DALIL TENTANG KEHARUSAN MENYAMBUT MAULIDUR RASUL MENURUT
AL-QUR’AN DAN SUNNAH.
(Sambungan bagi enti yang lepas)
Pada hari Isnin yang lepas, seperti biasa penulis tetap istiqomah untuk menghadiri kuliah tauhid yang disampaikan oleh Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran yang dianjurkan oleh Exco Dakwah dan Tarbiyyah PKPIM UIAM. Sebelum menyambung pengajian kuliah tauhid, beliau membicarakan secara ringkas tentang sambutan Maulidur Rasul, kenapa kita diharuskan menyambutnya dan bagaimana kaedah menyambutnya. Beliau juga sempat memberi respon kepada sebuah fahaman yang menentang penganjuran majlis tersebut.
Alhamdulillah, penulis mempunyai sebuah buku ringkas bertajuk Al-Bayan: Sambutan Maulidur Rasul Bid’ah Dhalalah? terbitan Sektariat Penjelasan Hukum Isu-isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Negeri Johor. Didalamnya terkandung beberapa dalil yang mengharuskan sambutan Maulidur Rasul daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Berikut adalah dalil- dalil tersebut:-
DALIL PERTAMA
Perhimpunan para sahabat yang diakui dan diterima oelh Nabi Muhammad s.a.w.
Diriwayatkan oleh Muslim, Al-Tirmizi dan Al-Nasa’I daripada Mu’awiyyah bin Abi Sufian, bahawa Rasulullah s.a.w datang ke satu majlis perhimpunan para sahabat lalu bertanya:
Maksudnya,
“kenapa kamu berkumpul? Mereka menjawab: Kami duduk berbincang-bincang mengingati Allah dan memuji-muji-Nya kerana telah memberi petunjuk kepada agama-Nya dan mengurniakan engkau diutuskan kepada kami…., hingga akhir hadith…Jibril datang kepadaku memberitahu aku sesungguhnya Allah bermegah kepada malaikat-Nya di atas perhimpunan yang kamu lakukan”.
Dalam hadith ini terdapat nas yang jelas bahawa para sahabat berhimpun dalam satu kumpulan berbincang-bincang mengenai pengutusan Rasulullah s.a.w. sebagai satu nikmat kepada mereka. Dalam hadith ini dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu bahawa Allah S.W.T. sendiri menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri membolehkan dan mengiktiraf perhimpunan itu sebagai baik mengenai apa yang mereka bincangkan.
Persoalannya, adakah mereka boleh mengetahui bentuk nikmat pemberian Allah S.W.T. itu sekiranya tidak diadakan perbincangan sesama mereka. Melalui perbincangan ini mereka dapat mengetahui dan mendalami ajaran Islam, kelebihan dan berbagai rahmat dan kebajikan yang dinikmati oleh umat Muhammad melalui baginda Rasulullah s.a.w.
Soalnya lagi, adakah terdapat perbezaan antara perhimpunan yang diadakan oleh para sahabat itu dengan perhimpunan untuk mengingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. yang kita adakan sekarang? Sekiranya tidak ada perbezaan dari segi pengisiannya, jelaslah bahawa dakwaan perhimpunan seperti sambutan Maulidur Rasul tidak pernah dilakukan oleh para sahabat merupakan satu dakwaan yang melulu dan tidak tepat.
DALIL KEDUA
Kisah Abu Lahab memerdekakan Thuiabah al-Aslamiyah kerana kegembiraannya dengan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.
Ibn Kathir dalam kitabnya ‘Al-Bidayah wa al-Nihayah’ mengatakan: sesungguhnya orang yang mula-mula menyusukan baginda Nabi s.a.w. ialah Thuaibah hamba sahya Abu Lahab. Beliau telah dimerdekakan oleh Abu Lahab sebaik sahaja diberitahu tentang keputeraan Nabi s.a.w. Justeru itu manakala adiknya Al-Abbas bermimpi beliau begitu sedih sekali selepas meninggal dunia, lalu ditanya: Apa yang engkau temui? Abu Lahab menjawab, aku tidak menemui sesuatu yang baik selepas mati selain aku berada dalam keadaan ini disebabkan aku memerdekakan Thuaibah dalam hidupku. (Nas hadith ini terdapat dalam hadith Bukhari dan Muslim).
Jika sekiranya inilah yang berlaku kepada Abu Lahab yang dicela oleh Al-Qur’an diringankan azab siksanya kerana begitu gembira disebabkan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w., mengapa kita yang beriman kepada Allah S.W.T. dan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh menyambut dan mengagungkan Nabi?
Ini juga yang disebut dan diperakukan oleh seorang qari dan ahli hadith Al-Hafiz Syamsudin Ibn al-Jaziri dalam kitabnya “Urfu al-Ta’rif al-Maulid al-Syarif.
Al-Hafiz Syamsudin bin Nasrudin Al-Dimasyqi dalam kitab ‘Maurid al-Sadi fi Maulid al-Hadi’ menyebutkan dalam syairnya, bermaksud:
Jika sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam Al-Qur’an dengan firman-Nya (Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama) dia kekal di dalam neraka jahanam.
Pada setiap hari Isnin selalunya diringankan azab siksanya kerana merasa gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimana pula halnya dengan orang yang sepanjang hidupnya begitu gembira dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan beliau mati mentauhidkan Allah S.W.T.
DALIL KETIGA
Nabi Muhammad s.a.w. menyambut hari keputeraannya dengan berpuasa pada hari Isnin.
