Srikandi Islam: ZAINAB AL-GHAZALI AL-JUBAILI
Zainab al-Ghazali al-Jubaili dilahirkan di wilayah Al-Bihira, Mesir pada tahun 1917, dan merupakan keturunan dari kalifah kedua Islam, Umar bin Khattab dan Hasan bin Ali bin Abi Thalib. Justeru, tidak hairanlah kepada kita tentang semangat jihadnya yang tinggi dan sentiasa membara dalam membawa mesej tauhid di bumi Mesir. Zainab al-Ghazali mewarisi semangat jihad Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifatnya yang tegas. Kerana ketegasannya, Islam tersebar luas di seluruh pelosok bumi, bukan dengan sifat tolak ansur seperti liberalisme, pluralisme dewasa ini.
Zainab Al-Ghazali merupakan pengasas Jama'at Muslimat. Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.
Namunpun begitu, pada tahun 1937 Zainab telah menyatakan bai’ahnya pada As-Syahid Imam Hasan al-Bana, pengasas gerakan Islam pertama di dunia selepas kejatuhan sistem khalifah Islam pada tahun 1924. Ikhwanul Muslimin telah ditubuhkan pada tahun 1928 dengan tujuan untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan manusia ataupun menegakkan kembali daulah Islamiyyah. Peristiwa itu seterusnya menjadikan Jama’at Muslimat pimpinan Zainab al-Ghazali menjadi sayap kiri bagi Ikhwanul Muslimin, dan Zainab sendiri menjadi ahli Ikhwanul Muslimin itu.
Benar seperti yang dikatakan, perjuangan dalam Islam penuh onak dan duri. Hanya mereka yang punya kesabaran dan keyakinan dengan jalan dakwah yang di pilih ini mampu melaluinya dengan semangat jihad tidak berbelah bahagi. Zainab Al-Ghazali telah menjadi suri tauladan kepada generasi aktivis Islam masa kini tentang jerit payah yang dilaluinya dalam menentang taghut dan sekularisme penghancur generasi manusia tauhid.
Beliau melalui pelbagai seksaan berat pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser demi menyatakan keyakinannya pada wadah yang dipilih-berjihad menentang sekularimse yang menyebabkan perhambaan kepada manusia semata-mata. Beliau adalah antara ratusan ribu anggota Ikhwanul Muslimin yang dipenjara dan diseksa dengan amat kejam sekali.
“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir (ketika itu), Zainab al-Ghazali al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.” Zainab tidak gentar sekalipun maut menanti. Zainab terus teguh dengan jihadnya menentang sekularisme yang sedang bermaharajalela di Mesir ketika itu.
Zainab telah dipukul dengan tongkat, dicemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang liar lagi ganas, direndam seharian selama berhari-hari dalam penjara air, dipenjara dengan tikus, diugut rogol oleh lelaki2 keji dan pelbagai seksaan lagi. Namun, imannya tetap tidak berganjak walaupun seinci. Kebergantungannya pada Allah menjadi peneman dan motivasi diri. Zainab tetap yakin menyatakan ‘Cukup Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.”(maksud surah Ali-‘Imran: 173).
Bagi menyembunyikan kekejaman pemerintahan Jamal Abdul Nasser pada masyarakat setempat ketika itu, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Manakala Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat
Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan. Zainab al-Ghazali telah pergi menemui Ilahi pada hari Rabu, 3 Ogos 2008 pada usia 88 tahun. Perginya Zainab tidak kembali, tetapi kisah perjuangannya tetap menjadi inspirasi aktivis Islam masa kini.
‘Ibrah dari secebis coretan sejarah perjuangan Srikandi Islam di atas adalah;
1) Punya prinsip yang teguh dalam menegakkan Islam. Justeru kita mesti mengimani Kalamullah ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah At-Taubah: ayat 111).
2) Punya rasa kebergantungan semata-mata kepada Allah Ta’ala, Allah berfirman yang mafhumnya ‘Cukup Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.”(maksud surah Ali-‘Imran: 173).
3) Tidak berasa lemah dan putus asa kerana Allah telah berfirman yang bermaksud, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” (maksud surah Ali-‘Imran: 139)
4) Yakin kemenangan itu hak mutlak Allah Ta’ala, kita sebagai aktivis Islam hanya mampu berjuang merealisasikan kemenangan itu. Firman Allah Taala dalam surah Al-Anfal ayat 10 yang mafhumnya, ‘Dan kemenangan itu hanya dari Allah.” Lagipula, dalam kamus kehidupan seorang aktivis Islam yang tulen, tidak ada perkataan “menyerah kalah”, dia hidup sebagai mujahid ataupun mati sebagai syahid.
5) Sentiasa bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Berdoalah, “Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada-Nya; tidak ada daya, tidak ada kekuatan kecuali kerana Allah.”
Semoga kita tetap istiqomah di medan Dakwah ini dalam pelbagai lapangan. Wallahu’alam.
Wassalam.
Novel yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang menceritakan tentang kisah benar Zainab Al-Ghazali di dalam penjara tentera Mesir. Harus di baca oleh semua aktivis Islam.
Rujukan:
Fathi Yakan. (2006). Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Kamal Zharif. (Ogos 2008). Zainab Al Ghazali Al Jubaili - Sirah Tokoh Harokah dan Dakwah – dimuat turun di Halaqah-Online pada 1 Februari 2010.
Mustafa Masyhur. (2001). Jalan Da’wah: Antara Qiyadah dan Jundiyyah. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Rujukan:
Fathi Yakan. (2006). Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Kamal Zharif. (Ogos 2008). Zainab Al Ghazali Al Jubaili - Sirah Tokoh Harokah dan Dakwah – dimuat turun di Halaqah-Online pada 1 Februari 2010.
Mustafa Masyhur. (2001). Jalan Da’wah: Antara Qiyadah dan Jundiyyah. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Zainab Al-Ghazali, Gigih Melawan Sekularisme. (2008, Oktober 15 ). Di muat turun pada 1 Februari 2010 di Republika Online.
Zainab Al-Ghazali al-Jubaili (2007). Hari-hari Dalam Hidupku: Kisah Realiti Penyeksaan di Penjara Tentera Mesir. Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment