Monday, May 16, 2011

Seminggu sebuah buku - Masjid itu Hidupku






Tajuk : Masjid Itu Hidupku

Pengarang : Mohd Gunawan Che Ab. Aziz

Bilangan muka surat : 137

Terbitan/tahun : Telaga Biru / 2008




Masjid adalah salah satu binaan yang penting dalam seni bina tamadun Islam. Masjid bukan sahaja mempunyai ciri - ciri dan nilai estetika yang tersendiri, tetapi mempunyai makna yang mendalam dalam kehidupan seseorang muslim. Buku ini mempunyai 137 halaman muka surat yang menceritakan aspek - aspek fizikal masjid dan ditambah pula dengan nilai - nilai dalaman masjid itu sendiri. Sebanyak 13 bab telah dikupas oleh penulis dalam buku ini yang kesemuanya berkaitan dengan masjid dan diri kita sebagai manusia. Betapa pentingnya masjid sebagai satu tempat perhimpunan yang menyatupadukan masyarakat muslim dan menjadi tempat berlindungnya dari syaitan.


Seperti yang kita sedia maklum, di setiap negara Islam mesti mempunyai masjid dan jika kita mengimbau sejarah bangunan pertama dibina setelah tempat itu diteroka atau ditakluk adalah masjid. Masjid mempunyai makna yang mendalam sebagai tempat rahmat, tempat ibadah bagi Muslim. Di dalam buku ini juga diceritakan tentang arkitek masjid mengikut zaman, bahagian - bahagian masjid serta kegunaan masjid. Kita juga dapat mengetahui masjid yang terbesar di dunia, menara masjid tertinggi di dunia dan kubah terbesar di dunia.



Buku ini juga menyorot satu perspektif yang sangat menarik tentang peranan dan peristiwa yang berlaku sekitar masjid dan kita sebagai pembaca akan dibawa mengimbau kembali masjid pada zaman Rasulullah saw. Pelbagai persoalan juga dibawa seperti bolehkah kita sebagai generasi muda pada hari ini mengembalikan fungsi masjid dan seterusnya mewarnai semula masjid dengan lukisan yang telah dilukis zaman dahulu. Hari ini semua menjadi cabaran arus modenisasi kepada kita, adakah dengan menggapai arus kemodenan, masyarakat semakin mendekati masjid atau sebaliknya? Sama - sama kita rungkaikan masalh ini dengan kita membaca buku ini sebagai satu langkah untuk kita mengangkat fungsi masjid sebagai gedung ilmu, tempat perpaduan dan pastinya tempat beribadat kepada Allah s.w.t. Semoga hidup kita akan diberkati oleh-Nya.






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...