Friday, August 28, 2009

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah Al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat Lailatul Qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat Al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi S.A.W. malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi S.A.W. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi S.A.W. bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
(As-Siyam, DrMd'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi S.A.W. telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)


Abu Huraira related that the Prophet (peace and blessings be upon him) said: Whoever fasts during Ramadan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. Whoever prays during the nights in Ramadan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. And he who passes Lailat al-Qadr in prayer with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven.

-Hadith reported by Al-Bukhari

Wednesday, August 26, 2009

Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Nasional

Perpaduan bukan untuk dipolemikkan tetapi untuk difahami dan diinsafi maknanya seraya dipraktikkan dalam pengamalan harian demi kesejahteraan diri dan masyarakat.

Isu perpaduan tidak harus dipandang enteng dan segala usaha ke arah merealisasikannya adalah tidak wajar diperlekeh dan dipersenda.

Pembangunan lestari seperti yang sedang rancak digerakkan tidak akan memberi makna sekiranya masyarakat masih segan untuk membenarkan proses perpaduan ini berlangsung dengan jayanya.

Selaras dengan Perkara 1, Resolusi Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) pada awal Ogos lalu, “Perpaduan kaum merupakan teras kepada perpaduan nasional.”

Kebimbangan terhadap keretakan perpaduan nasional ekoran kerapuhan ikatan sesama bangsa disuarakan dengan tegas oleh Dr Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dua faktor akibat utama atau the main implication factors dikenal pasti sebagai agen peretak bangsa iaitu idealisme politik ekstrem dan taraf socioekonomi yang merenggang jauh.

Idealisme politik ekstrem merujuk kepada sifat jumud dan angkuh dengan pandangan sendiri sehingga menjadikan mereka tidak rasional dan berhikmah dalam menanggapi sesuatu isu yang akhirnya menimbulkan kecelaruan kefahaman dan konflik yang berpanjangan seperti mana hadis Nabi (SAW) yang bermaksud, “tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu, sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan sifat kagum, angkuh, dan degil dengan pendapat sendiri” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Golongan ini buta atau sengaja membutakan diri sekiranya ditemukan suatu solusi yang lebih baik dan menguntungkan dari pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Sikap ini tidak kurang dengan sikap xenophobia yang lahir dari pengalaman pahit yang pernah dilalui sebelum ini sehingga menimbulkan sikap benci kepada sesuatu golongan itu yang menutup setiap kebaikan mereka.

Sikap perajudis dan skeptikal terhadap orang lain, buruk sangka yang keterlaluan, menjadikan aspirasi perpaduan nasional waima di kalangan sesama kaum tidak mungkin dapat direalisasikan.

Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism menyimpulkan segala permasalahan yang berlaku ini disebabkan oleh “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu” atau the confusion and error in knowledge.

Justeru, usaha mengendurkan ketegangan ini dengan melaksanakan penjernihan maklumat dan informasi serentak dengan pengadunan ilmu dan hikmah perlu disegerakan.

Dalam suasana semasa, kita perlu mengakui bahawa perpaduan Melayulah yang paling ketara renggangnya berbanding dengan kaum lain. Walaupun pandangan ini sangat tidak enak bagi pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR, tetapi inilah hakikat yang perlu diinsafi bersama.

Kedegilan menerima realiti yang sedia terhidang ini memungkinkan kita tergolong dari mereka yang ”bebal” seperti mana istilah yang diguna pakai oleh Abdullah Munsyi dalam karyanya, Hikayat Hang Tuah. Professor Syed Husein Al-Attas, dalam bukunya Intelectualism in Developing Societies, menjelaskan bahawa antara ciri ”bebalisme” adalah kegagalan mengenal akar permasalahan dan keengganan mengakuinya.

Perlu dijelaskan bahawa perpaduan yang dianjurkan bukan bermaksud merenggangkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, tetapi lebih ke arah merasionalkan permainan politik ekstrem demi perpaduan Melayu dan perpaduan nasional secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, dalam isu yang melibatkan orang Melayu, seharusnya UMNO, PAS, dan PKR boleh duduk semeja dan berbincang dengan waras dan berhikmah serta sedia mencapai kata putus.

