Showing posts with label seminggu sebuah buku. Show all posts
Showing posts with label seminggu sebuah buku. Show all posts

Thursday, October 27, 2011

Seminggu Sebuah Buku -Merawat 7 Penyakit Hati



Tajuk Buku : Merawat 7 Penyakit Hati

Penulis :Syed Mahazir Shariff Ahmad

Terbitan/ Tahun : Pustaka Azhar/2008

Hati adalah tempat bersemayam segala perasaan; suka, duka, cinta, benci, marah, buruk sangka, ingin dipuji dan sebagainya. Perasaan-perasaan ini bergolak dan berubah sangat cepat di dalam hati. Jika hati dikuasai oleh perasaan positif, amal yang lahir adalah kebaikan. Namun, jika ia dikuasai oleh perasaan negatif, amal yang lahir adalah keburukan. Kerana itu, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada sebuah jasad. Jika ia baik, akan baik seluruh amal manusia. Jika ia rosak, akan risaklah seluruh amalnya. Ketahuilah, ia adalah hati, (Hadis Riwayat Ahmad).

7 penyakit hati yang disebutkan di dalam buku ini ialah membanggakan diri (al-‘ujub), terpedaya dengan perasaan sendiri (al-ghurur), sombong atau bongkak (at-takabbur), suka menunjuk-nunjuk (al-riya’), buruk sangka (su’ al-zhann), kikir (al-syuhh) dan dendam (al-hiqd).

Hati dan perasaan merupakan sesuatu yang tersembunyi. Tidak ada sesiapa yang dapat melihat isi hati seseorang melainkan Tuhan yang Maha Esa. Hati perlulah diberi didikan yang baik dan sempurna agar ianya terbentuk mengikut syariat Islam. Oleh itu, kita perlulah mempelajari cara-cara menjauhkan penyakit-penyakit hati agar kita tidak terlajak sehingga perlu mengubati hati. Sesungguhnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Sesiapa yang memiliki azam yang kuat agar hatinya bersih tak ternoda, sehingga melahirkan amal-amal soleh nan mulia, buku ini amat berharga sekali untuk dibaca.


Monday, June 13, 2011

Seminggu sebuah buku -Membina Pelajar Cemerlang-Evolusi Pembelajaran Sepanjang Hayat


Tajuk : Membina Pelajar Cemerlang - Evolusi Pembelajaran Sepanjang Hayat

Pengarang : Tajul Ariffin Nordin, Roslee Ahmad dan Rahimawati Abdul Rahim

Bilangan muka surat : 222

Terbitan : Penerbit Universiti Teknologi Malaysia Press

Di dalam buku ini telah dikhaskan satu bab yang bertajuk Pemakanan Seimbang untuk Pelajar Cemerlang. Pemakanan seimbang amat penting bagi tubuh badan seorang pelajar. Makanan yang diambil akan mempengaruhi pemikiran dan minda seseorang pelajar. Jika makanan yang diambil seimbang, seseorang pelajar itu akan dapat belajar dengan mudah tanpa menghadapi sebarang gangguan kesihatan.

Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang cerdas. Oleh itu, seseorang pelajar itu perlu memilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan. Pemakanan yang sihat menitikberatkan 3 faktor utama iaitu halal, berkualiti dan berjadual. Makanan yang berkualiti adalah makanan yang mengandungi semua kandungan nutrien dan makanan berjadual pula ialah makan mengikut jadual. Tokoh-tokoh dunia dan agama seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Imam Al-Ghazali, Imam Syafi’ie dan Rasulullah s.a.w. menitikberatkan amalan dan pemilihan pemakanan yang berkualiti demi kesihatan dan penjagaan minda.

Oleh itu, seorang pelajar haruslah mengetahui dan menguasai ilmu tentang pemakananseimbang agar boleh membuat pilihan yang baik dalam pemakanan demi memastikan kesihatan tubuh dan minda terjamin. Dengan pengambilan makanan yang baik, insyaALLAH seseorang pelajar itu akan cemerlang dalam pelajarannya seterusnya berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Thursday, June 2, 2011

Seminggu sebuah buku - Tanzim Haraki dalam Islam


Tajuk : Tanzim Haraki dalam Islam

Pengarang : Ahmad Abd Al- Mu'im Al- Badri

Penerbit : Pustaka Salam


Sebagai ahli dalam gerakan Islam yang mengamalkan tanzim haraki, perlulah kita memiliki ilmu-ilmu tentangnya supaya kita boleh mengamalkannya dengan sebaiknya dan sepenuhnya. Berdasarkan buku yang ditulis oleh Ustaz Ahmad Abd Al-Mu’in Al-Badri ini, umat Islam umumnya dan ahli-ahli gerakan khususnya dapat memahami erti sebenar tanzim haraki,hikmah disebaliknya dan ciri-cirinya.

