Herald dilarang guna perkataan Allah
Pemimpin bertanggungjawab pelihara agama Islam mengikut Perlembagaan
Kuala Lumpur- Pemimpin Negara bertanggungjawab memelihara agama Islam setiap masa kerana ia kewajipan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Tinggi disini, diberitahu semalam.
Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Naser Disa berkata, Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja peringkat negeri mempunyai kewajipan untuk mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi Negara ini kerana terikat sumpah jawatan yang dilafazkan seperti mengikut Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kewajipan itu bukan hanya dipikul pemerintah tertinggi Negara atau negeri, malah ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong juga berkewajipan untuk memelihara agama Islam, oleh itu menteri adalah betul untuk melarang penggunaan kalimah Allah oleh penerbit majalah mingguan Katolik, Herald, yang akibatnya mencemar agama Islam,” katanya.
Mohamad Naser berhujah demikian untuk menolak permohonan Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, yang telah memfailkan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan istilah Allah dalam majalah itu adalah tidak sah dan perkataan itu bukan ekslusif bagi agama Islam.
Dalam perbicaraan hari kedua itu, Mohamad Naser berkata, keputusan menteri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald tidak menjejaskan kebebasan beragama pemohon dan penganut Kristian.
“Pemohon gagal menunjukkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah ajaran asas dalam agama Kristian.
“Pemohon gagal menunjukkan gagasan menunjukkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah ajaran asas dalam agama Kristian,” katanya.
Pada 7 Januari tahun lalu, Menteri Dalam Negeri meluluskan permit “The Herald” dengan syarat bahawa penggunaan perkataan Allah dilarang dan perkataan “terhad” perlu dicetak pada muka depan majalah tersebut, iaitu hanya diedarkan kepada penganut Kristian di gereja.
Menteri berkenaan melarang penggunaan perkataan Allah atas alasan keselamtan Negara dan mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan orang Islam.
Mohamad Naser dalam hujahnya berkata, Allah adalah nama khas bagi Tuhan yang satu, termaktub dalam Al-Qur’an dan dimartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu sebarang usaha untuk merendahkan martabat kalimah suci Allah adalah suatu penghinaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Porres Royan, yang mewakili pemohon, dalam hujah balasnya, berkata, larangan yang dikenakan menteri adalah tidak munasabah, tidak sah dan bertentangan kebebasan beragama.
Menurutnya, Perkara 11(4) Perlembagan Persekutuan tidak memperuntukkan kuasa untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau keprcayaan agama dalam kalangan orang yang bukan beragama Islam.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menetapkan 30 Disember ini untuk memberikan keputusan.- Bernama
* berita di petik daripada Sinar Harian, Rabu, 16 Disember 2009.
No comments:
Post a Comment