Thursday, July 16, 2009

AKHIRNYA…KEDUDUKAN PPSMI TERJAWAB

Keputusan pemansuhan ppsmi yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai yang lepas telah menamatkan segala teka-teki rakyat Malaysia tentang kedudukan dasar pelajaran baru itu yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2003. Kami pihak PKPIM UIAM ingin mengucapkan Tahniah diatas keputusan bijak beliau mengenai dasar itu.

Sebelum keputusan itu dibuat, kita pasti tidak akan lupa dimana puluhan ribu rakyat daripada pelbagai latar belakang etnik telah berkumpul pada sebuah perhimpunan raksasa-100 ribu yang di anjurkan oleh Gerakan Pemansuhan Ppsmi (GMP). Ia merupakan peringkat terakhir untuk mendesak kerajaan terutama Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memansuhkan dasar ppsmi yang terbukti merugikan Negara dalam jangka masa pendek dan panjang. .

Jika sebelum ini, demonstrasi selalu dikaitkan dengan parti pembangkang, namun peristiwa 7 Mac yang lalu telah menyaksikan kita tentang ‘trend’ baru di mana ahli akademik dan cendikiawan Negara turut berpartisipasi dalam demonstrasi. Ini membuktikan mereka juga menjalankan tanggungjawab sosial kerana isu ppsmi ini sangat dekat di hati mereka.

Selepas peristiwa itu, aktivis GMP yang diketuai Datuk Dr. Hassan Ahmad ternanti-nanti akan keputusan dari pihak KPM. Setelah KPM bertukar kepimpinan yang sekarang ini dipertanggungjawabkan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau akhirnya mengumumkan pemansuhan ppsmi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2012. Ini bermakna subjek sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Melayu di sekolah-sekolah Kebangsaan dan bahasa Mandarin dan Tamil bagi sekolah-sekolah jenis Kebangsaan.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kajian-kajian para penyelidik tempatan dan antarabangsa tentang keberkesanan ppsmi dalam meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dikalangan para pelajar. Kajian oleh sebilangan professional dari UPSI yang di ketuai oleh Professor Emeritus Dato’ Isahak Haron mendapati lebih daripada 75% murid-murid tahun 5 yang menjadi bahan sampel dari pelbagai etnik menghadapi kesukaran atau agak sukar belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Malah, lebih 80% pelajar Melayu menghadapi kesukaran belajar kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa inggeris berbanding bangsa Cina dan India. Selain itu dapatan kajian mendapati secara relatif, 70% pelajar dan lebih tinggi iaitu hampir 75% pelajar Melayu tidak boleh menjawab item-item dalam bahasa inggeris. Ini menunjukkan kebolehan berbahasa inggeris masih ditahap yang rendah walau mereka sudah didedahkan kepada polisi tersebut sejak 2003 lagi.

Kajian lain yang dijalankan oleh sekumpulan 50-pengkaji dari kalangan pensyarah daripada tujuh universiti tempatan (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) mendapati peratusan pelajar yang gagal (D dan E) dalam kedua-dua subjek di beberapa negeri seperti Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak adalah lebih daripada 50%. Menurut kajian DBP-UKM pula, pencapaian pelajar dalam subjek sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa inggeris merosot selepas ppsmi dilaksanakan secara rasmi. Inilah yang dikatakan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”

Bagaimana pula dengan pencapaian pelajar kita di arena antarabangsa? Sebuah dapatan kajian yang didedahkan oleh PKPIM berhubung “Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) yang dianjurkan oleh International Association for the Evaluation of Education Achievement (IEA) menunjukkan pencapaian para pelajar kita telah jatuh merundum akibat kesan langsung dasar ppsmi ini. Untuk pengetahuan umum, Malaysia merupakan salah sebuah Negara yang menyertai kajian tersebut bersama-sama 49 Negara yang lain dari seluruh dunia. Responden terdiri daripada 4,466 orang pelajar tingkatan 2, 150 orang guru masing-masing mengajar sains dan matematik daripada 150 buah sekolah di seluruh Malaysia. Penting untuk dinyatakan disini bahawa pelajar tersebut adalah produk ppsmi.

Menurut kajian TIMSS 2007 itu, pencapaian pelajar kita dalam subjek matematik jatuh dari tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007. Bagi subjek sains pula, pencapaian kita jatuh dari tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Lebih malang, Malaysia tidak mencapai skor purata paling minimum iaitu 500 yang ditetapkan oleh IEA berbanding tahun-tahun sebelum ppsmi diaplikasikan ke dalam sistem pendidikan Negara kita.

Daripada kajian itu, terdapat hubungan positif di antara bahasa pengantar bagi mengajar sains dan matematik dengan pencapaian cemerlang yang diperoleh. Menariknya, lebih daripada 90% pelajar yang mendapat pencapaian yang tinggi dalam kajian tersebut adalah dari Negara-Negara yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran dan peperiksaan seperti Jepun. Taiwan, Korea, Sweden, Australia, Scotland, Russia dan USA.

Secara ringkas, ppsmi bertanggungjawab dalam mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar kita yang pada pandangan penulis amat teruk. penulis juga yakin, ramai yang sependapat dengan penulis. Oleh yang demikian, sekali lagi kami PKPIM-UIAM juga sebagai penyokong GMP mengalu-alukan keputusan pemansuhan ppsmi dan sekalung tahniah buat Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami berharap segala mekanisma dan kaedah pembelajaran yang efektif dapat diketemukan segera bagi membantu para pelajar untuk menguasai subjek sains, matematik dan bahasa Inggeris dengan lebih mudah. Pada masa yang sama memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Nasional iaitu bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Wallhu’alam.

Ditulis oleh,
Faridah Mohd Tap
PKPIM-ABIM-WADAH
Gombak, Selangor.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...