Sunday, May 31, 2009
Penguatkuasaan Pemakaian Topi Keledar Bermula 1 Julai 2009
UIAM, 27 Mei- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM telah menganjurkan satu sesi dialog antara pihak pentadbiran dan pelajar UIAM mengenai isu-isu kebajikan yang berlangsung di Experimental Hall pada jam 8 hingga 11 malam. Dialog ini dianjurkan adalah bertujuan untuk memberi penjelasan tentang penguatkuasaan pemakaian topi keledar bermula 1 Julai 2009.
Pihak pentadbiran UIAM telah di wakili oleh Dr. Akmal Khuzairy Abdul Rahman (Pengarah S-Dev), Encik Muhammad Azrul Hazerin Abdul Razak (Penolong Pengarah di Legal Unit) dan Encik Abd Wahab Hj. Zawawi (Pegawai Keselamatan). Manakala moderator bagi dialog ini dikendalikan oleh Saudara Mohd Hairuzaim Md Zin.
Setelah sekian lama, penguatkuasaan pemakaian topi keledar secara mendadak ini telah mengundang tanda tanya kepada pelajar malah ramai juga yang membantah. Inilah tujuan utama dialog ini iaitu menyediakan medium kepada pelajar bagi mendapatkan penjelasan dari pihak pentadbiran dan seterusnya menemui kata sepakat. Walupun demikian, dewan kelihatan lengang dan sepi dengan jumlah kehadiran tidak lebih 50 orang para pelajar.
Menurut Dr. Akmal Khuzairy, penguatkuasaan pemakaian topi keledar ini adalah respons kepada aduan-aduan dari pelbagai pihak mengenai perbuatan sesetengah penunggang motosikal dari kalangan pelajar yang tidak memakai topi keledar ketika keluar dari kawasan UIAM. Menurut beliau lagi, faktor utama kepada penguatkuasaan ini adalah atas arahan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Selain faktor-faktor di atas, En. Muhammad Azrul mengatakan faktor keselamatan pelajar dan undang-undang juga di ambil kira bagi menguatkuasakan pemakaian topi keledar ini. Menurut beliau, tidak ada sebuah universiti pun yang terkecuali dari undang-undang topi keledar ini. Disebabkan itu, penguatkuasaan undang-undang ini di UIAM seharusnya tidak menjadi suatu isu yang besar.
En. Abdul Wahab pula menyatakan pemakaian topi keledar yang berkuatkuasa pada 1 Julai ini adalah satu usaha untuk mengimplementasi undang-undang secara serius di UIAM ini. Menurut beliau lagi, undang-undang ini bukanlah baru kerana ia sudah lama tercatat didalam buku disiplin bagi pelajar iaitu kesalahan no.57 (Offence 57). “Selain itu, undang-undang ini adalah selari dengan Akta Pengangkutan 1987”, tambah beliau lagi.
Pihak pentadbiran universiti berharap para pelajar dapat menerima keputusan mengenai penguatkuasaan pemakaian topi keledar bermula pada 1 Julai tahun ini demi menjaga keselamatan dan kebajikan para pelajar di Taman Ilmu dan Budi.
Friday, May 22, 2009
Jemputan ke Usrah Generasi Salahuddin
Tuesday, May 19, 2009
Harapan Kepada Belia Islam
“Allah yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa di antara kedua-dua fasa lemah dalam kehidupan manusia itu terdapat satu fasa di mana manusia mencapai kekuatan. Fasa inilah yang menempatkan golongan muda belia. Umum mengetahui, golongan belia ini adalah golongan yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, idealisme, keinginan untuk mencapai sesuatu, aktif, dinamik dan mahukan perubahan. Pendek kata, zaman belia adalah zaman yang penuh dengan kegemilangan jika ciri-ciri itu dimanfaatkan dan disalurkan melalui wadah yang betul..
Oleh kerana golongan belia ini sangat istimewa, pembinaan dan pembangunan identiti serta jati diri seseorang individu belia menjadi salah-satu agenda utama sesebuah Negara dan agama. Golongan belia merupakan golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan Negara di masa hadapan. Golongan kepimpinan belia inilah yang mencorakkan hala tuju sesebuah Negara dan kemajuan agama Islam itu sendiri di masa akan datang.
Menurut sejarah, golongan belia merupakan pendokong dan aktor utama dalam pengembangan dan kegemilangan Islam yang menguasai 1/3 penduduk dunia. Tokoh-tokoh besar seperti Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yusuf A.S., Ashab Al-Kahfi, Saidina Ali dan para Sahabat Rasulullah yang lain ialah antara contoh-contoh golongan belia yang dikisahkan di dalam Al-Qur’an.
