Showing posts with label Survival. Show all posts
Showing posts with label Survival. Show all posts

Monday, June 13, 2011

Rejab - Bulan Allah


RISALAH
-EDISI JUMAAT-
10 REJAB 2011
10 JUN 2011

~BULAN ALLAH~

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada
keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah,
Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar. Antaranya,
Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan
sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam
al-Ghunyah.

Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya. Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas alQuran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36
mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan
Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana
Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab,
Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan
sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.” Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada
Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut
meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai
untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam alNawawi dalam kitab al-Arba’ien. Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai
puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan:
“Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan
kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan
kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit. Imam
Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w
menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW,
wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka
apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana
Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: “Telah sampai kepada
kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat,
malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang
tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin
(amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab. Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara
menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil
yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan
bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita. Berapa banyak
yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat
menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang
benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi
milik kita secara hakikatnya.

sumber dari : http://al-islam.wikidot.com/bulan-rejab

Wednesday, June 1, 2011

Tanzim Haraki -satu pemahaman-

RISALAH

-EDISI USRAH-

2 JUN 2011


Alhamdulillah, pada kali ini saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit ilmu yang berkaitan Tanzim Harakiy. Perkongsian pada kali ini adalah bertujuan sebagai satu momentum untuk kita faham dan yakin kepada jalan yang kita pilih ini. Keyakinan menebal yang berteraskan ilmu akan membuatkan kita rasa tanggungjawab untuk berperanserta dalam melaksanakan tugasan dakwah ini. Saya berharap agar perkongsian kali ini akan menambah keyakinan kita yang padu dalam bai’ah untukmendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini. Seterusnya, meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah S.W.T untuk menjadikan negara kita sebagai ‘baldatun thoyyibatun wa rabbur ghafur’. Perkongsian pada kali ini saya buat berdasarkan cara soal jawab agar kita mudah untuk memahami perkara yang berkaitan tanzim harakiy.


Apakah yang dimaksudkan dengan tanzim?

Menurut bahasa, tanzim bermaksud mengumpulkan sesuatu serta menyusun dan menyelaraskannya. Manakala, berdasarkan istilah, tanzim bermaksud kewujudan sekumpulan manusia yang tersusun, mempunyai penyelarasan, keserasian dan hubungan rapat antara mereka, mempunyai matlamat yang sama dengan terdapat qiyadah yang melaksanakan urusan pentadbiran serta mengambil berat akan kepentingan mereka serta merancang untuk mencapai matlamat mereka. Kesemua mereka diikat oleh satu undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi samada ahli (jundiy) mahupun pimpinan (qiyadiy).


Adakah hal ini dibenarkan oleh syara’?

Tanzim harakiy dibenarkan oleh syara’. Hal ini disebabkan tanzim merupakan wasilah pertama dan antara faktor penyebab tertegaknya kewajipan melaksanakan undangundang syariat. Oleh hal yang demikian, kewujudan tanzim harakiy adalah wajib di sisi syara’ kerana tanpanya kewajipan tersebut tidak dapat disempurnakan. Antara kaedah

agama yang dimaklumi ialah:

“Perkara wajib yang tidak sempurna tanpa sesuatu yang lain, maka sesuatu yang lain itu

juga menjadi wajib.”

Apakah terdapat dalil-dalil dalam Al-Qur’an yang berkaitan jamaah?

Terdapat pelbagai ayat-ayat Al-Qur’an yang berkaitan dengan jamaah dan masyarakat, antaranya :

Surah An-Nur: ayat 2.

“Perempuan yang berzina dan lelaki berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

Selain itu, terdapat juga ayat-ayat Al-Qur’an yang menggesa kita menghapuskan kemungkaran secara berjamaah. Seperti yang terdapat dalam ayat 104 dan 110 Surah Ali-Imran dan ayat 71 Surah At-Taubah.


Apakah faedahnya tanzim harakiy?

Antara faedah penting kepada individu dan jamaah ialah:

1) Tanzim melindungi individu daripada aliran-aliran yang memusuhi Islam, membekalkan ketahanan dan kesediaan untuk menghadapi pemikiran -pemikiran, dasar-dasar dan pergerakan-pergerakan yang menyesatkan.

2) Tanzim akan menguatkan hubungan sosial individu, melahirkan ruh dan akhlak berjamaah.

3) Melalui tanzim yang berjaya, seseorang akan ditarbiyyah dengan tarbiyyah yang sempurna dan seimbang mencakupi seluruh aspek.

4) Tanzim harakiy merupakan antara faktor penting kejayaan jamaah kerana ianya menolong jamaah mencapai matlamatnya.