Imam Muslim telah mengeluarkan hadith sahihnya daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, lalu baginda bersabda:
Maksudnya,
“Hari ini merupakan hari aku diputerakan dan pada hari itu juga diturunkan wahyu ke atasku. (HR Muslim)
Hadith ini berkaitan secara langsung dengan sambutan Maulidur Rasul s.a.w. bukan boleh dikaitkan dengan yang lain, Cuma bentuknya sahaja yang berbeza tetapi maksudnya tetap ada sama ada ia dengan berpuasa atau memberi makanan kepada fakir miskin atau berkumpul kerana mengadakan tazkirah mengingati Allah atau berselawat ke atas Nabi s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w. ‘ zaka yaumu wulidtu’ merupakan nas yang mengandungi dua perkara: pertama, nama hari tersebut ialah hari Isnin iaitu hari keputeraan baginda setiap tahun pada 12 haribulan Rabi’ul Awal. Kedua, asalnya hadith ini bersifat umum, ketika itu mafhum hadith secara umum bahawa Nabi s.a.w. menjelaskan sebab Baginda berpuasa pada hari keputeraannya ialah untuk melahirkan kesyukurannya pada Allah S.W.T di mana ia sebagai cara sambutan hari jadi di zaman itu pada setiap tahun dan pada hari Isnin.
DALIL KEEMPAT
Hadith Nabi mengenai baginda s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura.
Maksudnya:
“Daripada Ibn Abas (r.a.) berkata: semasa Nabi Muhammad s.a.w. datang ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu ditanya mengenainya, mereka menjawab: hari itu adalah hari di mana Allah S.W.T. melahirkan kemenangan pada Nabi Musa dan anak cucu orang Israel ke atas Fir’aun, maka kami berpuasa pada hari itu sebagai mengingati hari kemenangan. Lalu baginda bersabda “Kami lebih utama daripada kamu dengan Nabi Musa’ lalu baginda memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari ‘Asyura. (HR Bukhari dan Muslim)
Hadith ini merupakan panduan untuk mengekal dan mengambil berat mengenai pergerakan masa atau zaman. Nabi s.a.w. melihat pertalian antara masa dengan peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan agama yang telah berlalu, apabila tiba masa peristiwa tersebut berlaku ia merupakan peluang untuk mengingati dan menyambut kedatangan hari tersebut dengan mengagungkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada peristiwa yang bersejarah.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani telah menjadikan hadith ini sebagai dalil kaharusan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sebagaimana yang beliau fatwakan, di mana telah dipetik oleh Al-Hafiz Imam Al-Sayuti dalam bukunya ‘Husnul Maqsadi fi ‘Amali al-Maulid’ (Tujuan yang baik mengadakan sambutan Maulidur Rasul), katanya: perbuatan bersyukur kepada Allah S.W.T. itu memberi pengertian ke atas apa yang telah dikurniakannya pada hari tersebut, sama ada bersyukur ke atas nikmat yang diberikan atau untuk menolak bencana. Perbuatan mengingati peristiwa pada hati tersebut berulang setiap tahun. Bersyukur kepada Allah S.W.T. dapat dicapai melalui pelbagai ibadah seperti solat, berpuasa, bersedekah, membaca Al-Qur’an dan sebagainya. Bukankah keputeraan Nabi s.a.w. pada hari itu merupakan nikmat yang paling besar? (Al-Hawi dalam Kitab Al-Fatawa).
Nabi s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura sebagai meraikan kemenangan Nabi Musa (a.s) daripada Fir’aun. Tidak diragukan lagi bahawa kemenangan itulah yang menjadi sebab Nabi berpuasa pada hari tersebut. Daripada peristiwa ia menjadi tasyri’ (amalan) untuk mengingati peristiwa-peristiwa agung dengan mengadakan sambutan dan bergembira dengannya, sedangkan Maulidur Rasul bagi umat Islam adalah lebih agung dan lebih layak disambut daripada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa (a.s).
DALIL KELIMA
Nabi s.a.w. membuat aqiqah untuk dirinya selepas dilantik menjadi nabi.
Imam Al-Sayuti dalam kitabnya “Husnul Maqsad fi ‘Amali al-Maulidur al-Rasul mengatakan: Asal berkumpul mengadakan solat Tarawih adalah sunat dan sebagai mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. .. justeru itu kami tekankan: Asal berkumpul untuk melahirkan sambutan Maulidur Rasul itu sunat dan untuk mengharapkan keredhaan Allah S.W.T….Ini tujuan sebenar mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ia merupakan niat yang baik tanpa diragukan lagi, maka renung-renungkanlah ia.
Kemudian beliau menambah: Apa yang jelas padaku terdapat petikan daripada sumber lain iaitu apa yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Anas (r.a):
Maksudnya,
“ sesungguhnya Nabi s.a.w. membuat aqiqah untuk dirinya selepas baginda dilantik menjadi Nabi.”
Sebenarnya terdapat dalam hadith bahawa Abdul Mutalib datuknya telah mengaqiqahkan baginda pada hari ketujuh keputeraannya. Aqiqah tidak diulangi pada kali kedua, jadi apa yang dilakukan oleh baginda itu adalah sebagai tanda melahirkan kesyukuran diatas perlantikan beginda sebagai Nabi yang menjadi rahmat kepada seluruh alam dan sebagaimana halnya dengan berselawat ke atas dirinya.
Lantaran itu kita digalakkan melahirkan tanda kesyukuran di hari keputeraan baginda dengan mengadakan majlis perhimpunan beramai-ramai, mengadakan jamuan makan dan sebagainya sebagai cara mengharapkan keredhoan Allah dan melahirkan rasa kegembiraan.
bersambung....
No comments:
Post a Comment