Saturday, December 24, 2011

Bengkel Latihan Dakwah


Kepada semua ahli PKPIM UIAM GOMBAK anda dijemput hadir ke bengkel latihan dakwah anjuran bersama ABIM dan PKPIM UIAM GOMBAK. Ayuh anak muda kita persiapkan diri dengan ilmu dan skill untul turun ke lapangan. Semoga kita dapat sama-sama belajar dan mengaplikasikan pengetahuan yang kita peroleh.

Thursday, December 15, 2011

Latihan Kepemimpinan Global




Jemputan ke Bengkel Kepimpinan Global anjuran Teras Antarabangsa ABIM & PKPIM UIA pada 18 Disember / 22 Muharam 1433 H (AHAD) jam 9pagi - 1 petang di Dewan ABIM Pusat. Bersama Dr. Syed Muhd Khairudin (Universiti Nasional Singapura). Tajuk yang akan dibincangkan 1.) Leaderless Revolution 2.) Bagaimana ABIM boleh melahirkan 'World Class Leader'. Jemput hadir semua dan sebarkan (terbuka). Bayaran RM 5.00.
.

Tuesday, December 6, 2011

14 perkara yang sunat dilakukan pada Hari Asyura


14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura
(10 Muharram, bersamaan Selasa, 6hb Disember 2011)

1. Melapangkan masa / belanja anak , suami & isteri2
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menahan marah
fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.

4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'

9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala'
Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca
'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .

13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa
Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Insya'allah..
Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan Kepada Yang Lain-Lain.

*sumber dari blog pemudacahaya.blogspot.com

MAJLIS IFTHAR MAHABBAH PKPIM UIAM GOMBAK

Bismillahirahmanirahim ...




Dijemput hadir ke Majlis Ifthar Mahabbah PKPIM UIAM Gombak

Tempat : Edu LR 6 DAN 7

Masa : 6.30petang - 9.30 malam
10 Muharam 1433H: Moga-moga keikhlasan kita berpuasa pada hari ini akan beroleh keampunan dari Ilahi bagi dosa-dosa yang telah dilakukan setahun yang lepas.

Ayuh, beramai-ramai kita berpuasa dan berifthar bersama-sama

Pengisian akan disampaikan Sdra Jufitri Johar, Naib Presiden Antarabangsa ABIM selaku Murobbi PKPIM UIAM Gombak bertajuk, HIJRAH: PEMUDA DAN PERUBAHAN

*Membina Generasi Murabbi*

Friday, November 25, 2011

Majlis Bicara Hikmah & Senandung Zikir sempena Maal Hijrah 1433H


Jemputan ke Majlis Bicara Hikmah dan Senandung Zikir bersempena Mall Hijrah 1433H

Objektif penganjuran program ini ialah untuk menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, menerapkan aspek kepentingan sentiasa mengingati Allah dan bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya, merapatkan hubungan antara kelompok muda khususnya mahasiswa dengan masyarakat tempatan dan mengembalikan tradisi keilmuwan ulama-ulama muktabar dalam kalangan masyarakat moden. Butiran program adalah seperti berikut :


28 NOVEMBER 2011 /ISNIN

MAGHRIB sehingga 9.30 malam

Ruang solat utama Masjid Kolej Islam Malaya (Jalan Universiti, ss17 PJ- bersebelahan UIA PJ)

Penceramah : Ybhg. Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Al Jofree


*ayuh anak muda kita penuhi waktu sambutan tahun baru Islam dengan ilmu dan amal*


Wednesday, November 23, 2011

WAHAI PEMUDA: AYUH BANGKIT, PERSIAPKAN DIRIMU!


Bismillahirrahmanirrahim...

Kita mulakan bicara untaian kata kali ini dan acapkalinya dengan lafaz kalimat agung syukur AlhamduliLlah kepada Tuhan Yang Maha Esa, kuasa yang memberikan segala kekuatan untuk mengadaptasi segala di minda untuk dilakarkan di atas warkah kali ini dan setiap kali pena ini berlayar. Sesungguhnya yakin dan percaya hanya Dia sahaja tempat segala pengharapan, tiada yang lain untuk mengecapi makna kebahagiaan sebagai insan. Selawat ke atas junjungan Baginda RasulluLlah s.aw. yang menyinari segala kegelapan dengan segala pencerahan, yang mengeluarkan segala kezaliman kepada yang adil dan benar, yang sangat dicintai oleh seluruh umat, yang dirindui akan qudwahnya, yang akan terus kekal di setiap ingatan umat, dan moga akan terus berselawat Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad Al-Mustafa tatkala membaca kalimat-kalimat seterusnya. Moga kita kan menjadi umat yang terbaik, insha-ALlah.

Mantapkan Jati Diri Kita.

Sekilas pandang, kita melihat dan memahami istilah jati diri ni semakna dengan makna diri ataupun selalu kita dengar dan baca istilah identiti. Istilah ini menimbulkan penuh makna yang mendalam bagi kita sepatutnya. Hal ini disebabkan kita perlu memahami bahawa sesungguhnya bangsa Melayu di negara ini merupakan bangsa teras yang menganut agama Islam. Jati diri merupakan prinsip atau identiti yang merupakan simbol atau tanda kepada individu itu seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China. Oleh hal yang demikian, kita harus menelurusi keunggulan Melayu sebagai juzuk besar dan penting di Asia Tenggara.

Namun kita jangan hanya bicara soal nama Melayu sahaja. Kita harus lihat ciri-ciri seorang Melayu itu sendiri. Melayu itu ada agamanya, ada bahasanya, ada budayanya, ada sistem pendidikannya dan ada nilainya. Angkatan muda dahulukala lagi telah memperjuangankan nilai keMelayuan di tanah air kita. Gerakan memperjuangankan bangsa Melayu janganlah hanya diukur dari sudut kebangkitan perjuangan nasionalisme yang menentang penjajahan moden sahaja. Namun, perjuangan ini telah lama bermula sejak zaman bangkitnya tamadun Melayu itu sendiri sekitar abad 7 Masihi. Pada ketika itu, kerajaan Sriwijaya yang lebih dianggap menjadi asas tamadun Melayu telah mula menjelmakan citra pemerintahan yang utuh, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Setelah bertahun kemudian, kedatangan Islam ke Kesultanan Melayu merupakan peralihan paksi tamadun yang melalui proses perubahan rupa dan jiwa bangsa Melayu ke arah pembebasan daripada belenggu khurafat dan takhyul kepada bangsa yang intektual dan rasional.
Hal ini seperti ungkapan Prof. Dato’ Dr. (Ustaz) Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) iaitu, Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia. Pabila kita kaji, asas utama misi perubahan ini ialah konsep aqidah Islam yang berpaksikan konsep Tauhid yakni meng-Esa kan ALlah s.w.t dan melengkapi hubungan antara manusia dengan penciptanya serta hubungan manusia dengan manusia dan makhluk lain. Hal ini dapat dilihat dalam firman ALlah s.w.t iaitu hablum minna ALlah, wa hablum minal nas. Hubungan vertikal ke arah hidup berTuhan, dan hubungan horizontal ke arah hidup bermasyarakat dan bersosial.

Hubungan holistik ini tidak mampu kita dapat dalam mana-mana agama lain selain dari agama Islam. Elemen ini merupakan amanah tanggungjawab yang dipikul oleh setiap umat Islam. Sistem kepercayaan ini merupakan sistem yang tidak boleh lari dari bangsa Melayu khususnya di Malaysia dan Asia Tenggara. Jadi, secara langsung tertolak pemikiran-pemikiran yang tidak sealiran dengan konsep Tauhid yang dibawa sejak dahulu lagi iaitu Mazhab Tauhid aliran Asya’iroh wal Maturidiyyah. Namun, hakikatnya kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang seakan-akan mahu melompongkan ketsiqahan yang telah dibina sejak berabad lama.

Kekuatan bangsa Melayu yang berasaskan syariat perlu diberi perhatian bagi mewujudkan kesinambangan. Baik dari segi pentadbiran iaitu Siasah Syar’iyyah, sistem perundangan dan perlembagaan iaitu Hukuman Hudud, sistem ekonomi Islam, sistem pendidikan yang berteraskan Islam, dan segalanya harus mengikut kaedah syariat. Tuntutan untuk melaksanakan Islam secara syumul pada era kini telah nampak positif. Jadi, dalam masyarakat demokrasi di negara kita, hal ini pasti boleh dengan kebijaksanaan kepemimpinan sekarang. Namun, semuanya di tangan kita orang muda yang menentukan segalanya. Oleh itu, kita generasi muda perlu mengangkat kembali perbicaraan-perbicaraan, perbincangan-perbincangan sedemikian agar jati diri kita sebagai Muslim yang berbangsa Melayu tidak terhakis dek percaturan teknologi yang kian menghambat.