Islam menggesa golongan belia memainkan peranannya sebaik mungkin kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar. Namun apa yang membelenggu minda ramai golongan belia sekarang, mereka cenderung menggunakan masa muda mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan memenuhi agenda kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan hiburan yang melampau-lampau (hedonisme).
Kalimat “muda hanya sekali” yang diwarisi secara turun-temurun telah menjadi kata kunci untuk mereka menghalalkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah (lagho) hatta melanggar syariat agama. Mereka beranggapan masa muda adalah masa untuk bergembira dan melakukan segala-galanya. Bila umur masuk 40-an, barulah mereka akan fikir tentang akhirat, duduk di masjid dan beramal. Itupun bagi mereka yang mempunyai kesedaran, kalau tidak mereka akan terus hanyut dengan kehidupan muda mereka walau sudah lanjut usia. Bak kata pepatah, “rumah kata pergi, kubur kata mari” Sebuah hadith menyatakan, “sebaik-baik pemuda di antara kamu adalah yang mirip/ seperti orang dewasa di antara kamu, dan sejelek-jelek orang tua di antara kamu adalah yang seperti pemuda di antara kamu.” (HR. Bukhari)
Sesebuah bangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan belia. Kepada merekalah gagasan-gagasan pembangunan dan kemajuan bangsa dapat diteruskan mengikut acuannya yang tersendiri. Justeru itu, golongan belia yang kuat jati dirinya, berwawasan dan punyai nilai integriti yang tinggi amat didambakan. Golongan inilah yang akan membangkitkan kejayaan kepada sesebuah bangsa.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna begitu mengambil berat akan pembinaan golongan belia/pemuda dengan menekankan empat kriteria penting yang tersemat dalam diri setiap belia. Beliau menyebut:
“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa, para pemuda menjadi tonggak kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)”
Ciri-ciri ideal belia Islam
1-Ketahanan iman dan akidah.
Seseorang belia Muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah La ilaha ilallah hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa-jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali-‘Imran : ayat 139 mafhumnya, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.
2. Taat kepada Allah dan ibadah yang betul
Manusia itu diciptakan oleh Allah Taala adalah semata-semata untuk kita semua menyembahNya. Allah berfirman dalam surah Al-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” Taat kepada Allah bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauh larangan-larangan-Nya. Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam di tuntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa merasa dekat kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Esa. Taat dan beribadah kepada Allah merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.
3. Berilmu dan berpengetahuan luas.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.” Malah, pepatah Arab pernah mengatakan, “tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadith dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa di kandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tawhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri kearah kebaikan dan kebenaran. Ilmu itu juga digunakan untuk membangunkan bangsa, agama dan tamadun Islam.
4. Akhlak dan sahsiah diri yang mantap
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Baginda Rasulullah merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu Muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti Al-Qur’an. Umum mengetahui Islam itu tidak akan lengkap sekiranya elemen akhlak ini di ketepikan. Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau yang menjawab: “sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah, beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir, beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu. Khalifah pun berkata: “inilah akhlak orang yang soleh!”
5. Sihat tubuh badan.
Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.
6. Bermanfaat kepada orang lain.
Sebuah hadith pernah menyatakan, “sebaik-baik manusia adalah seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain.” Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab itu boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjwab sosial kita kepada masyarakat. Motto “Hidup Biar Berjasa” boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukannya menerima sebanyak-banyaknya.
7. Peka kepada perubahan sosio-politik-ekonomi lokal dan global
Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan juga pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan. Belia yang celik terhadap isu-isu yang melanda Negara dan dunia khususnya dunia Islam sedikit sebanyak dapat menyumbang idea-idea bernas bagi kemajuan bersama. Kepekaan belia kepada setiap perubahan yang berlaku dapat mematangkan fikiran, meluaskan pengalaman dan bijak dalam mengatur strategi demi menghadapi hari muka.
Kesimpulan
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “gunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: sihatmu sebelum datang sakit, lapangmu sebelum datang kesibukan, mudamu sebelum datang hari tua, kayamu sebelum datang kemiskinan dan kesempatan masa hidupmu sebelum datang kematian.” Hadith di atas memberikan kita peringatan supaya memanfaatkan masa muda belia kita dengan sebaik mungkin.
Sebahagian nasihat baginda Rasulullah kepada umatnya ialah:
“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Taala daripada seseoranng hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatnnya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.”
Akhir bicara, kepada kaum Muslimin khususnya kepada golongan belia, ayuhlah kita semua melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islami dan rabbaniy demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita. Allah berfirman dalam surah Al-Ra’ad: 11 yang bermaksud, “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Oleh kerana zaman belia adalah zaman yang paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu. Harapan kepada belia-belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’ ,“kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya.” Hidup biar berjasa. Wallahu’alam.