“Namun, apa yang sedang berlaku, PAS lebih cenderung merujuk kepada DAP berbanding UMNO dan begitu juga sebaliknya bagi UMNO dalam Barisan Nasional,” jelas kritikan Dr Sarjit dalam pembentangannya.

Oleh itu, proses penjernihan yang disaran menjurus kepada kesiapsediaan ketiga-tiga parti dominan Melayu ini untuk berforum dipentas yang lebih kondusif dan mesra rundingan yang dihujahi dengan fakta yang tepat dan pandangan yang bernas serta disemarakkan dengan penghayatan sikap hormat-kritis yang mampu mengekalkan keharmonian perbincangan.

Bertepatan dengan semangat Ramadhan, usaha menggerakkan perpaduan Melayu-Islam harus disambut baik oleh semua pihak. Firman Allah (SWT) dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan jangalah kamu becerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah telah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat pertunjuk dan hidayah-Nya”.

Selaras dengan matlamat ini, PKPIM telah merancang untuk menganjurkan Forum Perpaduan Ummah serentak dengan Malam Iftah Perjuangan PKPIM yang bakal menghimpunkan pimpinan pemuda UMNO, PAS dan PKR dalam satu pentas yang bakal dipengerusikan bersama oleh pimpinan mahasiswa PKPIM dan tokoh ilmuan tempatan.

Untuk makluman, sebelum ini, dengan kerjasama pelbagai pihak, PKPIM telah pun berjaya mempertemukan ketiga-tiga wakil parti ini di pentas perbincangan yang bersifat issue oriented seperti AUKU dan PPSMI. Atas pertimbangan tersebut, saya percaya forum yang lebih bermakna in akan dapat dijalankan dengan jayanya. Namun, ia menuntut sepenuhnya keikhlasan dan integriti semua pihak yang terlibat bagi memenuhi maksud perpaduan yang diimpikan.

Saya menyeru agar pimpinan pemuda UMNO, PAS, dan PKR akan terbuka menerima pelawaan ini dan berharap ia mendapat reaksi positif dari semua pihak selain tidak disalah tafsir sebagai agenda “Kerajaan Perpaduan” yang telah menimbulkan siri polemik sungguh merugikan khususnya kepada orang Melayu.

Saya percaya, pada ketika ini, politik Melayu sedang bergerak ke arah model yang lebih baik. Ahli Parlimen Melayu dilihat dominan dari segi kuantitinya di kedua-dua belah, baik di sebelah Pakatan mahupun Barisan. Ini adalah kelebihan dan kesempatan terbaik yang seharusnya dipergunakan dengan seoptimumnya demi kebaikan dan kesejahteraan semua.

Kita tidak memerlukan penggabungan fizikal untuk baru dilihat bersatu tetapi sudah cukup memadai sekiranya kita mampu melahirkan jiwa besar, menerima dan berpakat dengan hal yang dipersetujui dan berlapang dada dengan perkara yang tidak disepakati selaras dengan konsep unity in diversity.

Hal ini sangat bertitik-tolak dari kesediaan hati untuk menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa diasak unsur-unsur terpaksa seperti mana yang dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri berkenan nilai ”penerimaan” dalam konsep 1 Malaysia.

Kita diseru untuk saling ingat-memperingati agar tidak sekali-kali menjadi sebahagian dari golongan yang disebut oleh Allah (SWT) dalam surah Al-Hasyr ayat 14 yang bermaksud, ”...permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)”

Rumah yang tiang serinya telah tumbang tidak mungkin dapat kekal lama berdiri teguh. Analogi ini selari dengan pandangan Sir Abraham Lincorn, mantan Presiden AS yang pernah menyebutkan bahawa “a house that is divided inside can’t stand”.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mendirikan rumah perpaduan nasional, adalah perlu untuk kita memastikan tiang seri perpaduan Melayu kekal utuh di samping sendi hikmah yang menghubungkan setiap palang sokongan berfungsi dengan baik.

Optimus Prime di akhir filem Transformers 2: Revenge of the Fallen arahan Michael Bay, mengungkapkan sesuatu yang cukup bermakna untuk dihayati. “Our races united by a history long forgotten. And a future we shall face together. I am Optimus Prime send this message, so that our past will always be remembered. For in those memories, we live on.”

ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM

T: +6019-3565-805
E: aqna_86@yahoo.com

Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2985 Jalan Kampung Tengah 7
Kampung Tengah
Batu 6 ½ Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
E: pkpim_spp@yahoo.com
T: +603-6184-2286

Wednesday, August 19, 2009

RESOLUSI KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN

Kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah berbesar hati dengan kehadiran peserta-peserta ke Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan bersempena dengan Muktamar Sanawi PKPIM ke-48 yang telah diadakan di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2009 bersamaan dengan 17 Sya’ban 1430Hijrah. Objektif Kongres Pelajar ini adalah seperti berikut:

1. Memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang.

2. Merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

3. Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’.

4. Menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres yang telah dihadiri oleh 250 orang ini berpeluang untuk mengikuti satu sidang utama dan satu sidang selari yang menekankan tiga (3) aspek utama iaitu integriti, sosial dan ekonomi.

PERNYATAAN: 3 RESOLUSI KONGRES

Isu perpaduan bukanlah suatu isu yang baru, namun ia tidak basi untuk terus dibahaskan. Ini kerana, perpaduan adalah sangat penting dalam pembinaan sebuah Negara yang harmoni. Perpaduan tidak mungkin dapat dicapai dalam masa sehari, tetapi ia memerlukan jangka masa yang panjang disertai dengan komitmen tahap tertinggi oleh semua juzuk dan lapisan masyarakat. Diatas keprihatinan ini, maka kami peserta Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan dengan ini menyatakan pendirian kami bahawa:

  1. Perpaduan Melayu adalah teras kepada perpaduan nasional dalam membina sebuah Negara yang aman dan harmoni. Pernyataan ini tidak didorongi apatah lagi didasari semangat perkauman, tetapi bertitik tolak dari kepentingan peranan faktor-faktor yang melatari sejarah, sosio-budaya, geo-politik tanahair dan yang lebih utama peranan Islam itu sendiri dalam pembentukan Negara-bangsa. Pertikaian kepada faktor-faktor ini hanya akan mengundang bahaya terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat yang telah terbina selama ini. Atas dasar inilah, PKPIM komited untuk menganjurkan forum perpaduan demi kesejahteraan semua pihak.

2. Dalam mendepani isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, maka persoalan integriti amat dititik-beratkan. Integriti boleh didefinisikan sebagai kebolehpercayaan, teguh jati diri dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir jahat yang menggugat kestabilan dan kerangka fikir sebagai generasi muda berwibawa. Akhlak dan adab adalah teras penting dalam pembentukan integriti dalam diri.

  1. Ekonomi yang maju menjamin kestabilan Negara. Oleh itu, Liberalisasi ekonomi yang digagaskan oleh kepimpinan kerajaan sekarang adalah satu langkah bijak bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat kearah yang lebih baik. Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan memberi ruang yang besar dalam sektor perniagaan yang kami yakin merupakan alternatif terbaik kepada kadar pengangguran graduan dan peningkatan nilai ekonomi negara. Justeru, usaha PKPIM seterusnya ialah mempromosi gagasan ini dalam program-program sekolah dan sebagainya. Natijahnya, ianya diharap dapat meningkatkan dan membuka peluang dan ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara lansung dalam sektor ekonomi.

Secara tuntasnya, PKPIM merasakan bahawa mahasiswa dan generasi muda perlu bersifat kritikal bersandarkan kebenaran ilmu bagi menangkis budaya sinikal yang boleh menggangu gugat ketetapan idealisme dan kesungguhan aktivitisme.

Thursday, August 13, 2009

Kenyataan Media YB Dato Saifuddin Abdullah

Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan, Sabtu, 8 Ogos 2009

Memperkukuh gerakan badan-badan Islam generasi muda

Umat Islam berada pada situasi yang menuntut ke arah kesatuan dalam pelbagai isu utama seperti politik, ekonomi dan pendidikan. Kesatuan tidak beerti kesamaan dan keseragaman tetapi bersedia meraikan perbezaan di kalangan mereka sebagai rahmat dan bukan titik tolak kepada perpecahan. Setiap perbezaan pandangan harus ditangani dengan semangat persaudaraan Islam.

Pertubuhan-pertubuhan Islam generasi muda perlu menjadikan ilmu sebagai tras perjuangan. Mereka perlu mengamalkan pendekatan berhikmah dalam setiap gerak kerja dan menjadi role model kepada pertubuhan-pertubuhan generasi muda yang lain.