5) Membekalkan kekuatan yang padu kepada jamaah ketika melaksanakan amal dan menghasilkan produk.

6) Kemahiran yang berbagai-bagai samada dalam bidang ilmiah, keseniaan, pengurusan, kepimpinan, kemasyarakatan, peperangan dan lain-lain dapatdikenal pasti dengan baik melalui tanzim.

Firman Allah s.w.t dalam Surah AlQasas, ayat 35 yang bermaksud:

“Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu.”


Bagaimanakah sifat tanzim yang berjaya?

Antara sifat atau cara untuk mencapai tanzim yang berjaya adalah seperti berikut:

1) Mempunyai qiyadah yang berjaya.

2) Mempunyai jundiy yang thiqah kepada qiyadahnya, taat dengan penuh keredhaan dan ketenangan. Thiqah yang dimaksudkan ialah kepercayaan parajundiy kepada qiyadahnya daripada segi kelayakan dan keikhlasannya.

3) Wujudnya kesetiaan dan tolong-menolong di antara anggota tanzim harakiynya.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Taubah, ayat 71.

4) Mempunyai manhaj fikri, ruhi, thaqafi, harakiy dan amali untuk mentarbiyyah anggotanya dengan tarbiyyah yang menyeluruh.

5) Tanzim mempunyai perencanaan yang memiliki matlamat jangka panjang,

matlamat jangka pendek yang jelas, wasilah umum dan khusus untuk merealisasikan semua matlamat tersebut.

6) Setiap anggota mestilah memahami semua matlamat perencanaan, marhalah dan wasilah yang telah disusun oleh tanzim. Memahami peranannya dalam sesuatu marhalah dan peranannya saling menyempurnakan peranan yang dimainkan oleh orang lain.


Wallahualam

Sunday, May 15, 2011

Risalah - Edisi Usrah-


RISALAH
- EDISI USRAH-
12 Mei 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Oleh: Pejuang Keadilan

Pertamanya, ayuh teman-teman kita merafakkan rasa tasyakkur kita kepada Ilahi kerana memberikan kita kesempatan lagi bagi menuai budi dan bakti di atas muka bumi ini. Sedar atau tidak kita sudahpun memasuki semester ke-3 bagi tahun 2010/2011. Moga-moga kenangan kejayaan pada semester lepas menjadi penguat kita bagi meneruskan kejayaan pada semester kali ini. Namun, jangan pula kita gundah-gelana dengan ketidakberjayaan kita pada masa yang lalu. Fikirkan kembali sejauh mana amalan kita dan harus kita tingkatkan amalan kita bagi mengecapai kejayaan. Hal ini semuanya dugaan yang Allah berikan kepada ummat yang terpilih, maka bersyukurlah kepada sesiapa yang diuji.

Buat teman-teman seperjuangan, harus kita ingat bahawa ilmu yang kita perolehi tidak akan bemanfaat jika kita tidak amalkan. Ilmu tanpa amal ialah gila, dan amal tanpa ilmu pula adalah sia-sia. Saya kira perumpamaan sebegini pasti sudah melekat dalam akal kita. Jika kita lihat, ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada Perbuatan maksiat dan belum juga mampu mendorong kita berbuat taat dan tidak akan dapat menjauhkan diri kita daripada api neraka di akhirat kelak. Justeru itu, kita seharusnya mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari lantaran beramal dengan ilmu yang kita dapat mampu membetulkan kesilapan kita. Seterusnya, dalam masa semester pendek yang singkat ini. kita perlu Siapkan mental dan fizikal bagi kita memastikan tugasan dakwah kita berjalan dengan lancar. Bagi saya, setiap denyut jantung yang bergetar dalam diri kita harus kita semati dengan rasa cinta hamba kepada khaliqnya. Harus kita sedar akan tanggungjawab kita sebagai pemakmur dunia ini. tambahan pula kita sebagai warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang sememangnya akan menjadi butir-butir permata yang berkilau indah digenap tempat yang akan menjadi pemudahbicara masyarakat. Anggaplah ini sebagai medan perjuangan ilmu dan bakti kita.

Akhir kalam, tetapkan matlamat kita dalam diri ini untuk mengecapi keredhaan Ilahi. Buatlah apa-apa sahaja di atas muka bumi ini sebagai tanda rasa kasih dan sayang kita pada agama kita. Ikhlaskan hati kita menuju cinta hakiki ini. ingatlah tugasan menyemai ilmu dan bakti ini sangat sukar, namun ganjaran yang dijanjikan oleh Yang Maha Pencipta itu pasti akan lumayan. Sama-samalah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya untuk mempermudahkan segalan urusan kita di atas tanah yang permai ini. Wabillahitaufik wal hidayah, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...