Sehingga makalah ini di tulis, isu kerajaan perpaduan cetusan idea oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih hangat di perkatakan di dada-dada akhbar arus perdana mahupun alternatif. Isu kerajaan perpaduan telah mengundang pelbagai reaksi bagi mereka yang prihatin terhadap perkembangan politik di Malaysia.
Drama politik Malaysia pasca PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu terus-terusan dengan episodnya yang penuh pergolakan. Bermula dengan penafian majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) oleh Pakatan Rakyat (PR), episod politik di negara ini terus menarik perhatian penganalis politik dan rakyat awam.
Keputusan pilihan raya yang lepas telah memberi nafas baru kepada perkembangan politik di Malaysia yang menjadi kayu ukur bahwasanya demokrasi di Negara ini semakin matang. Rakyat mula membuka mata dan celik dengan isu-isu politik di Malaysia di mana natijahnya rakyat mula menolak politik perkauman jenama BN.
PR sendiri tidak menyangka pilihan raya yang lalu merupakan hadiah paling bermakna kepada perjuangan mereka di pentas politik Negara. Tiada siapa menyangka bahawa PR akan menawan lima negeri (Selangor, Perak, Kedah, Penang dan Kelantan). Namun begitu jalan cerita politik Negara ini semakin penuh dengan kontroversi apabila kepimpinan PR di Perak hanya sementara apabila BN merampas semula negeri itu. Sehingga kini, PR terus berusaha untuk menawan kembali Perak dan menyebabkan Perak terus-menerus dengan pergolakan. Pimpinan PR dan penyokong-penyokongnya tidak penat untuk melaungkan ‘Hidup Rakyat, Bubar DUN!’ di Parlimen mahupun muktamar PAS baru-baru ini.
Episod konflik politik di Perak diselang-selikan dengan pilihan raya kecil. Setakat ini sudah enam pilihan raya kecil (Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, dan Penanti) mewarnai politik Malaysia selepas PRU ke-12. Terbaru adalah pilihan raya kecil yang akan di adakan di Manik Urai pada bulan Julai nanti. Kedua-dua PR dan BN akan menghantar calon mereka seterusnya sama-sama berentap untuk merebut kemenangan.
Pilihan raya kecil di Manik Urai seakan-akan tenggelam dengan isu kerajaan perpaduan yang mula di cetuskan oleh Datuk Seri Hadi awal Februari yang lalu. Ada yang menyambut baik idea itiu, malah ada juga yang menentangnya. Ramai mengatakan kerajaan perpaduan itu adalah altenatif bagi agenda “16 September” yang gagal.
Menurut pelopor idea kerajaan perpaduan, idea itu tercetus setelah mengambil kira sosio-politik Malaysia yang tidak menentu. Keadaan bertambah buruk apabila dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan. Bukan itu sahaja, isu-isu seperti pendidikan, bahasa, agama, sosial, moral dan akhlak turut menyumbang kepada cetusan idea kerajaan perpaduan ini.
Walaupun begitu, isu kerajaan perpaduan itu telah menimbulkan pelbagai polemik. Ada pihak yang menyambut baik idea itu termasuk parti pemerintah. Namun, ada juga yang menolaknya termasuk pimpinan PAS sendiri. Terbaru, seperti yang dicanang-canang oleh media, Mursyidul am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menolak idea itu dan memberi kata dua kepada Naib Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Md. Isa supaya meninggalkan PAS dan masuk ke UMNO, lantaran beliau begitu menyokong idea kerajaan perpaduan. Seharusnya isu ini tidak perlu sampai ke tahap memecah-belahkan PAS dan PR sendiri kerana ia masih di tahap perbincangan dan bukannya perlaksanaan.
Satakat ini, UMNO menyambut baik dan bersedia untuk berbincang mengenai konsep dan gagasan kerajaan perpaduan. Menurut ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam SIASAH 8-14 Mac, “kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada Negara ini. Negara berhadapan dengan pelbagai krisis seperti Perlembagaan, ekonomi, agama dan politik yang memerlukan penyelesaian segera. Tapi BN tidak mampu melakukannya bersendirian. Inilah masanya untuk bersama.”
Malah ada juga yang selesa dengan sistem politik parti sekarang yang mengamalkan ‘two-dominant parties’. Sistem ini baik supaya ada ‘check and balance’ di antara BN dan PR sendiri. Ramai yang tidak bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan kerana merasakan sistem politik tidak akan telus jika tidak terdapat barisan pembangkang. Selain itu, ramai juga berpendapat usaha kepada kerajaan perpaduan ini tidak mungkin terlaksana lantaran falsafah perjuangan kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang yang sungguh berbeza. Ada yang mengatakan konsep kerajaan perpaduan sebagai utopia dan tidak realistik dengan politik semasa.
Sebagai kesimpulan, konsep dan gagasan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Hadi harus diteliti dan dibincangkan oleh kesemua pihak terdiri daripada PR, BN, NGO dan ahli akademik supaya satu kata putus yang bijaksana dapat dicapai bagi menghentikan segala polemik. Perbincangan hanya akan berjaya bilamana semua pihak membincangkannya secara telus demi kemaslahatan rakyat yang pening dengan drama politik Negara yang kian tidak menentu sekarang ini. Berjaya atau tidak perlaksanaan kerajaan perpaduan ini tidak seharusnya menjadi punca kepada perpecahan di kalangan kedua-dua BN dan PR dan seterusnya menyebabkan rakyat terbanyak sengsara. Akhirnya, kami PKPIM UIAM mengharapkan pemimpin-pemimpin Negara supaya memberi fokus yang lebih kepada pembangunan masyarakat secara holistik dan mengurangkan ‘politiking’ demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Terdapat banyak isu yang perlu diutamakan seperti isu pendidikan yang menjadi cerminan generasi akan datang. Wallahu’alam.
Ditulis oleh,
Faridah bt Mohd Tap
22 Jun 2009/Isnin
No comments:
Post a Comment