Mengutamakan Ilmu dari Segalanya.

Menurut pandangan As-Syeikh Sa’id Hawwa dalam kitabnya Al-Madkhal Ila Da'wah Al-Ikhwan Al-Muslimin (Pengenalan Kepada Dakwah Ikhwan Muslimun) mengelaskan didikan ataupun tabiyyah ini mempunyai 3 kelas iaitu ilmu (thaqafah), iltizam (semangat), dan ciri-ciri khusus (klasifikasi). Ilmu pula dibahagikan kepada 4 aspek iaitu tsaqafah Islam, tsaqafah semasa, tsaqafah khusus dan tsaqafah bagi amal Islam.

Tsaqafah Islam ialah ilmu-ilmu yang bersandar langsung dengan tradisi ilmu Islam. Beliau menyebutkan beberapa di antaranya iaitu ilmu untuk mengenal ALlah, RasulNya dan Islam, kajian mengenai Al-Quran dan As-Sunnah, Aqidah, Akhlaq, Usul Fiqh, Fiqh, Sejarah Islam dan dunia serta bahasa Arab.

Tsaqafah Semasa pula ialah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keperluan yang timbul dari keadaan dan persekitaran semasa untuk membolehkan individu berfikir sesuai dengan keperluan semasa, membuat keputusan sesuai dengan prioriti yang dihadapinya dan mengeluarkan fatwa dalam hal ehwal semasa agar tidak terjatuh dalam tipu helah manusia contohnya ilmu falsafah, pemikiran semasa, ilmu sains kemanusiaan dan komunikasi semasa.

Tsaqafah Pengkhususan ialah penguasaan dalam bidang-bidang tertentu hingga menjadi pakar mengenainya seperti pakar dalam bidang kejuruteraan dan perubatan. Tsaqafah Amal Islam pula ilmu-ilmu yang diperlukan bagi usaha dakwah. Tiada ilmu yang khusus yang disebutkan tetapi bolehlah dikatakan bahawa ilmu pengurusan, ilmu harakah Islamiah, dan ilmu amal jamai’e termasuk dalam bidang ini.

Oleh itu, keperluan bagi kita sebagai penerus perjuangan generasi tua hari ini untuk mendalamai ilmu dan mengutamakan ilmu dalam setiap tindakan kita. Ilmu itu meninggikan nilai diri seseorang. Ilmu-ilmu ini mampu membentuk nur cahaya dalam kehidupan kita dengan adanya konsep kerohanian yang sejurusnya membentuk khasyatu’Llah yakni takut kepada ALlah s.w.t. Maka tuntutlah ilmu terutamanya ilmu mengenai ALlah s.w.t.

Hukama menyatakan, “Buah ma’rifat itu ada tiga, iaitu “malu” kepada ALlah s.w.t, berjumpa dengan para kekasih-Nya dan mendengarkan perkataan para hukama (menuntut ilmu).”

Dalam suatu peristiwa di mana Saidina Ali bin Abi Talib telah disoal oleh para sahabat tentang kelebihan ilmu daripada harta. Maka Saidina Ali k.w.j telah menjawab bahawa, ilmu ialah pusaka para nabi, sedangkan harta adalah pusaka Karun, Firaun dan lain-lain. Ilmu itu akan menjaga kamu tetapi harta, kamu yang menjaganya, dan harta itu jika engkau berikan akan berkurang, sebaliknya ilmu itu akan bertambah jika engkau berikan (ajarkan).

Orang yang mempunyai harta kadangkala disebut dengan nama bakhil atau dengan nama buruk yang lainnya. sebaliknya orang yang berilmu sering disebut dengan nama keagungan dan kemuliaan, dan orang yang mempunyai harta itu musuhnya ramai, sedangkan orang yang berilmu itu temannya ramai. Harta harus dijaga dari pencuri sedangkan ilmu tidak perlu dijaga, sebaliknya ilmu itu menjaga engkau, orang yang mempunyai harta akan dihisab dengan berat pada hari kiamat sedangkan orang yang mempunyai ilmu akan mendapat syafaat.

Harta akan rosak dan hancur luluh ditelan zaman, akan tetapi ilmu tidak akan rosak dan musnah walaupun ditimbun zaman, harta membuat hati seseorang menjadi keras, sedangkan ilmu membuatkan hati seseorang menjadi lembut dan bercahaya, serta orang yang mempunyai harta kadangkala sanggup mengaku dirinya Tuhan, sedangkan orang berilmu tetap mengaku dirinya hamba ALlah.

Hiduplah untuk Kebahagiaan dan Ketenangan.

Mengungkap dua perkataan ini sahaja pasti akan membuatkan masing-masing memikirkan pelbagai perkara dalam kotak pemikiran anda. Namun, sudah menjadi sunnatuLlah setiap makhluk yang bergelar manusia yang boleh berfikir dan berkata-kata ini ada rasa mahu menjadi insan yang bahagia dan tenang. Persoalannya, bagaimana caranya? Hal ini seringkali menjadi kesilapan pemuda dalam memilih kebahagiaan dalam kehidupan. Jadi, segala maksud yang tidak jelas menjadi bahagia kepada individu yang mahukannya. Umpama mahu meniti jalan kebenaran, tanpa tergelincir dalam penyimpangan, namun pasti dan akan tetap menghadapi pelbagai pilihan dan ragam dihadapan.

Oleh hal yang demikian, pembinaan akhlak yang murni dalam kalangan pemuda pada hari amatlah perlu. Akhlak Islami atau keperibadian Islam ialah nilai watak dan perilaku yang berasaskan prinsip “Sifat Mahmudah” dan “Uswatun Hasanah”. Nilai ini tidak hanya lahir dari bakat dan tuah seseorang tetapi perlu dibentuk dan dibina melalui sistem tarbiah dan penghayatan. Rujukan rasmi untuk mengacu setiap perilaku dan watak yang dimiliki oleh setiap individu agar menepati piawaian akhlak yang ditetapkan oleh syara’ ialah tidak lain tidak bukan baginda Muhammad RasuluLlah s.a.w. Firman ALlah s.w.t.,

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri RasuluLlah s.a.w. itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALlah s.w.t dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati ALlah s.w.t banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzab: 21)

Dalam menempuhi segala cabaran, mahu tidak mahu kita ini dituntut untuk hidup berjamaah bagi membentuk satu persekitaran yang dirahmati oleh ALlah s.w.t. Tuntutan ini hadir bagi memenuhi segala maksud yang diidami oleh setiap manusia, jadi hiduplah dengan berjamaah agar memudahkan kita memperelok agama kita dan ummah itu sendiri. Itulah indahnya hidup berjamaah, tatkala kita berasa sedih, pasti akan ada yang membantu. Pasti ada yang meminta untuk kita mengangkat kembali nilai Islami dalam diri.

Mengikut kata Eko Novianto, aktivis Partai Keadilan Sejahtera Indonesia, kita ini pasti akan berasa tenang dan bahagia jika kita mengikuti tarbiah harakiyyah. Nah, saya pasti setiap orang pasti tidak mahu terjatuh ketika berjalan di jalan raya atau sedang membonceng atau memandu kenderaan. Semuanya pasti ingin selamat. Oleh hal yang demikian, ikutlah panduan syariat yang telah ditetapkan dan jangan pula kita ragu-ragu atas segala ketetapan yang ALlah s.w.t kurniakan.

Kata Prof. Dr. Hamka, manusia ini lebih perlukan syariat ALlah s.w.t dari tabib (doktor) sebabnya tabib ini hanya untuk kesihatan badan, sedangkan syariat untuk kesihatan jiwa, kesihatan hidup. Syariat bukanlah rencana manusia, yang dijalankan setelah dideritai, bahkan ianya merupakan wahyu Ilahi yang suci, yang tidak bercampur dengan batil.

Hiduplah untuk Menghidupkan.