Pertubuhan-pertubuhan Islam ini harus melihat persamaan sebagai titik pertemuan dalam memperkukuh sinergi gerakan dakwah Islamiyyah dalam konteks yang lebih holistik.

Kerajaan bersedia menjadi pelopor kepada usaha murni merapatkan hubungan pertubuhan-pertubuhan Islam generasi muda misalnya melalui Kelab Amal Islami (DAMAI).

POLITIK BARU DALAM PEMBENTUKAN IDEALISME GENERASI BELIA

Sebelum saya lanjutkan bicara saya pada penulisan kali ini, sukalah saya untuk menceritakan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh Pujangga Iqbal, mengenai seekor burung yang lemah kerana terlalu dahaga. Dalam pencariannya mencari air,burung tersebut telah melihat sebutir intan dan tertipu oleh kerana batu yang ditimpa oleh cahaya matahari, terus mematuk kerana difikirnya bahawa batu itu ialah setitis air. Intan tadi menjawab dengan serta-merta:

“Saya bukanlah titisan air embun, saya tidak memberi minuman,
Saya tidak hidup untuk kepentingan orang lain.”

Burung tersebut berasa sungguh sedih lalu ia meneruskan terbangannya hingga ia akhirnya terlihat setitis air embun di ranting dan terus terbang menuju kepadanya bagi menghilangkan dahaganya. Air embun tadi jatuh ke mulutnya, lalu burung tersebut mati.

Moral dari cerita ini ialah bahawa seseorang harus menanamkan kegigihan yang terlahir dalam kalbunya kerana seseorang itu harus menceburkan dirinya dalam penghidupan yang penuh dengan perjuangan dan pertentangan. Perjuangan dalam memartabatkan idealisme generasi muda supaya sama-sama dapat menyumbang ide, tenaga dan masa dalam pembangunan Negara Malaysia yang harmoni hingga titisan-titisan darah yang terakhir.

Cerita yang saya sampaikan sebentar tadi amatlah cocok dengan kandungan tulisan yang akan saya sampaikan. InsyaAllah.

“Satu Malaysia: rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” merupakan cogan kata bagi Perdana Menteri kita yang ke-6, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Konsep yang cuba dibawa Y.A.B. telah mengundang pelbagai reaksi dan respons dari pelbagai juzuk masyarakat. Tidak ketinggalan generasi muda belia.

Kerangka fikir satu Malaysia ini masih lagi belum difahami dan dihayati dengan jelas yang akhirnya telah mewujudkan polemik dan salah faham berpanjangan yang menyimpang dari tujuan sebenar konsep itu.

Untuk kita keluar dari kepungan salah faham ini, PKPIM telah mengambil pendekatan dengan menyarankan agar konsep ‘Satu Malaysia’ ini dilihat dari perspektif idealisme “Politik Baru” tetapi pada masa yang sama PKPIM terus setia dengan orientasi gerakan sebagai NON-PARTISAN. Politik Baru yang digagaskan oleh YB Saifuddin Abdullah adalah bertujuan untuk memberi nafas baru yang lebih berhemah dan berhikmah dalam budaya politik di Malaysia. Cita-cita akhir idealisme politik baru ini adalah menyuburkan dan mematangkan demokrasi di Malaysia yang selalu dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

Sebelum kita pergi lebih dalam tentang gagasan Politik Baru ini, marilah kita sama-sama mengimbas kembali keputusan PRU ke-12 yang akan terus tercatat dalam sejarah politik Malaysia bilamana kekuasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional telah dinafikan oleh Pakatan Rakyat. Lantaran itu, ada suara-suara yang meramalkan pintu demokrasi di Malaysia sudah semakin terbuka luas dan inilah bibit-bibit kepada politik baru di Negara kita ini.

Dengan kehadiran generasi muda yang menyumbang lebih daripada 40% kepada jumlah penduduk tidak boleh tidak telah memberi kesan langsung kepada realiti politik semasa ini. Partisipasi generasi muda belia kita dalam arus politik Negara memang tidak dinafikan signifikannya. Jika wujud salah urus amanah rakyat, mereka lantang dan vokal dalam menyuarakan pandangan mereka bagi memberi kesedaran dan seterusnya sama-sama membetulkan keadaan. Sesungguhnya ia suatu momentum yang amat menggalakkan.. Generasi muda amat diperlukan dalam menghidupkan gagasan Politik Baru ini kepada realiti politik yang lebih tinggi nilai integritinya pada masa hadapan.

