Wednesday, January 31, 2007

Demonstrasi Tak Jadi! Penganjur Tak Dikenali...

Demonstrasi yang dijadualkan berlangsung selepas sahaja solat Jumaat 20 Januari yang lepas akhirnya tidak kesampaian. Hasrat untuk melihat perkumpulan pelajar besar-besaran memperjuangkan hak yang dinafikan akhirnya terbang dilayang angin. Namun yang menjadi persoalan kali ini adalah siapakah yang bertangguungjawab di atas penganjuran demonstrasi tersebut?



Hujan lebat yang turun di kala khutbah yang dibacakan oleh Dr. Farid Shahran sedang berlangsung telah menjadi petandan awal bahawa demonstrasi yang dijadualkan tidak akan berjalan lancar. Tambah meyakinkan telahan awal itu apabila Bapak-Bapak dan Emak-Emak Jaga sudah kelihatan mundar-mandir berkeliaran di sekitar Masjid SHAS UIAM. Penantian selama sejam akhirnya memutuskan bahawa hipotesis kegagalan penganjuran demonstrasi hari itu benar belaka.


Di dalam penantian itu, banyak sosok-sosok pemimpin daripada pelbagai lapisan yang kelihatan menunggu-nunggu peristiwa besar tersebut. Baiknya daripada yang dilabel pembangkang, kerajaan mahupun yang atas pagar dan orang-orang kebanyakan. Pensyarah-pensyarah, bapak-bapak pentadbiran hinggalah buruh-buruh kasar turut memenuhkan foyer masjid meskipun ada di antara mereka tidak tahu apa yang ditunggu.

Persoalan akan siapa penganjur demonstari semakin membiulkan. Baiknya mereka yang dilabel pembangkang mahupun orang atas pagar tidak mengaku menjadi penganjur. Mungkinkah mereka yang dilabel kerajaan yang sebenarnya menganjurkan demonstrasi ini?

Di dalam politik apa-apa boleh jadi. Meskipun tindakan tampak memberi manfaat kepada musuh, tetapi tindakan itu masih boleh dimanipulasi untuk menjatuhkan musuh. Malah mungkin sahaja mereka yang "dibuli" sengaja mencuba nasib. Kalau-kalau jadi, megahlah mereka dengan agenda mereka disambut oleh tangan-tangan mahasiswa. Kalau gagal, baling batu sembunyi tangan. Tidak mustahil bagi sesiapa sahaja untuk melakukannya walaupun di bibir mengaku tidak.

Dua tiga hari selepas kegagalan demonstrasi yang dianjurkan oleh "hantu" pihak pentadbiran universiti pun beraksi. Kain-kain rentang "peringatan" ditujukan khas buat mereka yang berkenaan supaya jangan sekali-kali mencabar kewibawaan pentadbiran universiti. Seolah-olah memberi ingat bahawa kebenaran dan keadilan ditentukan oleh tangan bapak-bapak pentadbir Universiti dan bukannya melalui teori-teori idealis penulis buku-buku mahupun tokoh-tokoh.

Apa-apapun, Demonstrasi Tak Jadi! Penganjur Tak Dikenali...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...