Monday, December 28, 2009

MAHASISWA SEBAGAI MODAL INSAN BERKUALITI





YAB Dato’ Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan perutusannya di Hari Kemerdekaan ke-48 beberapa tahun yang lalu menyebut;

‘Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan Negara dan mereka juga mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani.’

Apakah yang dimaksudkan dengan modal insan? Prof. Sidek Baba telah membicarakan modal insan ini secara panjang lebar dalam satu siri monograf bertajuk ‘Pembangunan Modal Insan Selangor: Pasca Negeri Maju.’ Menurut beliau, modal insan dilihat amat penting dalam proses kemajuan dan pembangunan dewasa ini. Modal insan dalam erti kata yang luas memerlukan ilmu yang betul dan ketrampilan yang baik serta nilai yang berguna supaya gerak kerja pengurusan sumber yang bernilai ekonomi dan saintifik sifatnya terarah.

Dalam aspek pembangunan dan penyuburan modal insan pula, Prof. Sidek menyebutkan diri insan itu perlu dibangunkan berbekal dengan kekuatan ilmu dalam acuan pendidikan yang mampu mengangkat jiwa tadabbur dengan melakukan kaji selidik, bina ketrampilan yang bercorak sains dan teknologi hingga membolehkan manusia menguruskan sumber-sumber rahmah dan nikmah yang dikurniakan Allah.

Pendidikan amat signifikan bagi mencapai niat murni itu iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti. Di Negara ini, telah wujud satu desakan menggesa agar pendidikan di institut pengajian tinggi perlu dirombak dimana aktiviti kokurikulum akan diperkasakan di setiap IPT Awam dan Swasta bagi menjayakan misi itu.

Sebelum ini para mahasiswa lebih terikat untuk mengejar kejayaan cemerlang dalam aspek akademik semata dan mengabaikan aktiviti sampingan yang bermanfaat seperti berpersatuan yang amat berguna kepada pembangunan personaliti dan potensi mereka.

Selain itu, kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin potensi mahasiswa dalam kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi, kerjasama dalam pasukan, berfikir secara kritis dan sebagainya yang menjadi tuntutan utama dalam melayari kehidupan sebenar selepas tamat pengajian di IPTA/S. Ini ditambah lagi dengan rungutan sebahagian besar majikan yang kecewa dengan prestasi kemahiran graduan yang tidak memenuhi kriteria-kriteria pekerjaan yang mementingkan softskills atau kemahiran hidup lain selain kecemerlangan akademik.

Kerajaan telah menggariskan dua matlamat bagi mencapai tujuan itu iaitu yang pertamanya teras kokurikulum dan yang keduanya ialah kemahiran insaniah. Bagi matlamat yang pertama, terdapat lapan aktiviti asas iaitu merangkumi kebudayaan, sukan, kesungguhan, keusahawanan, inovasi, sukarelawan, kepimpinan, khidmat komuniti dan pengucapan awam. Manakala, kemahiran insaniah ialah kemahiran-kemahiran bagi meningkatkan kemampuan dan kebolehan graduan untuk komunikasi, berfikir secara kritis, bekerja secara berpasukan, moral dan etika.

Sehubungan dengan itu, pihak PKPIM UIAM menyambut baik cadangan Kerajaan untuk memperkasakan aktiviti kokurikulum di institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan bersepadu. Selari dengan gagasan ta’dib kepemudaan yang kita dokongi sekarang, modal insan islami yang kita harapkan adalah mereka yang mempunyai ilmu, nilai etika, moral dan integriti yang tinggi selain komited dengan ajaran agama yang sebenar.

Di UIAM sendiri, kami menyediakan platform seperti Kelab Pemikir Muda (Intellectual Youth Club-IYC), Women Affairs Association (WAFA) dan Titian Wahyu bagi membantu para mahasiswa membina jati diri dan seterusnya menjadi modal insan Negara yang bersepadu dan berwibawa. Kami sentiasa komited untuk membangun diri dan sahabat-sahabat sekalian. Justeru itu, kami menyeru agar jadilah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi terbangun sahsiahnya dengan nilai integriti yang tinggi, serta punyai kualiti sebagai modal insan yang berkualiti dan produktif untuk Negara, bangsa dan agama.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...