Buku ini terbahagi kepada empat fasal dan setiap fasal mempunyai beberapa perbahasan yang menerangkan dengan lebih terperinci bagi setiap fasal. Pada fasal pertama penulis menerangkan definasi tanzim pada perbahasan pertama,tanzim di sisi syariat dan alasan kewujudannya diperlukan serta faedah tanzim haraki dan ciri-ciri tanzim haraki yang berjaya.

Pada fasal kedua, beliau menerangkan tentang tugas-tugas qiyadah dan kepentingannya serta hukum melantik qiyadah dalam jemaah. Pada perbahasan kedua fasal ini pula beliau menerangkan qiyadah fardiyyah dan jamaiyyah.

Seterusnya pada perbahasan ketiga beliau menerangkan ciri-ciri qiyadah yang Berjaya dan terakhir menerangkan pemilihan qiyadah berdasarkan syura. Rukun tanzim kedua yakni jundiyyah diterangkan pada fasal ketiga buku ini. Dalam fasal ini penulis menekankan tentang ahli-ahli jemaah, bagaimanakah ahli-ahli jemaah yang berjaya dan aspek kehidupan jundi yang perlu dirawat. Akhir sekali penulis menerangkan tentang rukun terakhir tanzim yakni al-khittah (perencanaan). Antara yang diterangkan ialah garis panduan dalam perencanaan,marhalah perencanaan dan wasilahnya.

Sebagai kesimpulan, buku ini perlulah dibaca oleh semua ahli dalam jemaah. Hal ini kerana tanzim haraki amatlah penting dalam gerakan yang dipanggil gerakan Islam. Ahli gerakan juga dapat memahami tanggungjawab mereka dalam gerakan di dalam setiap peringkat tanzim dan memilih cara-cara yang terbaik untuk memastikan tanzim yang di amalkan berjaya.

Monday, May 16, 2011

Seminggu sebuah buku - Masjid itu Hidupku






Tajuk : Masjid Itu Hidupku

Pengarang : Mohd Gunawan Che Ab. Aziz

Bilangan muka surat : 137

Terbitan/tahun : Telaga Biru / 2008




Masjid adalah salah satu binaan yang penting dalam seni bina tamadun Islam. Masjid bukan sahaja mempunyai ciri - ciri dan nilai estetika yang tersendiri, tetapi mempunyai makna yang mendalam dalam kehidupan seseorang muslim. Buku ini mempunyai 137 halaman muka surat yang menceritakan aspek - aspek fizikal masjid dan ditambah pula dengan nilai - nilai dalaman masjid itu sendiri. Sebanyak 13 bab telah dikupas oleh penulis dalam buku ini yang kesemuanya berkaitan dengan masjid dan diri kita sebagai manusia. Betapa pentingnya masjid sebagai satu tempat perhimpunan yang menyatupadukan masyarakat muslim dan menjadi tempat berlindungnya dari syaitan.


Seperti yang kita sedia maklum, di setiap negara Islam mesti mempunyai masjid dan jika kita mengimbau sejarah bangunan pertama dibina setelah tempat itu diteroka atau ditakluk adalah masjid. Masjid mempunyai makna yang mendalam sebagai tempat rahmat, tempat ibadah bagi Muslim. Di dalam buku ini juga diceritakan tentang arkitek masjid mengikut zaman, bahagian - bahagian masjid serta kegunaan masjid. Kita juga dapat mengetahui masjid yang terbesar di dunia, menara masjid tertinggi di dunia dan kubah terbesar di dunia.



Buku ini juga menyorot satu perspektif yang sangat menarik tentang peranan dan peristiwa yang berlaku sekitar masjid dan kita sebagai pembaca akan dibawa mengimbau kembali masjid pada zaman Rasulullah saw. Pelbagai persoalan juga dibawa seperti bolehkah kita sebagai generasi muda pada hari ini mengembalikan fungsi masjid dan seterusnya mewarnai semula masjid dengan lukisan yang telah dilukis zaman dahulu. Hari ini semua menjadi cabaran arus modenisasi kepada kita, adakah dengan menggapai arus kemodenan, masyarakat semakin mendekati masjid atau sebaliknya? Sama - sama kita rungkaikan masalh ini dengan kita membaca buku ini sebagai satu langkah untuk kita mengangkat fungsi masjid sebagai gedung ilmu, tempat perpaduan dan pastinya tempat beribadat kepada Allah s.w.t. Semoga hidup kita akan diberkati oleh-Nya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...