Penuhilah segala kehidupan di atas muka bumi ini dengan menuai seberapa banyak amal yang boleh dengan segala usaha. Pesan RasuluLlah s.a.w., “Jika di tanganmu ada sebutir biji benih, dan hari kiamat akan berlaku esok hari, maka tanamkan biji benih itu.”

Kata-kata ini menggalas maksud yang jelas, sebagai hamba dan khalifah, kita harus berusaha walau dengan sebanyak mana jua harapan yang ada. Maka, gunakan tenagamu untuk melunaskan amanah ini sebaik mungkin, walaupun esok kiamat bakal menjelang. Andai matahari di tangan kanan, maka ianya takkan mampu merubah ketinggian keyakinan yang terpatri, dan takkan terbeli di dalam lubuk hati, andai rembulan di tangan kiri, takkan kita sanggup mengganti iman, jiwa dan raga ini, andaikan seribu seksaan terus melambai-lambaikan derita yang mendalam. Maka, seutas rambut pun kita tidak akan bimbang dan apapun adanya takkan sekali-kali kita berhenti.

Usahlah berhenti berharap akan rahmat-Nya dan redha-Nya kerana inilah jalan pilihan kita. Sesungguhnya umat memerlukan kita, dan kita harus menggalas amanah ini dengan usaha menghidupkan mereka dari segala kekeliruan, kecelaruan dan ketidakjelasan. Menurut kamus dewan bahasa, celaru itu bermaksud tidak tentu arah, tidak beraturan, kacau bilau.

Kecelaruan ini dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady disebabkan pascamodernisme dengan disedari atau tidak seperti kecelaruan kita mengambil ringan tentang ketaatan kepada ulil-amri dari segi epistemologi, yakni memahami tentang ilmu, kaedah dan autoritinya. Penekanan yang harus diberi ialah mengajak manusia kembali kepada kehidupan bersyariat dan kembali kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh ALlah s.w.t. Mereka tidak mencipta sistem kehidupan yang menurut kehendak nafsu mereka sendiri dan memahami akibat kehidupan tanpa hidayah dari ALlah s.w.t adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari ALlah s.w.t. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.

Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani tamrin (latihan) dan tarbiah (didikan) yang lama di bawah kepemimpinan RasuluLlah s.a.w. berpandukan wahyu sebagai sumber pembentukan hingga lahir peribadi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan. Mereka hanya bermatlamatkan keredhaan ALlah s.w.t. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan iman di bawah arahan RasuluLlah s.a.w. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka faham bahawa orang-orang mukmin pasti diuji keimanan mereka. Firman ALlah s.w.t,

“Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji." (Surah Al-Ankabut: 2)

Pesan Prof. Dato’ Dr. (Ustaz) Siddiq Fadzil, seorang dai’e itu tugasnya adalah untuk menghidupkan hati-hati yang sudak mati dek lena kerana duniawi. Namun, di sini saya tukar perkataan dai’e itu kepada semua mahasiswa mestilah hidup untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang kering dek lapar dan dahaga nilai Islami. Justeru, ayuh sama-sama kita mengangkat rasa ubudiyyah dalam kehidupan dan menghidupsuburkan nilai-nilai Islami dalam kehidupan kita baik di kampus, mahupun di halaman rumah kita.

Kalam Terakhir

Kesimpulan yang boleh saya buat berdasarkan tulisan yang sangat-sangat kecil ini ialah kita generasi muda harus mempersiapkan 4 perkara iaitu, elemen jati diri dan keyakinan, elemen ilmu diutamakan, elemen kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupan, dan elemen hiduplah untuk umat yang patut disemat dalam jiwa, akal dan amal kita. Bagi menyempurnakan keempat-empat elemen yang saya nyatakan ialah dengan usrah. Usrah ialah alat yang paling berkesan dalam membangunkan idealisme, intelektualisme, spiritualisme dan aktivisme.

Perpaduan yang erat dalam kumpulan usrah mampu memainkan peranan penting meningkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang Islam. Berdasarkan catatan Zainah Anwar dalam Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, gerakan dakwah mampu mengurniakan identiti baru kepada ramai orang yang berasa asing dan hilang pegangan rohaniah dan sosial mereka, dan mampu mentakrifkan pandangan hidup orang beriman dengan jelas dengan menentukan sumber-sumber kebaikan dan kemungkaran dan menjanjikan kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.

Tidak kita akan lupakan jasa-jasa pejuang pertubuhan Islam yang antara pelopor awak gerakan kebangkitan Islam di Malaysia iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang membawa ideologi kesederhanaan dan menekankan pengIslaman ummah terlebih dahulu dan berkonsepkan alam nusantara yakni Manhaj Maliziy.

Oleh hal yang demikian, semangat perjuangan mahasiswa perlu kita angkat, perlu kita rapatkan saf kita, ukhuwwah kita, ilmu kita, cita-cita kita dan segalanya harus diadun bersama dan dalam Perkhemahan Generasi Murobbi (PGM) ini merupakan langkah pertama bagi kita menyusun-aturkan diri kita. Kita harus punya jiwa yang besar untuk bertindak menegakkan kebenaran dan menyanggah kebatilan.

Agama bukanlah candu untuk orang ramai, digunakan bagi mencerminkan idea-idea mereka yang berkuasa, mengesah dan mengiktiraf kedudukan mereka, walhal agama merupakan ramuan aktif yang menukar kesedaran individu yang kemudiannya menjadi pengubah masyarakat. Bagi menggapai baldatun thoyyibatun wa rabbur ghafur, sesunggunya masyarakat yang mempunyai nilai pembangunan insan dan pembangunan materi adalah yang terbaik.

Mohon doa agar kita akan berjumpa lagi dan akan terus menyemai semangat cinta akan agama pada setiap masa dan ketika. Harapan yang suci ini pasti akan berbunga indah apabila kita membentuk satu nilai persaudaraan yang utuh. Saya berharap tulisan ini akan memberikan sedikit rasa kepada semua dalam kita mengkoreksi diri kita supaya menjadi lebih baik dari sekarang.

Moga kita semua akan bersama-sama di Syurga Firdaus kelak. Hiduplah untuk meyampaikan yang baik-baik, mencegah yang mungkar-mungkar dan sesungguhnya bertaqwalah kepada ALlah s.w.t., begitulah kalam ALlah kepada kita. Jadi, mengapa kita masih mahu berdusta dengan Sang Pencipta?

Ayuh, bangkit dan persipakan segala yang ada. Akhirnya, selamat bertamrin buat teman-teman dan sesungguhnya nilai kasih sayang dan saling mencintai kerana agama akan terus subur di hati-hati kita insan terpilih yang hadir berpartisipasi dalam PGM 2011 kali ini.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR!!!

HIDUP BIAR BERJASA

MEMBINA GENERASI MUROBBI

AMIR PKPIM UIAM GOMBAK

*petikan dari risalah Perkhemahan Generasi Murobbi 2011

Tuesday, November 15, 2011

Liqa' Tafaqquh Fid Deen

PERKHEMAHAN GENERASI MURABBI 2011


PERKHEMAHAN GENERASI MURABBI 2011

Tarikh: 18-20 November 2011
Tempat: Kem Remba Ria, Hulu Langat
Bayaran: Rm20 shj!! (Pakej penginapan,makanan & pengangkutan)

Berminat? Daftarkan kepada:
Sdr Faisal: 019-547 6348
Sdri.Ika: 019-373 1488

Ayuh! Isi jiwa kita..Penuh dengan aktiviti menguji ketahanan mental dan fizikal anak muda! Jangan lepaskan peluang!

Forum Lorong Tengah (FORLOT) kembali lagi!!

Semua dijemput hadir..kali ini mengupas isu terkini..'KEBEBASAN AKADEMIK'

Tarikh: 15 November 2011 (Selasa)
Tempat: ADM LT 2
Masa: 9-11 malam

Moderator: Sdr. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Presiden PKPIM)
Ahli Panel: 1. Asst. Prof Dr. Maszlee Malik (Pensyarah UIAM)
2. Ahmad Syukri Abd. Razab (Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) )

Anjuran: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak (PKPIM UIAM Gombak)

Monday, November 14, 2011

Hiking dan Rehlah

Tanggal 30 oktober 2011 yang lalu, PKPIM UIAM Gombak sekali lagi mengadakan program yang berunsurkan kesihatan jasmani iaitu aktiviti Hiking dan Rehlah. Ini bertujuan untuk mngeratkan silaturrahim sesama ahli di samping mengkader ahli-ahli baru PKPIM dalam meluaskan ukhuwah sesama warga UIAM, Gombak. Program ini diadakan di Bukit Broga dan Sungai Tekala.


Peserta-peserta program di tempat kan di surau mahallah Safiyyah (sisters) dan surau mahallah Bilal (brothers) yang bertujuan untuk memudahkan pergerakan pada awal pagi 30 oktober. Semua peserta diminta berkumpul di Tangga besar UIAM, Gombak pada jam 4.00 pagi bagi sesi taklimat dan pendaftaran. Bas mula bergerak dan bertolak ke Bukit Broga jam 4.30 pagi.

Tiba di kaki bukit pada jam 5.30 dan terus dimulakan dgn warm-up sebelum memulakan aktiviti mendaki. Seramai 47 orang peserta yang turut serta mendaki. Setibanya di puncak bukit, para peserta menunaikan solat subuh dan sarapan pagi di samping dapat melihat pemandangan matahari terbit. Alhamdulillah, semua peserta mendaki dan turun dengan selamat.

Pada jam 9 pagi, para peserta tiba di kaki bukit dan terus menaiki bas menuju ke Sungai Tekala untuk sesi kedua program ini. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 30 minit. Setibanya di sana, aktiviti dimulakan dengan permainan bermodul seperti taaruf, pembahagian kumpulan, bermain harta karun (dalam sungai) dan banyak lagi. Dengan cara ini, ukhuwah antara peserta dapat disatukan malah dapat menambah kenalan di dalam kampus UIAM, Gombak itu sendiri.

Setelah penat dan puas menikmati suasana di atas bukit dan bersukan, peserta dihidangkan dengan makan tengahari yang menyelerakan. Setelah selesai menjamu selera, peserta diberi masa untuk aktiviti bebas seperti mandi-manda di sungai dan berkemas-kemas untuk pulang ke kampus Gombak.

Bas yang dinaiki peserta meluncur pulang ke Gombak pada jam 2 petang. Kepuasan jelas terpancar di wajah setiap peserta walaupun hakikatnya keletihan. Pihak penganjur sangat bersyukur dan berterima kasih bagi yang menjayakan program ini. Alhamdulillah, program Hiking & Rehlah ini berjalan lancar dan berakhir dengan jayanya. Semoga dengan usaha ini, ukhuwah yang terjalin bukan lah setakat di kaki bukit, di puncak bukit, mahupun di sungai malah ia terus berkembang dan subur di kampus Gombak. insyaAllah…


Subhanallah..keindahan di pagi hari..


di atas bukit Broga..


Bergambar kenangan sebelum turun dari bukit Broga..


Inilah yang dinamakan Hewi Perkasa!!


Friday, November 4, 2011

Nilai Sebuah Pengorbanan

Sedar atau tidak, kita sudah melangkah masuk ke bulan Zulhijjah yang membawa makna yang mendalam dalam sejarah ketamadunan Islam. Bulan Haji ini telah diraikan sejak zaman sebelum Rasulullah lagi. Dalam bulan inilah umat manusia sejak Nabi Adam a.s melaksanakan ibadat haji.

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini, iaitu 10 Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tiada juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga jihad pada jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita hayati betapa sesungguhnya Eid Adha yang disambut saban tahun itu membawa erti yang mendalam dalam ajaran Islam. Erti pengorbanan dan ketaatan hamba kepada Yang Maha Pencipta.

Mengimbau kisah penyembelihan Nabi Ismail a.s oleh bapanya Nabi Ibrahim a.s., yang menunjukkan kepatuhan dua beranak ini dalam pengabdian diri kepada Allah s.w.t.

Ujian Allah itu telah digantikan oleh-Nya Nabi Ismail a.s. dengan seekor kibas untuk disembelih. Kisah ini membuktikan sikap kepatuhan dan ketaatan oleh anak kepada bapa selagi mana ianya tidak melanggar syariat Islam.

Selain itu, kisah ini telah diabadikan sebagai syiar Islam yakni proses sembelihan. Tidak kira di mana umat Islam berada, semua sekali disunatkan berkorban menyembelih sama ada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12, atau 13 Zulhijjah. Hasil sembelihan itu boleh diagih-agihkan kepada seluruh umat Islam.

“Serta Kami menyerunya, Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (Surah As-Saffat 37: 104-108)

Sungguh, untuk mendapat keredhaan Ilahi dan pengampunan-Nya bukanlah satu perkara yang boleh diambil enteng. Sebuah pengorbanan yang dituntut sangat besar dan iltizam yang tinggi di mana ganjaran besar yang disediakan oleh Pencipta.

Pengampunan dosa umpama bayi yang baru lahir dan suci bersih dari godaan dosa impian setiap umat yang menunaikan haji supaya mabrur amalannya.

Lantas, pengorbanan yang jitu, kesabaran yang nekad, dan iltizam yang tinggi sangat diperlukan bagi meraih peluang keemasan dan ganjaran yang besar.

Ibadat korban yang dihidupkan setiap kali bulan ini sampai, harus kita syukuri dan moga-moga segala maksud yang tersurat mahupun tersirat di sebalik ibadat ini dapat diselami dalam pemikiran dan jiwa raga setiap insan. Ibadat ini sangat penting bagi membina kekuatan dalam mengecapi makna kebahagiaan dalam kehidupan di lapangan dunia ini.

Justeru, kekuatan yang perlu dibajai dengan lebih lagi ialah membina akhlak Islam yang unggul. Manusia yang tidak ada daya tahan, lemah jiwanya, lemah semangatnya, dan buruk akhlaknya tidak mungkin mampu sanggup berkorban dalam apa saja keadaan dalam memenangkan ajaran Islam.

Usaha pembinaan nilai dan adab dalam diri manusia ini perlu dimulai dengan pembinaan konsep tawhid kepada Allah Yang Esa. Jiwa tawhid ini akan menyedarkan hati-hati yang mati bahawasanya kekuatan manusia sebenarnya akan tercapai apabila manusia menerima kekuasaan Allah s.w.t sebagai Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Mudahnya, manusia akan rasa indah apabila merasakan hidup ini berTuhan. Kekuasaan yang hakiki terletak kepada-Nya, dan segala titah perintah-Nya wajib untuk kita ikuti demi mendapatkan redha-Nya. Jiwa tawhid ini akan menolak segala penyembahan kepada selain Dia.

Sejarah telah membuktikan kemungkaran di atas muka bumi ini berlaku setelah manusia tersilap memilih tuhan. Firaun yang telah mempertuhankan dirinya sendiri telah mengaku kalah apabila berdepan dengan balasan ALlah s.w.t. Lantas dan akhirnya dia telah tenggelam bersama-sama bala tenteranya di Laut Merah.

Oleh hal yang demikian, bagi mengimarahkan lagi bulan korban ini. Ayuh, kita berpuasa teutamanya pada hari Arafah. Daripada Abi Qatadah bahawa RasuluLlah s.a.w bersabda:

“Puasa pada hari Arafah, saya mengharap ALlah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.” (Riwayat Imam Muslim)

Selain itu, semaikanlah jiwa hamba dan hindarilah diri dari mendabik dada dengan kemuliaan dan harta benda. Sucikanlah hati dengan memperbanyak amalan zikir dan bacaan Al-Qur’an kerana RasuluLlah s.a.w pernah berpesan kepada kita daripada Ibnu Abbas,

“Seseorang yang tidak ada sedikitpun Al-Qur’an di dalam hatinya adalah seperti rumah kosong.” (Riwayat Imam Tarmizi)

Bertakbirlah (Allahu Akbar)

Bertahlillah (La Ilaha Illa ALlah)

Bertahmidlah (AlhamduliLlah)

Semoga kita senantiasa di bawah naungan syariat Islam. Penuhilah kehidupan ini dengan mencari redha Ilahi.

Sesungguhnya orang yang paling rugi ialah orang yang tahu apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini, namun tidak melakukan tanggungjawabnya dan orang yang paling untung ialah orang yang tahu tanggungjawabnya dalam hidup ini lalu melaksanakannya.

Berbahagialah orang yang tahu tujuan sebenar sebuah kehidupan dan mengenal erti pengorbanan.

Merakyat, Mengakar dan Merimbun

-Pejuang Keadilan-

06 Zulhijjah 1432 H

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...