Saturday, February 27, 2010


DALIL KEHARUSAN MENYAMBUT MAULIDUR RASUL

MENURUT AL-QUR'AN DAN SUNNAH

(bahagian terakhir)


DALIL KEENAM

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan mengenai kelebihan hari Jumaat dengan sabdanya:

Maksudnya: Dan padanya (hari Jumaat) diciptakan Nabi Adam (a.s).

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasa’I dan Abu Daud dengan sanad yang sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

Bahawa Nabi s.a.w bersabda: sesungguhnya hari yang paling afdhal ialah hari Jumaat kerana pada hari itu diciptakan Nabi Adam (a.s.), para hari itu baginda dibentukkan rupanya, pada hari itu ditiupkan roh dan pada hari itu dimatikan, lantaran itu perbanyakkanlah berselawat kepadaku kerana selawat kamu itu akan dibawa kepadaku kelak.

Sesungguhnya dimuliakan hari Jumaat kerana diciptakan Nabi Adam a.s. di mana baginda adalah asal-usul manusia, dari keturunannya lahirlah para nabi dan para wali dan orang-orang yang soleh termasuk Nabi Muhammad s.a.w.

Kemuliaan hari Jumaat bukan sahaja tertentu pada harinya tetapiia khusus kerana diciptakan Nabi Adam a.s. dan makhluk sejenisnya secara umum walaupun berlaku berulang kali, begitulah halnya kemuliaan hari Jumaat iaitu mensyukuri nikmat Allah mengenai kejadian tersebut.

Dalam hubungan ini, dikiaskan sambutan Maulidur Rasul s.a.w. dengan hari Jumaat kerana sebab berlakunya peristiwa tersebut adalah serupa. Malahan alasan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w adalah lebih kuat lagi kerana kalaulah dizaman itu manusia memuliakan kelahiran Nabi Adam a.s apalagi zaman kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebagai kesudahan para nabi dan rasul. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sudah tentulah lebih afdhal lagi untuk disambut dan disyukuri sebagaimana disebutkan dalam hadith Imam Muslim bermaksud:

“aku penyudah nabi dari kalangan anak Adam dan aku tidak pernah bermegah.”

Setelah Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan mengenai sebab hari Jumaat, baginda menyarankan supaya banyak berselawat ke atasnya dan menjelaskan bahawa ia merupakan kelebihan baginda.

Ini merupakan nas suruhan untuk mengadakan sambutan mengingati hari kelahiran kepada semua orang yang mengambil contoh kisah kelahiran Nabi Adam a.s, lantaran itu lebih utama mengadakan sambutan Maulidur Rasul kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w dengan banyak berselawat kepada baginda.

Dalam hubungan ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan lainnya daripada Omar Al-Khattab r.a katanya:

Bermaksud:

“bahawa seorang lelaki Yahudi berkata kepadanya, wahai Amirul Mukminin, apakah bukti dalam kitab kamu, sekiranya ayat tersebutu turun kepada kami, nescaya kami menjadikan hari itu sebagai hari kebesaran, lalu dia bertanya, apa ayatnya? Omar berkata dalam surah Al-Maidah ayat 3: bermaksud: pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatku kepadamu, dan Aku telah redhokan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Lalu Omar berkata: sesungguhnya aku akan memberitahu hari dan tempat ayat ini diturunkan iaitu semasa Rasulullah s.a.w berada di Arafah pada hari Jumaat.

Imam Al-Tirmizi meriwayatkan hadith daripada Ibn Abas yang serupa dan berkata kepada padanya:

“diturunkan pada hari raya haji iaitu pada hari Jumaat sedangkan hari itu adalah hari Arafah.”

Imam Al-Tirmizi mengatakan ia adalah hadith Sahih. Dalam hadith ini saidina Omar Al-Khattab r.a bersetuju menjadikan hari di mana berlakunya sesuatu nikmat yang besar itu sebagai hari raya, kerana masa itu mengisi sesuatu kejadian yang besar sekalipun beliau mengetahui bahawa Nabi s.a.w tidak menjadikannya hari turunnya ayat itu sebagai hari raya.


DALIL KETUJUH

Allah S.W.T menjelaskan di dalam Al-Qur’an mengenai kisah nabi-nabi, diantaranya keputeraan Nabi Yahya, Mariam dan Nabi Isa a.s.

Allah menekankan peristiwa ini supaya disematkan ke dalam hati Nabi s.a.w mengenai cabaran dakwah yang dihadapi oleh para nabi sebelum baginda. Allah berfirman dalam surah Hud ayat 120, maksudnya:

“dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya.”

Jika sekiranya kisah para nabi-nabi itu dapat menguatkan hati dan semangat, maka sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w itu sudah tentu dapat mengukuhkan hati dan keyakinan.


DALIL KELAPAN

Sambutan Maulidur Rasul sebagai pendekatan untuk melakukan banyak kebajikan dan ketaatan.

