Sunday, May 15, 2011

Risalah - Edisi Usrah-


RISALAH
- EDISI USRAH-
12 Mei 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Oleh: Pejuang Keadilan

Pertamanya, ayuh teman-teman kita merafakkan rasa tasyakkur kita kepada Ilahi kerana memberikan kita kesempatan lagi bagi menuai budi dan bakti di atas muka bumi ini. Sedar atau tidak kita sudahpun memasuki semester ke-3 bagi tahun 2010/2011. Moga-moga kenangan kejayaan pada semester lepas menjadi penguat kita bagi meneruskan kejayaan pada semester kali ini. Namun, jangan pula kita gundah-gelana dengan ketidakberjayaan kita pada masa yang lalu. Fikirkan kembali sejauh mana amalan kita dan harus kita tingkatkan amalan kita bagi mengecapai kejayaan. Hal ini semuanya dugaan yang Allah berikan kepada ummat yang terpilih, maka bersyukurlah kepada sesiapa yang diuji.

Buat teman-teman seperjuangan, harus kita ingat bahawa ilmu yang kita perolehi tidak akan bemanfaat jika kita tidak amalkan. Ilmu tanpa amal ialah gila, dan amal tanpa ilmu pula adalah sia-sia. Saya kira perumpamaan sebegini pasti sudah melekat dalam akal kita. Jika kita lihat, ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada Perbuatan maksiat dan belum juga mampu mendorong kita berbuat taat dan tidak akan dapat menjauhkan diri kita daripada api neraka di akhirat kelak. Justeru itu, kita seharusnya mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari lantaran beramal dengan ilmu yang kita dapat mampu membetulkan kesilapan kita. Seterusnya, dalam masa semester pendek yang singkat ini. kita perlu Siapkan mental dan fizikal bagi kita memastikan tugasan dakwah kita berjalan dengan lancar. Bagi saya, setiap denyut jantung yang bergetar dalam diri kita harus kita semati dengan rasa cinta hamba kepada khaliqnya. Harus kita sedar akan tanggungjawab kita sebagai pemakmur dunia ini. tambahan pula kita sebagai warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang sememangnya akan menjadi butir-butir permata yang berkilau indah digenap tempat yang akan menjadi pemudahbicara masyarakat. Anggaplah ini sebagai medan perjuangan ilmu dan bakti kita.

Akhir kalam, tetapkan matlamat kita dalam diri ini untuk mengecapi keredhaan Ilahi. Buatlah apa-apa sahaja di atas muka bumi ini sebagai tanda rasa kasih dan sayang kita pada agama kita. Ikhlaskan hati kita menuju cinta hakiki ini. ingatlah tugasan menyemai ilmu dan bakti ini sangat sukar, namun ganjaran yang dijanjikan oleh Yang Maha Pencipta itu pasti akan lumayan. Sama-samalah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya untuk mempermudahkan segalan urusan kita di atas tanah yang permai ini. Wabillahitaufik wal hidayah, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...