Showing posts with label Usrah. Show all posts
Showing posts with label Usrah. Show all posts

Wednesday, June 1, 2011

Tanzim Haraki -satu pemahaman-

RISALAH

-EDISI USRAH-

2 JUN 2011


Alhamdulillah, pada kali ini saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit ilmu yang berkaitan Tanzim Harakiy. Perkongsian pada kali ini adalah bertujuan sebagai satu momentum untuk kita faham dan yakin kepada jalan yang kita pilih ini. Keyakinan menebal yang berteraskan ilmu akan membuatkan kita rasa tanggungjawab untuk berperanserta dalam melaksanakan tugasan dakwah ini. Saya berharap agar perkongsian kali ini akan menambah keyakinan kita yang padu dalam bai’ah untukmendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini. Seterusnya, meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah S.W.T untuk menjadikan negara kita sebagai ‘baldatun thoyyibatun wa rabbur ghafur’. Perkongsian pada kali ini saya buat berdasarkan cara soal jawab agar kita mudah untuk memahami perkara yang berkaitan tanzim harakiy.


Apakah yang dimaksudkan dengan tanzim?

Menurut bahasa, tanzim bermaksud mengumpulkan sesuatu serta menyusun dan menyelaraskannya. Manakala, berdasarkan istilah, tanzim bermaksud kewujudan sekumpulan manusia yang tersusun, mempunyai penyelarasan, keserasian dan hubungan rapat antara mereka, mempunyai matlamat yang sama dengan terdapat qiyadah yang melaksanakan urusan pentadbiran serta mengambil berat akan kepentingan mereka serta merancang untuk mencapai matlamat mereka. Kesemua mereka diikat oleh satu undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi samada ahli (jundiy) mahupun pimpinan (qiyadiy).


Adakah hal ini dibenarkan oleh syara’?

Tanzim harakiy dibenarkan oleh syara’. Hal ini disebabkan tanzim merupakan wasilah pertama dan antara faktor penyebab tertegaknya kewajipan melaksanakan undangundang syariat. Oleh hal yang demikian, kewujudan tanzim harakiy adalah wajib di sisi syara’ kerana tanpanya kewajipan tersebut tidak dapat disempurnakan. Antara kaedah

agama yang dimaklumi ialah:

“Perkara wajib yang tidak sempurna tanpa sesuatu yang lain, maka sesuatu yang lain itu

juga menjadi wajib.”

Apakah terdapat dalil-dalil dalam Al-Qur’an yang berkaitan jamaah?

Terdapat pelbagai ayat-ayat Al-Qur’an yang berkaitan dengan jamaah dan masyarakat, antaranya :

Surah An-Nur: ayat 2.

“Perempuan yang berzina dan lelaki berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

Selain itu, terdapat juga ayat-ayat Al-Qur’an yang menggesa kita menghapuskan kemungkaran secara berjamaah. Seperti yang terdapat dalam ayat 104 dan 110 Surah Ali-Imran dan ayat 71 Surah At-Taubah.


Apakah faedahnya tanzim harakiy?

Antara faedah penting kepada individu dan jamaah ialah:

1) Tanzim melindungi individu daripada aliran-aliran yang memusuhi Islam, membekalkan ketahanan dan kesediaan untuk menghadapi pemikiran -pemikiran, dasar-dasar dan pergerakan-pergerakan yang menyesatkan.

2) Tanzim akan menguatkan hubungan sosial individu, melahirkan ruh dan akhlak berjamaah.

3) Melalui tanzim yang berjaya, seseorang akan ditarbiyyah dengan tarbiyyah yang sempurna dan seimbang mencakupi seluruh aspek.

4) Tanzim harakiy merupakan antara faktor penting kejayaan jamaah kerana ianya menolong jamaah mencapai matlamatnya.

5) Membekalkan kekuatan yang padu kepada jamaah ketika melaksanakan amal dan menghasilkan produk.

6) Kemahiran yang berbagai-bagai samada dalam bidang ilmiah, keseniaan, pengurusan, kepimpinan, kemasyarakatan, peperangan dan lain-lain dapatdikenal pasti dengan baik melalui tanzim.