Sambutan Maulidur Rasul banyak mengandungi perkara-perkara yang baik seperti berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, tazkirah, bersedekah, memuji dan mengagungkan Nabi, menceritakan keturunan dan sirah perjuangan hidup dan dakwah baginda, mengiratkan silaturrahim dan sebagainya di mana kesemuanya ini dituntut dan disuruh oleh syarak.

Apa juga yang mendorong dan membawa kepada apa yang disuruh oleh syarak adalah dituntut. Lantaran itu Allah S.W.T memberitahu bahawasanya Allah dan para malaikat-Nya berselawat keatas Nabi s.a.w sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya:

“sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (member segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad s.a.w; wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Dalam hubungan ini, terdapat hadith yang menggalakkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka dengan menekankan tiga perkara utama iaitu kasihkan Allah, kasihkan Nabi dan ahli keluarganya serta membaca Al-Qur’an sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

”ajarlah anak-anak kamu dengan tiga perkara utama iaitu: cintakan Allah, cintakan Nabi s.a.w dan keluarganya dan membaca Al-Qur’an.”

Al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan: maksud ayat ini ialah bahawa Allah memberitahu manusia bahawa Allah memberitahu manusia bahwa Allah sendiri dan para malaikat berselawat kepada Nabi s.a.w agar pujian itu bercantum antara manusia di dunia dan para malaikat.

Terdapat dalam hadith bahawa Rasulullah s.a.w memuji dirinya dan para nabi yang lain, baginda memang menyukainya dan para sahabat melakukannya di hadapan Nabi, baginda redho dengannya dan mendoakan mereka yang memuji dan memohonkan ganjaran kepadanya.

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad dan Ibn Abi Syaibah dan Al-Tabrani dalam kitab Ma’jam al-Kabir daripada Al-Aswad Ibn Sari’ katanya:

Maksudnya:

“aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w , aku memuji Allah dengan pujian dan aku memujimu dengan pujian, baginda Rasulullah bersabda: Mari dan mulakan pujian itu dengan memuji Allah.”

Pujian kepada Rasulullah s.a.w datangnya daripada beberapa orang sahabat. Dalam hubungan ini Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya, dan Ibn ‘Asakir dalam sejarah Mukhtasar Ibn Mandzur, daripada Abdullah bin Rawahah berkata:

Maksudnya:

“bersama kita Rasulullah s.a.w membacakan kitabnya-apabila (insyaqqa), diketahui daripada fajar yang menyinari, kami melihat petunjuk setelah hati kami buta-lalu meyakini bahawa apa yang disampaikan itu adalah betul, Baginda tidak begitu lena tidurnya-kerana banyak memikirkan keadaan orang-orang Kafir.”

DALIL KESEMBILAN

Firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat 57:

Maksudnya,

“katakanlah (wahai Muhammad): “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih-sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

Pada asalnya ayat ini dimaknakan dengan umum ayat, antara ayat yang umum ialah (wabirahmatihi) ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107:

Maksudnya,

“dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Maksud rahmat di sini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah jenis tafsiran yang paling kuat, kerana tafsir Al-Qur’an dengan Al-Qur’an itu lebih diutamakan oleh Ulama’ Tafsir berbanding tafsir berbanding mentafsirkan Al-Qur’an dengan apa yang didapati daripada para sahabat dan tabien (mentafsirkan Al-Qur’an dengan Hadith).

Ada juga yang mentafsirkan ayat di atas seperti berikut. Dalam Kitab Al-Dar al-Manthur oleh Al-Hafiz Al-Sayuti diriwayatkan daripada Abu Syeikh daripada Ibn Abas r.a dalam ayat tersebut mengatakan: yang dimaksudkan dengan limpah kurniaan Allah itu ialah ilmu pengetahuan dan yang dimaksudkan dengan rahmatnya itu ialah Nabi Muhammad s.a.w . Ini berdasarkan firman Allah:

“wa ma arsalnaka illa rahmata lil ‘alamin” (surah Al-Anbiya’:107)

Al-Alusi dalam kitabnya Ruh Al-Ma’ani mengatakan ayat:

“fabizalika fal yafrahu”

Ayat ini merupakan penguat dan pengukuh (ta’kid dan taqrir), setelah dipastikan rahmat yang disebutkan dalam ayat ini ialah Nabi Muhammad s.a.w..tambahnya lagi, pendapat yang masyhur ialah menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat berdasarkan firman Allah:

“wa ma arsalnaka illa rahmata lil ‘alamin” (surah Al-Anbiya’:107)

Ibn Al-Jauzi dalam tafsirnya, Tafsir Abi Al-Su’ud, telah memetik lapan pendapat mengenai makna rahmat dalam ayat tersebut. Pendapat yang ketiga mengenai makna limpah kurnia (al-Fasl) dan rahmat (ar-rahmah), bahawa limpah kurnia itu maksudnya ialah ilmu pengetahuan dan rahmat-Nya pula ialah Nabi Muhammad s.a.w, ini yang diriwayatkan oleh Al-Dahlaq daripada Ibn Abas.

