Friday, November 4, 2011

Nilai Sebuah Pengorbanan

Sedar atau tidak, kita sudah melangkah masuk ke bulan Zulhijjah yang membawa makna yang mendalam dalam sejarah ketamadunan Islam. Bulan Haji ini telah diraikan sejak zaman sebelum Rasulullah lagi. Dalam bulan inilah umat manusia sejak Nabi Adam a.s melaksanakan ibadat haji.

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini, iaitu 10 Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tiada juga jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga jihad pada jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita hayati betapa sesungguhnya Eid Adha yang disambut saban tahun itu membawa erti yang mendalam dalam ajaran Islam. Erti pengorbanan dan ketaatan hamba kepada Yang Maha Pencipta.

Mengimbau kisah penyembelihan Nabi Ismail a.s oleh bapanya Nabi Ibrahim a.s., yang menunjukkan kepatuhan dua beranak ini dalam pengabdian diri kepada Allah s.w.t.

Ujian Allah itu telah digantikan oleh-Nya Nabi Ismail a.s. dengan seekor kibas untuk disembelih. Kisah ini membuktikan sikap kepatuhan dan ketaatan oleh anak kepada bapa selagi mana ianya tidak melanggar syariat Islam.

Selain itu, kisah ini telah diabadikan sebagai syiar Islam yakni proses sembelihan. Tidak kira di mana umat Islam berada, semua sekali disunatkan berkorban menyembelih sama ada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12, atau 13 Zulhijjah. Hasil sembelihan itu boleh diagih-agihkan kepada seluruh umat Islam.

“Serta Kami menyerunya, Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (Surah As-Saffat 37: 104-108)

Sungguh, untuk mendapat keredhaan Ilahi dan pengampunan-Nya bukanlah satu perkara yang boleh diambil enteng. Sebuah pengorbanan yang dituntut sangat besar dan iltizam yang tinggi di mana ganjaran besar yang disediakan oleh Pencipta.

Pengampunan dosa umpama bayi yang baru lahir dan suci bersih dari godaan dosa impian setiap umat yang menunaikan haji supaya mabrur amalannya.

Lantas, pengorbanan yang jitu, kesabaran yang nekad, dan iltizam yang tinggi sangat diperlukan bagi meraih peluang keemasan dan ganjaran yang besar.

Ibadat korban yang dihidupkan setiap kali bulan ini sampai, harus kita syukuri dan moga-moga segala maksud yang tersurat mahupun tersirat di sebalik ibadat ini dapat diselami dalam pemikiran dan jiwa raga setiap insan. Ibadat ini sangat penting bagi membina kekuatan dalam mengecapi makna kebahagiaan dalam kehidupan di lapangan dunia ini.

Justeru, kekuatan yang perlu dibajai dengan lebih lagi ialah membina akhlak Islam yang unggul. Manusia yang tidak ada daya tahan, lemah jiwanya, lemah semangatnya, dan buruk akhlaknya tidak mungkin mampu sanggup berkorban dalam apa saja keadaan dalam memenangkan ajaran Islam.

Usaha pembinaan nilai dan adab dalam diri manusia ini perlu dimulai dengan pembinaan konsep tawhid kepada Allah Yang Esa. Jiwa tawhid ini akan menyedarkan hati-hati yang mati bahawasanya kekuatan manusia sebenarnya akan tercapai apabila manusia menerima kekuasaan Allah s.w.t sebagai Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Mudahnya, manusia akan rasa indah apabila merasakan hidup ini berTuhan. Kekuasaan yang hakiki terletak kepada-Nya, dan segala titah perintah-Nya wajib untuk kita ikuti demi mendapatkan redha-Nya. Jiwa tawhid ini akan menolak segala penyembahan kepada selain Dia.

Sejarah telah membuktikan kemungkaran di atas muka bumi ini berlaku setelah manusia tersilap memilih tuhan. Firaun yang telah mempertuhankan dirinya sendiri telah mengaku kalah apabila berdepan dengan balasan ALlah s.w.t. Lantas dan akhirnya dia telah tenggelam bersama-sama bala tenteranya di Laut Merah.

Oleh hal yang demikian, bagi mengimarahkan lagi bulan korban ini. Ayuh, kita berpuasa teutamanya pada hari Arafah. Daripada Abi Qatadah bahawa RasuluLlah s.a.w bersabda:

“Puasa pada hari Arafah, saya mengharap ALlah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.” (Riwayat Imam Muslim)

Selain itu, semaikanlah jiwa hamba dan hindarilah diri dari mendabik dada dengan kemuliaan dan harta benda. Sucikanlah hati dengan memperbanyak amalan zikir dan bacaan Al-Qur’an kerana RasuluLlah s.a.w pernah berpesan kepada kita daripada Ibnu Abbas,

“Seseorang yang tidak ada sedikitpun Al-Qur’an di dalam hatinya adalah seperti rumah kosong.” (Riwayat Imam Tarmizi)

Bertakbirlah (Allahu Akbar)

Bertahlillah (La Ilaha Illa ALlah)

Bertahmidlah (AlhamduliLlah)

Semoga kita senantiasa di bawah naungan syariat Islam. Penuhilah kehidupan ini dengan mencari redha Ilahi.

Sesungguhnya orang yang paling rugi ialah orang yang tahu apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini, namun tidak melakukan tanggungjawabnya dan orang yang paling untung ialah orang yang tahu tanggungjawabnya dalam hidup ini lalu melaksanakannya.

Berbahagialah orang yang tahu tujuan sebenar sebuah kehidupan dan mengenal erti pengorbanan.

Merakyat, Mengakar dan Merimbun

-Pejuang Keadilan-

06 Zulhijjah 1432 H

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...