Friday, December 18, 2009


SELAMAT DATANG 1 MUHARAM 1431AH

Hari ini, pada tanggal 18 Disember 2009, bersamaan dengan 1 Muharram 1431 AH, semua orang Islam akan melangkah ke tahun baru mengikut kalendar Hijriah. Muharram adalah bulan pertama yang mendahului 11 bulan-bulan Islam yang lain. Tika dan saat waktunya menjelma, ramai di antara kita semua memasang niat dan azam masing-masing untuk berhijrah memulakan kehidupan baru. Semoga hijrah itu menjurus ke arah memperbaiki diri, keluarga dan umat Islam yang lebih bertaqwa. Mewakili PKPIM UIAM, penulis mendoakan semoga azam itu sentiasa bergerak dalam momentumnya yang tersusun. Mulakan segala-galanya dengan penuh keikhlasan kerana Allah. InsyaAllah, Allah Taala akan memberikan semangat dan ketabahan dalam menempuh perjalanan hijrah ifradi kita itu.


Dikesempatan ini, penulis suka untuk berkongsi dengan saudara-saudara sekalian tentang kelebihan bulan Muharram ini terutamanya hari ke-10 Muharam (hari Asyura). Rasulullah S.A.W. bersabda: “sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Muharam maka baginya menyamai 30 hari berpuasa.” Antara lain, Baginda pernah bersabda: “seafdhal-afdhal puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharam dan seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu ialah solat pada sepertiga malam 10 Muharam.”


Para Sahabat bertanya: “wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharam berbanding dengan hari-hari yang lain? “sabda Rasulullah S.A.W.:

• Allah menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharam.
• Allah menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharam.
• Diciptakan lautan pada 10 Muharam.
• Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharam.
• Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharam.
• Diciptakan Adam A.S. pada 10 Muharam.
• Dimasukkan Adam A.S. ke dalam syurga pada 10 Muharam.
• Diselamatkan Ibrahim A.S. daripada Namrud pada 10 Muharam.
• Diselamatkan anaknya Ismail A.S. daripada sembelihan pada 10 Muharam.
• Ditenggelamkan Fir’aun pada 10 Muharam.
• Diampunkan dosa Daud A.S. pada 10 Muharam.
• Dilahirkan ‘Isa A.S. ke langit pada 10 Muharam.
• Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman A.S. pada 10 Muharam.
• Diciptakan ‘Arasy pada 10 Muharam.
• Awal-awal hujan turun dari langit pada 10 Muharam.
• Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharam.
• Diselamatkan bahtera Nuh A.S. daripada tenggelam pada 10 Muharam.


Islam adalah agama yang indah lagi syumul. Ia mengajar penganutnya cara-cara menyambut tahun baru yang penuh dengan keberkatan. Bukannya disambut dengan sorak-sorai, pesta-pestaan mahupun konsert tiap kali menjelangnya 1 Januari. Dalam Islam, sebelum menjelang 1 Muharam iaitu sebelum waktu Maghrib pada 29 Zulhijjah, kita disunatkan membaca doa akhir tahun seperti yang berikut:

Maksudnya:

“Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat penyayang, segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas penghulu sekalian Rasul dan keatas keluarganya dan sahabatnya sekalian. Ya Allah! Apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah-lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa atas menyeksakan kami, malah Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat ke atas Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah bagi kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai tuhan yang mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Semoga Engkau menerima daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau wahai tuhan yang mulia.”


Kemudian, dituruti dengan doa awal tahun sepertimana yang berikut:

Ertinya:

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan diatas keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah! Engkaulah yang kekal, qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau yang besar dan kemurahan Engkau yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan di atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau. Ya Allah! Tuhan yang mengubahkan segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang mengerasi lagi maha tinggi.”

Ayuh saudara-saudaraku!

Rebutlah peluang yang datang pada kali ini. Manfaatkan kesempatan waktu yang berbaki ini sebaik-baiknya. Mungkin ini yang terakhir bagi kita kerana ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Ini adalah antara waktu yang mulia yang Allah hadiahkan kepada para hamba-Nya yang beriman untuk membersihkan diri dan menebus segala kekhilafan dan dosa-dosa yang kita lakukan sepanjang hayat kehidupan kita di dunia ini. Mulakan hijrah anda pada detik dan tika ini juga. Moga hidup kita lebih diberkati dan dirahmati. InsyaAllah dan Wallahu’alam.


“KEHIDUPAN KITA MEMANG ISTIMEWA UNTUK DIDEPANI DAN DIHADAPI DENGAN PENUH KECERIAAN, KEYAKINAN DAN SEMANGAT INGIN BAHAGIA DI BAWAH PAYUNG RAHMAT-NYA, SALAM MAAL HIJRAH 1431 AH PADA SEMUA”


MiMoSa @;--

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...