Daripada ayat tersebut menjadi bukti bahawa bergembira (al-farah) dengan Maulidur Rasul adalah dituntut daripada setiap muslim dan diberikan ganjaran, sebagaimana kisah Abu Lahab diringankan azabnya kerana begitu gembira di atas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dengan memerdekakan hambanya Thuaibah.

DALIL KESEPULUH

Sambutan Maulidur Rasul bukan satu ibadah yang ditetapkan (taufiqiyah) ia merupakan usaha menghampirkan diri kepada Allah yang diharuskan.

Sambutan Maulidur Rasul merupakan satu perkara biasa yang tidak lebih boleh dikatakan harus oleh syarak. Disebabkan sambutan Maulidur Rasul mengandungi perkara-perkara yang menghampirkan kepada Allah S.W.T maka ia dikira sebagai qurbah (menghampirkan diri kepada Allah).

Sekiranya sambutan Maulidur Rasul itu sebagai ibadat, sudah tentulah ia mempunyai bentuk tertentu dan nas tertentu, sedangkan amalan Maulidur Rasul ia berbeza dari segi bentuk dan perlaksanaannya dari satu tempat dengan yang lain.

Ingin ditegaskan di sini bahawa melakukan perkara yang harus disertai dengan niat taat kepada Allah seperti mengamalkan zikir, istighfar, selawat nabi, mengkaji sirah Nabawi, memuji Nabi Muhammad s.a.w ia merupakan satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan diberikan pahala pengamalnya, insyaAllah. Ini dibuktikan oelh nas yang jelas di mana Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:

“kamu melakukan persetubuhan dengan isteri kamu ia adalah sedekah, mereka bertanya: wahai Rasulullah s.a.w, adakah seseorang yang melepaskan runtunan nafsunya dia beroleh pahala? Baginda bersabda: kamu tahu tak, sekiranya dia melakukan pada perkara yang haram, adakah dia berdosa? Demikianlah halnya jika dia melakukan pada perkara yang halal dia mendapat pahala.”

Ibn Hajar berkata: Al-Nawawi mengambil hokum daripada contoh ini iaitu sesuatu perkara sekiranya menepati hokum yang betul sudah tentulah mendapat pahala, kerana menyuap sesuatu ke mulut isteri biasanya berlaku semasa bercumbu-cumbuan, sudah tentulah jelas ada rangsangan seksual.

Walaupun begitu, jika tujuannya kerana mengharapkan pahala, ia berhasil dengan izin Allah. Jika perkara sebegini yang melibatkan runtunan nafsu diberi pahala apalagi perkara yang tidak melibatkan runtunan nafsu langsung.

DALIL KESEBELAS

Dr. Said Ramadhan Al-Buthi dalam pengantar bukunya mengenai ayahandanya Sheikh Mula Ramadhan dalam kitabnya bernama (haza walidi), Ini Ayahku, menjelaskan sikap ayahandanya mengenai sambutan Maulidur Rasul, katanya:

Beliau sering menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul yang mengandungi sebarang perkara yang mungkar atau bid’ah sama ada dalam bentuk amalan atau percakapan. Amalan ini mengikut pendapatnya sebagai majlis zikir yang diharuskan oleh Rasulullah s.a.w dan ini dilihatnya termasuk dalam erti kata maksud hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan sahihnya:

Maksudnya:

“mana-mana kaum yang berkumpul kerana mengingati Allah melainkan dilindungi oleh para malaikat, diliputi rahmat dan diturunkan sakinah ke atas mereka, dan Allah sentiasa mengingati mereka yang ingatkannya.

Hadith ini menjadi dalil mengenai kelebihan mengenai kelebihan berhimpun untuk zikrullah atau mengingati Allah S.W.T. Jadi tidak syak lagi bahawa berhimpun untuk berselawat dan memuji serta mendoakan Nabi s.a.w sebahagian daripada berzikir kepada Allah.

Tetapi jika sekiranya di dalam majlis ini terdapat perkara-perkara yang dilarang seperti percampuran bebas antara lelaki dan perempuan ajnabi atau mempersembahkan nasyid yang liriknya bercanggah dengan syarak dan akhlak Islamiyyah dan lain-lain perkara yang ditegah, maka hukumnya dirujuk kepada kaedah syarak iaitu: meninggalkan perkara yang merosakkan itu lebih diutamakan daripada mengharapkan faedahnya.

-TAMAT-

p/s:

SALAM MAULIDUR RASUL

DARIPADA BARISAN PIMPINAN PKPIM UIAM

KEPADA SEMUA JUNDIYYAH YANG SETIA DAN

KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...