Thursday, July 16, 2009

IRAN BERGOLAK

Tiada siapa menyangka pilihan raya Republik Islam Iran pada 12 Jun yang lalu telah menyebabkan demonstrasi besar-besaran yang menarik perhatian masyarakat dunia. Demonstrasi itu dikatakan yang kedua terburuk dalam sejarah Iran selepas Revolusi Iran 1979 yang berlaku 30 tahun dahulu.

Kemelut di Iran itu bermula apabila penyokong calon reformis, Mir Hossein Mousavi membantah keputusan pilihan raya yang memberi kemenangan besar kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Keputusan pilihan raya yang menyebelahi Ahmadinejad melayakkan beliau meneruskan kepimpinan sebagai presiden Iran untuk tempoh empat tahun yang akan datang selepas menang buat pertama kalinya pada pilihan raya 2005 .

Mousavi dan pengikutnya tewas pada pilihan raya itu dengan memperoleh hanya 33 peratus buangan undi berbanding 66 peratus yang dimenangi oleh Ahmadinejad.

Mereka membantah keputusan itu dengan mengatakan terdapat penipuan dalam pilihan raya yang sudah berlangsung seminggu yang lalu dan mendesak supaya pilihan raya baru diadakan semula. Mereka mengadakan bantahan jalanan berhari-hari lamanya supaya desakan mereka dituruti.

Melihat kepada bantahan jalanan di Iran yang telah meragut sejumlah nyawa , pemimpin agung bersejarah Ayatollah Ali Khamenei mendesak agar demonstrasi dihentikan. Beliau juga mengumumkan bahawa kertas undi akan di kira semula untuk meleraikan kekusutan itu. Langkah itu diambil sebagai satu-satunya cara terbaik bagi mengelakkan konflik dalaman Iran yang lebih parah.

Ramai beranggapan, konflik yang berlaku di Iran sekarang ini mempunyai agenda politik untuk menjatuhkan Ahmadinejad. Umum mengetahui, Ahamdinejad merupakan pemimpin Islam yang lantang mencabar Amerika Syarikat terhadap dasar luarnya. Hubungan Iran-AS juga bertambah keruh apabila Ahmadinejad enggan menghentikan aktiviti pengayaan uraniumnya.

Kalau dinilai dari segi latar belakang calon, Mousavi lebih di senangi oleh pihak AS kerana pendekatannya yang sederhana berbanding Ahmadinejad yang lebih konservatif. Malah, penyokong Mousavi juga kebanyakannya terdiri daripada golongan elit dan generasi muda Iran yang tinggal di luar Negara terutama di AS dan Eropah. Manakala Ahmadinejad amat popular di kalangan golongan miskin Iran dan ini juga dkatakan faktor yang menyumbang kepada kemenangan beliau.

Walaupun begitu, menurut Prof. Madya Ruhanas Harun, pensyarah Program Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa/ Penyelidik Bersekutu Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) dalam ruangan soal jawab oleh wartawan Berita Harian, 21 Jun/ Sabtu mengatakan ketegangan di Iran cuma luahan kemarahan dan harapan rakyat untuk suatu kepimpinan yang baru.

Beliau juga menambah, bahawa demonstrasi itu dilakukan secara spontan sejurus selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Penyokong Mousavi rasa sungguh dengan kecewa dengan kekalahan calon pilihan mereka dan menuduh terdapat penyelewengan. Keadaan bertambah buruk apabila, Mousavi bersungguh-sungguh mengatakan beliau adalah Presiden Iran yang baru.

Pergolakan dalaman Iran dijangka akan terus berlaku sehingga pilihan raya yang baru dilaksanakan. Sehingga itu, AS di bawah kepimpinan Baarack Obama mengambil keputusan untuk tidak masuk campur politik dalaman Iran.

Bagi pihak PKPIM UIAM, kami mendoakan pergolakan dalaman Iran dapat menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Ini bagi mengelakkan masyarakat Republik Islam itu berpecah belah hanya disebabkan keputusan pilihan raya yang lepas. Jika itu berlaku, masyarakat Islam sekali lagi di rundung malang dan kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan terhadap Islam di atas apa yang berlaku. Wallahu’alam.


Ditulis oleh,

Faridah binti Mohd Tap
Aktivis gerakan Islam
PKPIM-ABIM-WADAH
22 Jun 2009/Ahad

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...