Walaupun begitu, kenyataan ‘Politik Baru’ telah menjadi sesuatu yang biasa dan hilang signifikan dan semangatnya. Namun begitu, menurut YB Saifuddin (2009), Politik Baru ini tidak sama dengan Politik Baru yang dicanang-canangkan oleh pihak-pihak lainnya. Malah, gagasan Politik Baru ini bukan baru dicipta bagi menarik perhatian rakyat, namun telah beliau caknakan dua dekad terdahulu.
Apa yang YB maksudkan dengan “Politik Baru” ini?

“Ia adalah satu pemikiran tentang amalan politik yang merangkumi dua komponen utama, iaitu pertamanya, “integriti politik” dan yang keduanya “Governans Baru”. Aspek yang membuatkan gagasan ini berbeza adalah saya menjadikannya sebagai satu AMALAN dalam berpolitik dan bukannya sebagai RAMALAN semata-mata.”

Kehadiran gelombang idealisme politik baru ini disaluti dengan beberapa prinsip yang dikupas secara ringkas melalui pembacaan dan pemahaman saya terhadap buku tersebut.

Dalam buku ‘Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia’ (2009), YB Saifuddin ada menyatakan yang kita memerlukan aspirasi politik yang murni dan tinggi, atau sekurang-kurangnya tidak berdaki, dan berusaha menghidupkan serta menggerakkan Politik Baru yang menghampiri politik ideal.

Masyarakat awam sering dimomokkan dengan kata-kata, ‘politik adalah kotor’. Ya, mana mungkin kita boleh menyalahkan mereka jika mereka mempunyai persepsi sedemikian rupa kerana politik itu sendiri tidak sunyi dari cacat-celanya yang diakibatkan oleh politikus-politikus licik dan penuh muslihat. Namun, kita cuba melihat kepada aspek positif politik yang secara idealnya ia mampu memberi kebahagiaan dan keharmonian kepada semua orang yang tinggal dalam satu taman dengan pelbagai jenis bunga dan serangga.

Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, ilmu politik harus diajar kepada anak-anak muda kita supaya mereka tahu dan punya perasaan hidup berbangsa dan bernegara yang murni. Saya percaya, dengan adanya sistem pendidikan khusus tentang politik,masing-masing akan lebih menghargai teras-teras kenegaraan khususnya, Malaysia dan seterusnya mengurangkan salah faham sesama rakyat supaya pada akhirnya keharmonian dan kesejahteraan dapat di gapai.

Dalam usaha merealisasikan cita-cita politik ideal ini, jawapannya yang paling pokok adalah dengan menghayati konsep integriti politik. Dalam konteks amalan politik baru, integriti politik membawa maksud politik perjuangan yang beliau berpendapat terdapat tiga rukun penting iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Ketiga-tiga rukun ini harus berjalan seiringan supaya politik perjuangan kita kukuh lagi padu dalam mengejar apa yang dimpikan iaitu memberi kebahagian kepada semua dan mematangkan demokrasi di Malaysia.

Dengan kata lain, Politik Baru tidak akan dicapai jika tidak didasari idealisme perjuangan yang tinggi. Ketidak hadiran idealisme ini dalam perjuangan hidup bernegara akan menyebabkan segala aktivisme yang dirancang dan dijalankan tidak mempunyai ‘roh’ atau sia-sia. Selain itu, rukun ketiga terpenting ialah dari aspek intelektual. Politik Baru semakin mencabar pada abad globalisasi ini dan menuntut kita kepada ilmu yang tinggi demi mendepani cabaran itu. Semestinya, kekuatan politik itu harus disandarkan kepada kekuatan ilmu langsung menolak politik ampu. Aplikasi ketiga-tiga rukun yang saya sebutkan sebentar tadi akan menjadi cerminan budaya politik Malaysia pada masa hadapan.

Konsep politik berintegriti disulami dengan amalan-amalan murni yang bertitik-tolak daripada konsep amar makruf wa nahi munkar. Kita mahu mewujudkan amalan “kerajaan/politik berilmu dan bukannya kerajaan/politik ampu. Kita mahu lahirkan kerajaan/politik hikmah dan menolak kerajaan/politik fitnah. Seterusnya, kita mahu wujudkan kerajaan/politik bakti dan bukannya kerajaan/politik undi.”

Seterusnya, komponen kedua terpenting dalam amalan Politik Baru yang tertulis didalam buku tersebut adalah mewujudkan suatu kerangka Governans Baru. Ia merujuk kepada kerangka pengurusan Negara yang lebih segar daripada apa yang ada sekarang. Jika sekarang kita terlalu berorientasikan kerajaan/politik, namun dengan gagasan amalan Politik Baru ini, perniagaan dan masyarakat sivil tidak dikesampingkan. Malah ketiga-tiga sektor, politik, perniagaan dan masyarakat sivil saling bergantungan sebagai rakan pembangunan dalam kedudukan yang saksama. Ini termasuklah golongan muda belia. Kita mahu memadamkan dominasi hanya kepada satu pihak sahaja kerana ia akan mempengaruhi kestabilan Governans Baru ini.

“Kesimpulannya, Politik Baru adalah landasan untuk memikir, merancang dan merangka dasar dan program pembangunan Negara yang lebih mesra rakyat, iaitu yang bersesuaian dengan lunas demokrasi. Rakyat memerlukan ruang dan peluang untuk menyuarakan rungutan, pandangan dan gagasan mereka tentang kehidupan dan masa depan mereka.”

Kita amat berharap generasi muda dapat menyelami dan menghayati gagasan Politik Baru ini bersempena dengan Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan. Kalian semua adalah agen perubah masyarakat dan Negara di masa hadapan. Politik Baru menjanjikan perubahan ini.

Wabillahi taufiq wa hidayah, wassalmu’alaikum w.b.t.

Rujukan,

Saifuddin Abdullah. 2009. Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia. Institut
Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.



Oleh,
Faridah Mohd Tap
Aktivis PKPIM-ABIM-WADAH
6 Ogos 2009

1 MALAYSIA


RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN merupakan satu gagasan YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam menerajui kepimpinan beliau bagi tahun-tahun yang mendatang. Usaha-usaha kerajaan dalam mempromosi gagasan ini terutama dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang giat dijalankan agar konsep ini dapat dihayati dengan jelas oleh setiap lapisan masyarakat seterusnya cita-cita 1 Malaysia dapat dicapai.

Terbaru, Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Seminar Konsep 1Malaysia bertempat di Hotel Marriot Putrajaya selama 2 hari bermula 11 hingga 12 Ogos 2009. Seminar itu telah dihadiri oleh 500 orang peserta terdiri daripada ahli akademik, pelajar dari pelbagai universiti, pegawai-pegawai Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim selaku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Dalam ucaptama, YB telah menyatakan penganjuran seminar ini sesungguhnya menunjukkan Kementerian beliau serius dalam melestarikan semangat 1Malaysia yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Tambah beliau lagi, seminar ini adalah salah satu inisiatif Kementerian bagi memberi ruang dan peluang kepada golongan pendidik, belia dan mahasiswa bagi mendalami, menghayati dan memahami konsep membina Negara bangsa yang sebenarnya. Beliau turut sering mengulang-ulang kenyataan “satu untuk semua, semua untuk satu” dalam menerangkan konsep 1Malaysia.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan sejurus selepas peralihan kuasa pemerintahan kepada YAB Dato’ Seri Najib telah menggariskan 2 aspek penting iaitu:
1) penerapan teras-teras perpaduan yang menekankan aspek penerimaan kepelbagaian etnik, perinsip-prinsip kenegaraan dan keadilan sosial.
2) Penerapan nilai-nilai aspirasi termasuklah budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.
Kedua-dua aspek ini yang menjadi nadi pembangunan Negara bangsa yang harmoni dipercayai dapat digapai sekiranya pengisian yang sewajarnya dilakukan agar nilai tersebut boleh mencambahkan budaya pemasyarakatan di Malaysia.