Firman Allah s.w.t dalam Surah AlQasas, ayat 35 yang bermaksud:

“Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu.”


Bagaimanakah sifat tanzim yang berjaya?

Antara sifat atau cara untuk mencapai tanzim yang berjaya adalah seperti berikut:

1) Mempunyai qiyadah yang berjaya.

2) Mempunyai jundiy yang thiqah kepada qiyadahnya, taat dengan penuh keredhaan dan ketenangan. Thiqah yang dimaksudkan ialah kepercayaan parajundiy kepada qiyadahnya daripada segi kelayakan dan keikhlasannya.

3) Wujudnya kesetiaan dan tolong-menolong di antara anggota tanzim harakiynya.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Taubah, ayat 71.

4) Mempunyai manhaj fikri, ruhi, thaqafi, harakiy dan amali untuk mentarbiyyah anggotanya dengan tarbiyyah yang menyeluruh.

5) Tanzim mempunyai perencanaan yang memiliki matlamat jangka panjang,

matlamat jangka pendek yang jelas, wasilah umum dan khusus untuk merealisasikan semua matlamat tersebut.

6) Setiap anggota mestilah memahami semua matlamat perencanaan, marhalah dan wasilah yang telah disusun oleh tanzim. Memahami peranannya dalam sesuatu marhalah dan peranannya saling menyempurnakan peranan yang dimainkan oleh orang lain.


Wallahualam

Monday, May 30, 2011

Risalah - Edisi Usrah-


RISALAH
-EDISI USRAH-
19 Mei 2011

Penawar Bagi Hati
Bab 10


Amal - tindak tanduk dua pekerjaan yang dilakukan oleh manusia. Setiap amal akan dimulai dengan niat dan tujuan.

Niat - Permulaan bagi segalam amalan samaada di terima oleh Allah atau tidak.

Ikhlas - mengerjakan amal ibadah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Ikhlas akan menepati niat, maksud atau motivasi kerja.

Redha Allah - merupakan buah keikhlasan yang diberi ganjaran berlipat kali ganda dan kebahagiaan yang kekal di dalam syurga.

Penyekutuan amal ibadat - apabila pengaruh yang mendorong kita berbuat sesuatu amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah telah dicampuri oleh dorongan nafsu maka amalan tadi menjadi mudah dan ringan dilakukan. Mereka juga melakukan kebajikan atau amal soleh yang tidak disertai dengan keikhlasan, hanya menampakkan hasil di dunia, sedang di sisi Allah tiada gan
jaran pahala. Ia juga dimaksudkan dengan beramal tetapi menderhakai Allah.



Monday, December 27, 2010

Introspeksi Diri

Bismillahirrahmanirrahim..

Dari langit angkasa kelihatan lautan luas yang begitu besar meliputi hampir satu pertiga bumi secara keseluruhannya. Maka tersangat banyaklah jumlah hidupan yang menghuni di dalamnya hingga tidak mampu dihitung lagi, termasuklah yang terdiri daripada pelbagai spesis ikan dan sebagainya.

Kelibat kapal-kapal besar yang belayar khususnya untuk menangkap hidupan-hidupan laut ini sudah pasti sudah tidak kelihatan lagi, ataupun sudah menjadi terlalu kecil jika dilihat dari celah awan yang sangat tinggi. Kapal itu sudah menjadi terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan luasnya lautan dalam itu.

Namun apa yang pasti dengan menggunakan kapal yang moden dan besar, tentulah jumlah tangkapan yang dapat kita perolehi adalah jauh lebih besar dan banyak bukan? Jika hendak dibandingkan dengan mereka yang hanya menggunakan pancing sahaja.

Bahkan dengan jumlah hasil yang begitu banyak juga, ianya bukan sahaja dapat dinikmati oleh kita seorang sahaja, malahan orang lain juga dapat merasainya hasil jumlah tangkapan kita yang besar itu.

