Wednesday, February 10, 2010

Non-partisan PKPIM-ABIM-WADAH:
Satu Penjelasan Ringkas.

Keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH tetap mendokong prinsip non-partisan dalam orientasi gerakan Islam di peringkat kebangsaan. Tidak dinafikan prinsip non-partisan ini mengundang kontroversi terutama apabila mereka tidak berada dalam PKPIM-ABIM-WADAH itu sendiri. Disebabkan itu, penulisan kali ini cuba merungkai persoalan non-partisan PKPIM-ABIM-WADAH supaya segala kekeliruan terjawab dan diharapkan prinsip ini tidak lagi dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk pengetahuan umum, kami bukanlah tidak berpendirian apatah lagi layak untuk diibaratkan sebagai lalang yang mengikut sahaja tiupan angin oleh beberapa pihak. Malah ada juga yang mengatakan politik PKPIM-ABIM-WADAH ini sebagai tidak jelas. Di sini kami ingin menekankan bahawasanya tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali. Sesungguhnya kami bukanlah parti politik tetapi sebuah gerakan Islam yang non-partisan yang menjadikan budaya ilmu,dakwah dan tarbiyyah sebagai tunjang perjuangan dalam semua aspek dan lapangan. Disebabkan itu PKPIM-ABIM-WADAH inginkan kebebasan dalam menentukan pendiriannya selagi mana ia tidak melanggar syariat Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan non-partisan yang didokong oleh PKPIM-ABIM-WADAH ini? Non-partisan adalah kata berlawanan bagi perkataan partisan yang membawa maksud tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, tetapi tetap memainkan peranan politiknya dengan meletakkan kemaslahatan umat mengatasi ruang lingkup politik parti yang terbatas. Kami mengambil dasar untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak secara ‘totok’ tetapi kami sentiasa menyokong mana-mana pihak yang melakukan kebajikan. Dengan kata lain, PKPIM-ABIM-WADAH adalah rakan bekerjasama dalam kebaikan dan melarang kemungkaran.

Ini selari dengan dasar perjuangan kami iaitu ‘Amar Ma’ruf Nahi Munkar’. Selain itu, PKPIM-ABIM-WADAH menentukan pendiriannya berdasarkan pemusatan isu (issues centric) bukannya pemusatan parti (party-centric). Ini adalah baik supaya segala penilaian sesuatu isu itu dapat dibuat tanpa bias atau dipengaruhi persepsi dan emosi politik parti. Ini sejajar dengan budaya ilmu yang PKPIM-ABIM-WADAH amalkan dalam orientasi gerakannya yang menekankan keadilan, kesaksasaman dan kebebasan dalam menilai sesuatu perkara.

Persoalannya, kenapa non-partisan PKPIM-ABIM-WADAH ini sering disalah ertikan? Berdasarkan pembacaan dan pengamatan, kami berpendapat isu non-partisan ini berlaku kerana wujudnya dikotomi politik, iaitu dominasi pihak parti pemerintah dan pihak satu lagi adalah parti pembangkang. Pendekatan PKPIM-ABIM-WADAH yang bebas atau juga dipanggil suara ketiga diakui amat susah diterima dalam masyarakat hari ini. Namun, kami tidak akan menggadai prinsip non-partisan ini demi kemaslahatan umat itu sendiri. Disebabkan itu, Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan Dasar ABIM ke-11 menegaskan:

“Bagi kita Islam adalah padu dan ‘kompak’ yang tidak mengenal pemecahan. Yang nyata kita bukan parti politik dan kerana itu peranan politik kita tidak berbentuk kepartian yang menumpu pada persaingan merebut kuasa dalam proses pilihanraya. Politik kepartian dan seterusnya penyertaan dalam proses demokrasi pilihan raya bukan uslub asasi, bukan “jawharu ‘l-‘amal” gerakan Islam, tetapi hanyalah sekadar”umur janibiyah”-urusan sampingan yang digarap dengan kadar yang terbatas. Oleh itu bagi pendukung-pendukung gerakan Islam perhitungan politik kepartian tidak seharusnya mengatasi kepentingan gerakan Islam dan “jawharu ‘l-‘amal Islamiyy”. Keyakinan kita yang bulat kepada wadah gerakan Islam sebagai wasilah yang paling berkesan ke arah pencapaian cita-cita Islam tidak pula menjejaskan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam hal-hal yang membawa maslahah dan kebaikan kepada Islam dan umat atas dasar “al-ta’awun ‘ala ‘l-birr”-bekerjasama dalam hal-hal kebajikan.” (Ahmad Azam,2003)

Bila berbicara tentang non-partisan, ia bukan pula bermakna PKPIM-ABIM-WADAH ini ‘non-political’. Sejajar dengan ini, Dr.Sidiq Fadzil (1987) menegaskan:

“ walaupun ABIM bukan sebuah parti politik dalam konteks sistem demokrasi hari ini, tetapi sebagai sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan Islam seutuhnya, ABIM tidak dapat mengelak daripada berbicara dan berperanan dalam politik serta mempunyai visi politik, malah gerakan Islam seharusnya merupakan satu kekuatan politik yang layak diperhintungkan. Dengan demikian, para ahli warga harakah kita ini tidak harus ‘naïve’ dalam soal politik. Kita harus sentiasa mengikuti perkembangan politik dan mempunyai daya analisa yang tajam sehingga kita mampu membuat kesimpulan-kesimpulan dari sudut pandangan wadah kita sendiri dan seterusnya menentukan sendiri pendirian politik wadah kita tanpa terikat dengan bacaan politik wadah-wadah lain yang tentunya mempunyai sudut pandangan mereka sendiri” (Marzuki Mohamad, 2003).

Sebagai kesimpulan, suka untuk pihak PKPIM-ABIM-WADAH UIAM menegaskan bahawasanya, kami adalah gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyyah sebagai asas perjuangannya. Selain itu, pendekatan dasar non-partisan ini bukan bermakna kami menggadaikan prinsip perjuangan atau mengelakkan PKPIM-ABIM-WADAH dari berbicara mengenai politik kampus mahupun politik Negara. Kerana kami pasti, apabila kami mengetepikan hal-hal politik, kami akan kecundang kepada anasir-anasir sekularisasi yang memisahkan agama dan hal-hal berkaitan Negara (politik). Sudah tentu bahayanya lagi jelas. Sebagai gerakan Islam kita harus berani dan bebas dalam menentukan hala tuju sendiri. Itulah keunikan non-partisan yang PKPIM-ABIM-WADAH berpegang selama ini.

Akhir kalam, As-Syahid Imam Hasan al-Bana pernah berpesan dalam 10 wasiatnya yang terkenal, “ jauhi dari mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatangkan kebaikan.” Di harapkan isu non-partisan ini tidak lagi menjadi halangan kepada PKPIM-ABIM-WADAH untuk menjalankan gerak kerja dakwahnya secara meluas. Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...