Bagi menilai konsep 1 Malaysia dari sudut perspektif orang muda, PKPIM telah menganjurkan satu Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) yang lalu brtempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40 Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur. Daripada kongres itu PKPIM yang mewakili suara golongan muda peringkat kebangsaan telah membuat beberapa resolusi penting yang akan menjadi kerangka gerak kerja kami bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan Negara berteraskan semangat intelektualisme, spiritualisme, idealisme dan aktivisme.

Tuesday, August 4, 2009

IDEALISME POLITIK BARU DALAM REALITI POLITIK SEMASA

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, realiti politik di Malaysia mengalami perubahan yang besar di mana jika sebelum ini PRU-PRU sering dimenangi oleh pihak Barisan Nasional yang membentuk kerajaan sehingga ramai penganalisis politik menggambarkan Demokrasi di Negara ini sebagai ‘Pseudo-Democracy’, dan ‘Semi Democracy’. Ini kerana, peluang untuk menang dalam PRU-PRU terdahulu terbuka luas kepada BN hingga membuatkan parti-parti pembangkang tercekik dan putus harapan.

Namun begitu, kekalahan besar BN pada PRU ke-12 yang lalu dan kemenangan di luar ramalan Pakatan Rakyat (PR) menyebabkan rencam politik di Malaysia semakin menarik untuk diikuti perkembangannya. Ramai juga yang mengatakan pintu demokrasi di Malaysia semakin matang sesuai dengan usia Negara ini yang sudah mencecah setengah abad. Selepas peralihan tampuk pimpinan Negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, slogan Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan bergema di setiap ruang dan ceruk Malaysia.

Gagasan Satu Malaysia cetusan Datuk Seri Mohd Najib telah mengundang pelbagai reaksi dan respons dari setiap juzuk masyarakat. Konsep Satu Malaysia yang diharapkan menjadi titik permulaan era baru politik Negara bagaimanapun tidak difahami dan dihayati dengan baik oleh orang awam dan menimbulkan salah faham yang menyimpang dari tujuan sebenar slogan itu diperkenalkan.

Pendekatan yang wajar dilaksanakan ialah mendedahkan kepada masyarakat khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan Negara pada masa mendatang dengan kerangka idealisme yang lebih berhemah dan berpandangan jauh. Tidak adil bagi mereka terus bergelumang dalam realisme politik semasa yang akhirnya boleh merugikan mereka. Satu Malaysia harus mereka fahami dan hayati dalam konteks idealisme “Politik Baru’ yang digagaskan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, agar Negara di masa hadapan terbina atas rukun idealisme politik baru.

Oleh itu, idealisme ‘Politik Baru’ sangat penting dalam konteks mengisi kerangka fikir mereka. PKPIM berkeyakinan, proses mengisi idealisme sangat penting kepada generasi muda belia supaya mereka mempunyai halatuju yang panjang dalam memahami politik. Politik bukan sekadar perjuangan wang dan kedudukan semata-mata, tetapi ia satu perjuangan jangka panjang bagi mengangkat martabat agama, bangsa dan Negara.

Demi menerajui usaha murni ini, PKPIM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 dengan bertemakan “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 bersamaan hari Sabtu Di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.

Kongres pelajar yang akan dianjurkan adalah bertujuan untuk mengisi makna ‘Satu Malaysia’ melalui semangat rukun ‘Politik Baru’.Selain itu, kongres ini diadakan sebagai usaha merintis transformasi politik melalui pembinaan pemikiran dan penghakupayaan generasi muda yang mewakili lebih 40% penduduk di Malaysia. Dengan penganjuran kongres ini, ia akan mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaiatan “Satu Malaysia’ dan ‘Politik Baru’. Akhirnya, kami ingin menyebarluaskan gagasan ‘Politik Baru’ untuk memastikan generasi muda hari ini menjadi agen perubah pada masa hadapan.

Ayuh! Sama-sama berpartisipasi dalam kongres ini.

“Politik Baru adalah landasan untuk memikir, merancang dan merangka dasar dan program pembagunan Negara yang lebih berorientasikan rakyat, iaitu bersesuaian dengan lunas demokrasi. Rakyat memerlukan ruang dan peluang untuk menyuarakan rungutan, pandangan dn gagasan mereka tentang kehidupan dan masa depan mereka. Politik baru menjanjikan perubahan ini.” (YB Datuk Saifuddin, 2009)

Faridah Mohd Tap

Biro Promosi dan Media

Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...