Sunday, May 17, 2009
KEBANGKITAN GENERASI SALAHUDDIN DAN KEMBALINYA AL-AQSA KEPANGKUAN ISLAM
Nota Usrah Generasi Salahuddin Kota Damansara 11 Mei 2009
BAB SATU: PEMBENTUKAN POLA PEMIKIRAN MASYARAKAT ISLAM SEBELUM SERANGAN TENTERA SALIB
PERMASALAHAN DALAM DIMENSI AQLIYYAH-RUHANIYYAH (intelektual-spiritual)
FASAL 1: FANATISME MAZHAB DAN PERTIKAIAN ANTARA MAZHAB
Fanatisme Mazhab Dalam Pemikiran Islam
Kesan Negatif Pertikaian Mazhab Terhadap Sektor-Sektor Pemikiran, Pendidikan, Sosial dan Politik
1. Sektor Pemikiran
a. Perselisihan antara mazhab aqidah dan fekah
2. Sektor Pendidikan
a. Pendidikan menjadi alat menyertai pemerintah
b. Tujuan dan rangkuman pendidikan menjadi sempit
c. Fanatisme / ta’sub mazhab
3. Sektor Sosial
a. Mazhab memenuhi kepentingan peribadi/kelompok
b. Masyarakat berpecah belah
c. Perpecahan antara dan dalam mazhab
4. Sektor Politik
a. Berlumba mendekati sultan
b. Mazhab menjadi alat memperoleh kuasa
Kesimpulan penulis: Pola pemikiran Islam berserta semua institusinya tidak memiliki hadaf/tujuan dan pemahaman yang relevan dengan keperluan dan cabaran yang ada, disamping tidak adanya strategi yang membuat institusi-institusi tersebut mampu memikul tanggungjawabnya dalam masyarakat Islam semasa
FASAL 2: PERPECAHAN DAN PENYIMPANGAN SUFISME
1. Al-Malamatiyah
2. Al-Hululiyun dan Kelompok2 Terkeluar Syariat
3. Perpecahan Dalam Tasawuf Sunni
FASAL 3: BAHAYA FAHAMAN BATINIYAH
FASAL 4: BAHAYA FALSAFAH DAN PARA AHLI FALSAFAH
Kesimpulan Masalah Umat:
Pertama: Institusi2 pemikiran Islam mengalami kebekuan dan telah berubah misinya, daripada sebagai jurupandu masyarakat Islam kepada institusi2 profesional yang bercirikan mazhab dan perpecahan, serta terjadinya penyimpangan pada cara-cara berfikir dari kaedah-kaedah al-Qur’an dan Sunnah
Kedua: Hilangnya keyakinan dan persepsi peradaban, yang institusi2nya telah hancur oleh penaklukan Islam, untuk bangkit kembali dalam fenomena baru yang sesuai dengan arus keyakinan dan peradaban yang diciptakan oleh madrasah2 pemikiran Islam pada tiga abad pertama.
BAB DUA: PENGARUH KEGIATAN INTELEKTUAL DALAM MASYARAKAT ISLAM
PERMASALAHAN DALAM DIMENSI AMALIYYAH-ADABIYYAH (sosio-politik)
FASAL 5: KETIDAKSEIMBANGAN EKONOMI
FASAL 6: KETIDAKSEIMBANGAN SOSIAL
FASAL 7: PERPECAHAN POLITIK DAN PERTIKAIAN ANTARA SUNNI DAN SYI’AH
FASAL 8: KETIDAKUPAYAAN NEGERI ISLAM MENGHADAPI SERANGAN TENTERA SALIB
Thursday, May 14, 2009
Tuesday, May 12, 2009
Sunday, May 10, 2009
Laporan Seminar NATO dan polisi-polisinya di Asia.
4 April 1949 merupakan tarikh penting dalam sejarah politik dunia apabila termeterainya sebuah perjanjian North Atlantic Treaty selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Tertubuhnya NATO adalah sebagai badan yang menjaga keselamatan Negara-negara anggotanya yang mewakili blok demokrasi-kapitalis-liberal yang diketuai oleh Amerika Syarikat bagi menghadapi ancaman Negara-negara yang mewakili blok sosialis-komunis. Dengan kata lain, NATO memainkan peranan sebagai pakatan tentera dalam perang dingin (Cold War) bagi menentang musuh politiknya iaitu Kesatuan Soviet.