Demikianlah sebuah analogi ringkas yang mungkin dapat kita buat bagi menggambarkan kita dan dunia ilmu yang sedang kita ‘selami’ kini. Ilmu itu tersangat banyak dan terbentang begitu luas umpama banyaknya jumlah hidupan laut seperti yang kita gambarkan tadi. Sementara diri kita pula bolehlah digambarkan seperti jentera-jentera yang sedang berusaha mencari hasil laut yang lumayan itu.

Cuma persoalannya sekarang ialah, adakah kita merupakan sebuah kapal yang sudah bersedia dengan pelbagai alatan-latan yang canggih dan moden untuk meredah samudera luas itu mencari khazanah hidupannya yang sangat bernilai? Ataukah kita hanyalah sebuah bot kecil yang hanya bersedia untuk menangkap beberapa ekor ikan sahaja.

Kita boleh fikirkan..namun apa yang pasti, ‘alatan-alatan’ kita itu dapat ditukar dengan ‘pengubahsuaian’ yang lebih baik bukan? Semoga pembelajaran dan usaha kita mencari ilmu dalam semester ini menjadi lebih baik berbanding pada musim-musim yang lalu J

Doa Penerang Hati dan Memulakan Bacaan

“Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku”

Saturday, December 25, 2010

Ilmu


Bismillahirrahmanirrahhim,

Pernahkah kita berfikir mengapakah ayat pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W adalah “bacalah dengan nama tuhanmu” ? Surah Al-Alaq merupakan surah pertama yang diturunkan kepada nabi junjungan besar kita ketika beliau berada di atas bukit di Gua Hira, Mekah. Surah ini seharusnya diteliti dan difahami oleh setiap manusia bergelar muslim, surah ini mengingatkan kita betapa Allah menitikberatkan soal ilmu dalam kehidupan manusia.

Wujud perbezaankah orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Allah sudah menjelaskan di dalam surah Az-Zumar ayat 9, “Katakanlah: adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dan orang yang tidak berilmu pengetahuan? Tentulah tidak. Hanya yang menerima peringatan ialah orang-orang yang berakal.” Perbezaan orang-orang yang berilmu dengan ilmu-ilmu yang berfaedah adalah mereka mampu merasai kebesaran dan kekuasaan Allah. Ilmu-ilmu yang ada itulah yang akan mendekatkan diri mereka dan digunakan semaksima yang mungkin untuk mengenali pencipta dengan lebih dekat. Manakala, di dalam surah Al-Mujaadilah ayat 11, yang berbunyi “nescaya Allah meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat” membuktikan kepada kita betapa Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu, bukan sahaja di dunia malahan di akhirat. Namun, kita perlu bahawa ilmu yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan ilmu-ilmu yang bersangkut paut dengan ibadah sahaja malahan ilmu-ilmu yang berfaedah untuk kemuslihatan dunia dan akhirat.

Ilmu Allah dan manusia juga ada bezanya. Jika mahu dibandingkan ilmu pencipta dan ilmu makhluk ciptaanNYA sangatlah besar perbezaan. Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas tanpa sebarang batasan. Di dalam surah Al-Kahfi ayat 107-110 telah menjelaskan bahawa jika ditulis dengan dakwat dari air laut yang ada di dunia ini, nescaya habislah air laut itu, sedangkan perkataan Allah masih belum habis ditulis. Hal ini sememangnya tidak mampu disangkal atau diperdebatkan lagi kerana kekerdilan dan kebatasan ilmu yang manusia ada sudah jelas menunjukkan perbezaannya. Sehebat manapun ciptaan manusia di atas bumi Allah ini tidak mampu menandingi ciptaan Allah. Manusia sememangnya tidak mampu mencipta sesuatu yang lebih berkuasa daripada ciptaan Allah kerana manusia itu sendiri adalah satu ciptaan.

Secara amnya, dapatlah difahami disini tuntutan menuntut ilmu itu adalah penting untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini kerana, ilmu itulah yang akan membuatkan kita berfikir tentang kejadian yang ada di muka bumi ini. Selain itu juga, ilmu yang baik akan menghalang manusia melakukan sesuatu yang mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada persekitaran malahan dirinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...