Thursday, July 16, 2009

Tahniah Kepada 40,366 Bakal Mahasiswa Sesi 2009/2010!

PKPIM UIAM ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua bekas pelajar STPM dan pusat matrikulasi yang berjaya menempatkan diri di pelbagai Intitusi Pengajian Awam (IPTA) di seluruh negara.

Menurut akhbar News Straits Times (Sabtu, Jun 20), seramai 40,366 pemohon daripada 61, 027-telah berjaya untuk memasuki IPTA dalam pelbagai jurusan untuk sesi akademi 2009/2010. Daripada jumlah tersebut, 65% adalah golongan wanita.

Kalau diklasifikasikan mengikut etnik, 27, 829 adalah Bumiputera, 10, 116 adalah pelajar Cina dan 2,421 adalah pelajar India. Manakala, daripada keseluruhan jumlah tawaran tersebut, 15,785 tawaran berjaya diperoleh oleh pelajar aliran sastera dan selebihnya, 24,581 untuk pelajar aliran sains.

Daripada jumlah angka yang disebutkan di atas, laporan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus daripada pengambilan bagi sesi 2008/2009. Peningkatan positif ini sudah tentu didasari oleh faktor pemohon itu sendiri. Selain cemerlang dalam aspek akademik, seseorang pemohon itu juga dinilai dari aspek keaktifan mereka dalam aktiviti ko-kurikulum.

Selamat datang ke dunia mahasiswa!

Berpeluang menjadi mahasiswa sudah tentu pengalaman hidup yang sangat indah.Daripada berpuluh-puluh ribu pemohon, kita terpilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sudah tentu, terbit perasaaan bangga dan merasakan diri ini sungguh bertuah. Hari pertama menjejakkan kaki ke universiti, diri disaluti dengan satu azam yang padu iaitu ingin menjadi mahasiswa yang berjaya. Mahasiswa yang dapat membangun diri dan masyarakat sekelilingnya.

Walaupun begitu, sesungguhnya dunia mahasiswa sangat berbeza dengan dunia pelajar peringkat sekolah Menengah. Mahasiswa terdedah dengan 1001 pilihan yang ditentukan oleh diri kita sendiri. Tiada sesiapapun yang akan mengatur kehidupan kita terutama setelah diri jauh dari pemerhatian ibubapa dan keluarga. Kitalah yang mencorakkan sejarah hidup kita sendiri sebagai seorang mahasiswa.

Adakah kita seorang mahasiswa yang mempunyai idealisme, intelektualisme, spiritualsme dan semangat aktivisme yang tinggi? Atau adakah kita mahasiswa yang menghabiskan masa dengan budaya ‘3K’ (Kelas, Kafe dan Katil)? Atau mungkin, adakah kita mahasiswa yang menjunjung budaya hedonisme? Jika kita tercampak dalam kategori mahasiswa cap 3K ataupun mahasiswa hedonisme, amatlah malang lagi rugi masa kita dihabiskan di universiti.

Masakan tidak rugi, sepatutnya kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa bakal melahirkan golongan pembaharu. Golongan mahasiswa yang memperbaharui dan memperbaiki struktur masyarakat supaya terbangun sosio-ekonominya serta akhlak dan moralnya. Malah, sepatutnya kita menjadi mahasiswa yang menjunjung tinggi budaya ilmu tradisi Islam yakni, menggunakan masa untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk mengislah masyarakat setempat dan global.

Teringat penulis sebuah hadis tentang pengertian ilmu yang diriwayatkan Abu Syaikh Ibnu Habiban dan Ibnu Abdil Barr,

Berkata Mu’az bin Jabal tentang sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Pelajarilah ilmu! Maka mempelajarinya kerana Allah itu taqwa. Menuntutnya itu ibadah. Mengulang-ulanginya itu tasbih. Membahaskannya itu jihad. Mengajarkan yang tidak tahu itu sedekah. Memberikannya kepada ahlinya itu mendekatkan diri kepada Tuhan. Ilmu itu teman waktu sendirian dan kawan waktu kesepian, penunjuk jalan kepada agama, memberi nasihat bersabar waktu suka dan duka, seorang menteri di tengah-tengah rakan sejawat, seorang keluarga di tengah-tengah orang asing dan sinar jalan ke syurga. Dengan ilmu diangkat oleh Allah beberapa kaum, lalu dijadikan-Nya mereka pemimpin, menghulu dan penunjuk jalan pada kebajikan. Diambil orang menjadi ikutan dan penunjuk jalan kepada kebajikan. Jejak mereka diikut, perbuatan mereka diperhatikan. Malaikat suka kepada tingkah laku mereka. Disapunya mereka dengan sayapnya. Seluruh yang basah dan yang kering meminta ampun akan dosa mereka, hatta ikan dan binatang laut, binatang busa dan binatang jinak di darat, langit dan bintang-bintangnya.”
(di petik dalam buku Panduan Mengatasi Kejahilan Diri oleh Fauziah Mohamad. M/s11-12.)

Peranan mahasiwa

Kehidupan sebagai mahasiswa bukanlah bermakna kita menghabiskan masa dengan menghadiri kuliah-kuliah, membuat ‘assignment’ dan menjawab soalan-soalan peperiksaan bagi memenuhi tuntutan akademik semata-mata. Tetapi, peranan mahasiswa lebih besar daripada itu. Semangat dan budaya berbakti dan menyumbang kepada masyarakat perlu ada dalam diri setiap mahasiswa. Keterlibatan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial dapat membangun personaliti mahasiswa secara holistik.

Disebabkan kita dianggap oleh masyarakat sebagai golongan berilmu, sudah tentu tanggungjawab kita semakin berat. Justeru itu, kita amat didambakan oleh masyarakat terbanyak. Kitalah yang akan menjadi jurubicara masyarakat dalam membawa isu-isu setempat ke pengetahuan kepimpinan Negara sepertimana tercatat dalam sejarah para mahasiswa di era 70-an.

Sebagai kesimpulan, amat malang jika ilmu yang kita peroleh sepanjang tempoh kehidupan sebagai mahasiswa melahirkan jiwa-jiwa yang pentingkan diri sendiri, korup, kedekut, bongkak dan lain-lain sifat mazmumah. Jadi, belumlah terlambat untuk kita menghayati tanggungjawab kita sebagai mahasiswa. Mahasiswa yang memainkan peranannya di mana sahaja. Pujangga Iqbal pernah berkata, “kita hidup dengan membentuk cita-cita, kita berseri dengan dengan pemancaran cahaya untuk keinginan.” Ketahuilah, mahasiswa adalah tulang belakang kemajuan masyarakat dan Negara. Itulah cita-cita dan keinginan murni seorang mahasiswa berjaya.

Akhirnya, Izinkan penulis menukilkan secebis pesanan,

Mahasiswa!
Kau punya tanggungjawab dan amanah,
Masyarakat melihatmu sebagai jurubicara mereka,
Bangkitlah!
Penuhi impian dan cita-cita mereka,
Kaulah yang mencorakkan sejarah,
Jatuh dan bangun masyarakat bangsa,
Tercipta semuanya di tanganmu…MAHASISWA.

Wallahu’alam.


Ditulis oleh,
Faridah binti Mohd Tap
Aktivis gerakan Islam
PKPIM-ABIM-WADAH
21 Jun 2009/Ahad

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...