Monday, December 27, 2010

Buku Aminah- Bunga Kaum Quraisy



JUDUL BUKU: Aminah- Bunga Kaum Quraisy (203m/s)

PENULIS: Ezee Rahmani

TERBITAN: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (2010)



Siapakah dia Aminah binti Wahab binti Abdul Manaf binti Zuhrah binti Kilab binti Murrah? Saya yakin tentu ramai di kalangan kita yang mengenalinya, ibu kandung kepada insan mulia junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi, tentu ramai juga di kalangan kita yang belum mengenali dengan lebih mendalam siapakah dia wanita yang terpilih ini?

Jadi melalui buku ini, penulisnya telah menceritakan kepada kita mengenai kehidupan Aminah dengan lebih terperinci. Hal ini termasuklah mengenai kejelitaannya, keperibadiannya, statusnya di kalangan masyarakat kaum Quraisy pada ketika itu, cerita perkahwinannya dengan Abdullah bin Abdul Mutalib dan sebagainya.

Dengan gaya bahasa dan cara penceritaannya yang menarik, buku ini pasti dapat menarik minta kita untuk mengenali dengan lebih dekat lagi latar belakang keluarga Baginda Rasulullah s.a.w. yang kita sayangi.

Pelbagai kisah, status kebangsawanan dan kemuliaan yang dimiliki oleh keturunan ibu bapa Nabi Muhammad s.a.w telah disentuh dalam novel ini. Perkara-perkara ini tentu akan menjadikan kita bertambah kagum dengan salasilah keluarga Baginda yang begitu mulia dan dipandang tinggi dalam masyarakat Arab Quraisy pada waktu itu.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Allah memindah-mindahkan diriku daripada tulang sulbi ayah-ayah yang baik-baik ke rahim ibu-ibu yang suci dalam keadaan suci dan terdidik. Sekiranya suatu keturunan bercabang dua, maka Allah menjadikanku berada pada cabang yang terbaik antara kedua-duanya”. (Ibnu Abbas)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...