Saturday, December 25, 2010

Ilmu


Bismillahirrahmanirrahhim,

Pernahkah kita berfikir mengapakah ayat pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W adalah “bacalah dengan nama tuhanmu” ? Surah Al-Alaq merupakan surah pertama yang diturunkan kepada nabi junjungan besar kita ketika beliau berada di atas bukit di Gua Hira, Mekah. Surah ini seharusnya diteliti dan difahami oleh setiap manusia bergelar muslim, surah ini mengingatkan kita betapa Allah menitikberatkan soal ilmu dalam kehidupan manusia.

Wujud perbezaankah orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Allah sudah menjelaskan di dalam surah Az-Zumar ayat 9, “Katakanlah: adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dan orang yang tidak berilmu pengetahuan? Tentulah tidak. Hanya yang menerima peringatan ialah orang-orang yang berakal.” Perbezaan orang-orang yang berilmu dengan ilmu-ilmu yang berfaedah adalah mereka mampu merasai kebesaran dan kekuasaan Allah. Ilmu-ilmu yang ada itulah yang akan mendekatkan diri mereka dan digunakan semaksima yang mungkin untuk mengenali pencipta dengan lebih dekat. Manakala, di dalam surah Al-Mujaadilah ayat 11, yang berbunyi “nescaya Allah meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat” membuktikan kepada kita betapa Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu, bukan sahaja di dunia malahan di akhirat. Namun, kita perlu bahawa ilmu yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan ilmu-ilmu yang bersangkut paut dengan ibadah sahaja malahan ilmu-ilmu yang berfaedah untuk kemuslihatan dunia dan akhirat.

Ilmu Allah dan manusia juga ada bezanya. Jika mahu dibandingkan ilmu pencipta dan ilmu makhluk ciptaanNYA sangatlah besar perbezaan. Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas tanpa sebarang batasan. Di dalam surah Al-Kahfi ayat 107-110 telah menjelaskan bahawa jika ditulis dengan dakwat dari air laut yang ada di dunia ini, nescaya habislah air laut itu, sedangkan perkataan Allah masih belum habis ditulis. Hal ini sememangnya tidak mampu disangkal atau diperdebatkan lagi kerana kekerdilan dan kebatasan ilmu yang manusia ada sudah jelas menunjukkan perbezaannya. Sehebat manapun ciptaan manusia di atas bumi Allah ini tidak mampu menandingi ciptaan Allah. Manusia sememangnya tidak mampu mencipta sesuatu yang lebih berkuasa daripada ciptaan Allah kerana manusia itu sendiri adalah satu ciptaan.

Secara amnya, dapatlah difahami disini tuntutan menuntut ilmu itu adalah penting untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini kerana, ilmu itulah yang akan membuatkan kita berfikir tentang kejadian yang ada di muka bumi ini. Selain itu juga, ilmu yang baik akan menghalang manusia melakukan sesuatu yang mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada persekitaran malahan dirinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...