Friday, October 16, 2015

Peranan Nuqaba’



ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
   [سورة النحل : 125: ]) 

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

            Dakwah boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Perlaksanaan dakwah boleh mengikut kemampuan individu samada dakwah kepada kelompok kecil atau terus kepada masyarakat majmuk. Artikel ini hanya akan menyentuh kepada peranan nuqaba’ sebagai dai  yang menggerakkan usrah sebagai salah satu method dakwah dan pembangunan diri individu muslim.

            Usrah merupakan satu entiti yang sangat penting dalam sesebuah organisasi atau jemaah. Dalam setiap pertemuan ketika berlangsungnya aktiviti usrah, ketika itulah proses dakwah dan tarbiah dapat dilaksanakan secara tidak langsung. Usrah adalah nadi dalam jemaah. Di sini kita bertemu untuk berkongsi dan berbincang pelbagai isu dalam kehidupan dan di sini juga waktu untuk kita memantapkan fikrah dan ukhwah sesama ahli. Maka jelaslah di sini bahawa sangat besar peranan nuqaba’ yang menjadi pembimbing sesebuah unit usrah.

            Nuqaba’ terdiri daripada naqib dan naqibah yang bertanggungjawab menggerakkan unit usrah. Peranan nuqaba’ sangat penting dalam membawa misi dakwah dan tarbiah kepada ahli usrah. Seseorang naqib atau naqibah perlu memahami peranan mereka sebagai pembimbing dan mengetahui cara yang berkesan untuk menyentuh hati setiap anak usrah supaya ukhuwah dan keterikatan hati mereka dapat diperkukuhkan dan seterusnya tercapai hasil dari usaha dakwah yang cuba dijalankan. Dalam misi untuk mengaktifkan usrah unit, selain daripada memastikan sistem usrah yang tersusun dari aspek waktu perlaksanaan dan silibus usrah, para nuqaba’ perlu memainkan peranan tertentu ketika perlaksanaan usrah unit.

            Peranan pertama para nuqaba’ ialah mereka perlu memastikan perkembangan yang sihat dalam kalangan ahli usrah. Perkembangan ahli ini boleh dipantau dari segi empat aspek utama iaitu spiritual, intelektual, aktivisme dan idealism.

1- Spiritual     

Nuqaba’ perlu mengambil berat tentang soal amalan rohani setiap anak usrah mereka. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam kalangan ahli adalah solat. Naqib perlu memainkan peranan dari semasa ke semasa membimbing ahli untuk meningkatkan mutu solat yang didirikan setiap waktu kerana solat merupakan tiang agama individu muslim. Seterusnya nuqaba’ perlu menilai bagaimana hubungan anak usrah mereka dengan Al-Quran. Sejauh mana keterikatan mereka dengan Al-Quran dari segi pengamalan bacaan harian mereka dan kefahaman. Jika ada dalam kalangan anak usrah yang mempunyai masalah dari segi bacaan dan tajwid, maka naqib dan naqibah perlu membantu mereka untuk memperbaiki mutu bacaan seterusnya dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna kalam Allah. Solat dan Al-Quran sangat penting untuk dijaga kerana berkait rapat dengan hubungan hamba dan khaliq.

2- Intelektual

Intelektual berkait rapat dengan budaya ilmu. Untuk meningkatkan tahap kemampuan intelek ahli usrah, naqib berperanan untuk menggalakkan mereka mencari dan menambahkan ilmu dalam pelbagai bidang. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah melalui pembacaan. Peranan nuqaba’ di sini adalah memantau ahli dari segi kualiti pembacaan dan budaya ilmu yang diamalkan.

3- Aktivisme

Nuqaba’ perlu merangsang setiap anak usrah untuk mengaktifkan diri dan terlibat secara langsung dalam program – program yang bermanfaat. Tidak kira sama ada penglibatan dalam menguruskan sesuatu program atau berperanan sebagai peserta dalam program tersebut, partisipasi ini bakal membuahkan jalinan ukhuwah yang mapan sesama ahli usrah.

4- Idealisme

Idealisme membantu perkembangan intelek ahli usrah. Aspek ini mampu melihat sejauh mana ahli usrah menterjemahkan apa yang telah dipelajari melalui siri-siri ilmu yang telah dihadamnya. Lalu, daripada orakan langkah tersebut, maka akan tercetuslah idea yang perlu dibumikan melalui platform aktivisme. Di sinilah para nuqaba’ perlu memberi kebebasan kepada ahli usrah untuk berkarya secara kreatif disamping cermat memandu mereka ke arah manifestasi untuk memberdayakan idealisme tersebut.

            Selain itu, para nuqaba’ perlu gigih membangunkan potensi ahli usrah. Sebagai da’I dan pembimbing, nuqaba’ perlu mengenalpasti potensi setiap mad’u yang berada di bawah pantauan mereka. Setelah itu nuqaba’ hendaklah berusaha membantu anak usrah untuk mengembangkan potensi tersebut dalam perkara yang diminati. Para nuqaba’ perlu mencungkil bakat setiap individu muslim agar dapat digilap dan hasilnya dapat disumbangkan untuk manfaat ummah.

            Akhir sekali, para nuqaba’ perlu berusaha mencari idea untuk memupuk minat setiap ahli supaya melibatkan diri dengan usrah. Sebagai contoh, seorang naqib mengadakan kesepakatan bersama ahli usrah untuk memilih nama usrah mereka dan menetapkan ciri-ciri tertentu yang perlu ada ketika usrah mereka berlangsung. Nama dan ciri usrah ini melambangkan identiti dan keunikan mereka yang tersendiri. Cara ini mampu menarik ahli yang lain untuk mengikuti perkembangan usrah yang dijalankan.

Sebagai penutup diselitkan satu petikan karya dari buku Lagenda Budak Usrah:


            Kita sebenarnya banyak leka, rehat dan bermain-main sahaja dengan amal ibadah kita, yang menjadikan kita rasa cukup baik dengan apa yang kita buat. Sedangkan dakwah memerlukan kita. Dakwah memerlukan kita mencetak ribuan lagi murabbi. Maka usaha perlu dilaksanakan. Ini takkan dapat dipenuhi melainkan dengan amal jamaie. Aku menasihatkan diriku dan akhawat fillah akan beratnya amanah ini dan sedikitnya masa yang kita ada untuk memenuhinya. Kita amat memerlukan pertolongan Allah untuk meneguhkan hati dan meluruskan saf kita. Kita harus kuat dan meneruskan perjalanan. Walaupun kita letih untuk menunggu hasilnya. Bersabarlah. Allah akan mengurniakan kemanisan atas keikhlasan. 

Nukilan: Izzati
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...