kita boleh terlibat sekali dalam proses islah tersebut, tidak semestinya menunggu dengan hampa siapa yang menyelamatkan umat Islam.

Majlis penting dan serius seperti ini dapat mengisi vacuum tatkala silang sengketa politik terus berleluasa. Kita berharap agar isu politik dapat diminimumkan demi kesejahteraan rakyat dan agenda besar negara. Hakikatnya politik adalah salah satu seni yang menarik, tetapi dalam konteks 'politik semasa', ramai yang semakin jelik, kerana terlalu banyak 'drama'nya. Akhirnya juga, jika landasan politik tidak berasaskan ilmu dan agama, maka sebenarnya politik yang ada dalam negara kita hari ini adalah islah yang tidak membantu secara produktif, akan tetapi semakin menghancurkan (fasad) semua.

Terima kasih juga diucapkan kepada sdr Dzulhairi (Presiden GAMIS), sdr Wan Faisal (Koordinator Teras Kampus) dan sdr Abdullah Omar (Presiden Karisma), termasuk semua kepimpinan utama organisasi pelajar Islam kerana menyokong usaha penting dan bermakna ini.Semoga sunnah yang baik ini dapat diteruskan oleh generasi mendatang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...