Walaupun begitu, peranan dan kerelevanan NATO mula dipersoalkan oleh ramai pemerhati dan penganalisis politik antarabangsa terutama selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1989 yang memberi laluan mudah untuk Amerika menjadi satu-satunya kuasa besar dunia. Tersungkurnya Kesatuan Soviet menjadi titik tolak kepada dunia unipolar yang kita hadapi buat masa kini.
NATO sedang melaksanakan usaha-usaha meluaskan pengaruhnya di Benua Asia dengan menempatkan aset-aset tenteranya di perairan antarabangsa yang melingkungi Negara-negara Asia juga Negara-negara Islam seperti Palestin, Afghanistan, Iraq, Iran, Pakistan, Indonesia, Selatan Filipina dan Malaysia. ini selaras dengan pemerhatian banyak penganalisis politik dunia yang menjangkakan NATO bakal menjadi kuasa tunggal pakatan tentera sejagat, global army yang paling berkuasa dan berpengaruh di planet bumi ini.
Perubahan geopolitik global ini telah memanggil World Futures Online (WFOL.TV) dengan kerjasama Future Global Network (Malaysia), Warisan Melayu Riau (Indonesia), StopNato Network (Amerika Syarikat) dan rakan media, Perajurit untuk menganjurkan seminar NATO and Its Policies in Asia pada 5 Mei 2009 (Selasa) yang lalu bertempat di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Seminar yang diadakan pada ulang tahun ke-60 NATO bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang perubahan politik dunia yang sedang berlaku kini.
Seminar telah dihadiri oleh badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs), para Diplomat dari pelbagai Negara dan individu perseorangan. PKPIM-ABIM-WADAH juga tidak ketinggalan untuk melibatkan diri dalam seminar penting ini.
Seminar telah dimulakan dengan ucapan pembuka oleh preseiden wfol.tv, En. Kazi Mahmood pada jam 5:00 petang. Antara panel-panel besar yang hadir membentangkan kertas kerja ialah:
1) En. S.M. Idris- “An Overview of NATO’s Policy and Role in Maintaining Security in
2) En. IM Mohsin-“Political Implications on the Deployment of NATO’s Peace Keeping Troops in Affected War Zones-Israel, Palestine, Afghanistan, Iraq and Pakistan.”
3) Prof. Dr. Natzir Matlee-“The Dangers of NATO’s Presence in SEA.
4) Prof. Abdullah al-Ahsan-“NATO’s Expansionist Policy: OIC Response and Challenges.”
Ucapan penutup telah disempurnakan oleh En. Ahmad Azam Abdul Rahman selaku Pengerusi Future Global Network Foundation. Tindakan seterusnya selepas seminar ini adalah merangka gerak kerja untuk berkempen tentang NATO dan polisi-polisinya di
Rujukan:
Perajurit, Mei 2009.
8 Mei 2009 (Jumaat)
Thursday, May 7, 2009
Pertahankan institusi ulama'
Kejahilan masyarakat kita ( Malaysia) ini sudah parah kerana kuatnya gelombang hidorisme ataupun serangan pemikiran melalui hiburan yang melampau menjadikan anak-anak muda sudah tidak mempedulikan ajaran agama hanya kerana Islam menentang hiburan yang melampau ini.
Perana Ulamak ini sangat penting didalam masyarakat Islam kerana mereka inilah yang akan mendaji tempat rujukan kepada orang ramai sebagaimana Sabda nabi : “Ulamak Pewaris Kenabian”. Ini bukan bermaksud ulamak adalah nabi kerana Nabi Muhammad Rasulullah adalah penutup dan penghulu segala kenabian. Tetapi ulamak inilah yang akan meneruskan dakwah baginda dalam mempertahankan dan juga menyebarkan Islam.
Batapa hormatnya para ulamak atau candikiawan ini, mereka dilarang untuk ikut serta didalam peperangan kerana takut lupusnya orang-orang yang arif didalam sesuatu bidang dan peperangan juga wajib untuk orang-orang muda yang masih sihat dan cergas, bukan menggunakan peluang muda untuk berhibur atau “Enjoy”.
Begitujuga apabila Rasulullah memberitahu tentang-tentang tanda-tanda Kiamat antaranya ialah kurangnya Ulamak. Ini bukan beerti pada masa itu tiada langsung ulamak, tetapi allah menganggkat ilmu-ilmu dan juga martabat seseorang ulamak itu hanya tinggal ulamak-ulamak yang jahil.
Oleh itu marilah kita tingkatkan kesedaran akan penghormatan terhadap ilmuan-ilmuan Islam ini dan juga sentiasa bekerjasama dengan ulamak-ulamak ini agar masayarakat Islam akan terus terpelihara daripada segala penyakit hati dan juga gejala sosial.