Saturday, December 12, 2009



ILMU DAN BUDAYA ILMU

Allah S.W.T. berfirman didalam Al-Qur’an, surah Al’-‘Alaq, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
2. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.
3. Bacalah. Tuhanmu yang Maha Pemurah.
4. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan.
5. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ayat diatas jelas menyatakan sesungguhnya manusia itu senantiasa dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Namun dengan nikmat dan rahmat-Nya yang tidak terhitung, Allah S.W.T. menyediakan medium untuk kita belajar sesuatu yang kita tidak ketahui iaitu melalui pembacaan (IQRA’= BACALAH). Kejadian manusia yang unik dengan kehadiran ‘aqal mengangkat darjat kita setingkat lebih tinggi daripada haiwan. ‘Aqal ini menjadi alat utama dalam mencari ilmu yang dapat membangun diri menjadi khalifatullah atau pentadbir bumi yang disanggupi manusia tatkala gunung-ganang menolak akibat beratnya amanah yang bakal ditanggung.

Allah Taala telah menurunkan Al-Qur’an kepada junjungan Rasulullah S.A.W semata-mata sebagai panduan hidup sekalian manusia. Baginda Rasulullah S.A.W memanifestasikan ajaran Tuhan yang Maha Agung dalam segenap aspek kehidupannya yang juga diketahui sebagai sunnah Rasulullah. Membaca al-Quran serta memahami tafsirnya serta memahami sunnah Nabi merupakan dua sumber yang signifikan demi membantu kita untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di bumi ini dengan jayanya. Ilmu merupakan kompenen penting dalam melaksanakan tugas sebagai pentadbir bumi.

Pengertian Ilmu

Definisi ilmu itu secara tepat dan komprehensif dapat di ambil daripada sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal yang bermaksud:

“ Pelajarilah ilmu! Maka mempelajarinya kerana Allah itu taqwa. Menuntutnya itu ibadah. Mengulang-ulanginya itu tasbih. Membahaskannya itu jihad. Mengajarkan orang yang tidak tahu itu sedekah. Memberikannya kepada ahlinya itu mendekatkan diri kepada Tuhan. Ilmu itu teman waktu sendirian dan kawan waktu kesepian, penunjuk Jalan kepada agama, pemberi nasihat bersabar sewaktu suka dan duka, seorang menteri di tengah-tengah teman sejawat, seorang keluarga di tengah-tengah orang asing dan sinar Jalan ke syurga. Dengan ilmu diangkat oleh Allah beberapa kaum, lalu dijadikan-Nya mereka pemimpin, penghulu dan penunujuk Jalan pada kebajikan. Diambil orang menjadi ikutan dan penunjuk Jalan kepada kebajikan. Jejak mereka diikut, perbuatan mereka diperhatikan. Malaikat suka kepada tingkah laku mereka. disapunya mereka dengan sayapnya. Seluruh yang basah dan yang kering meminta ampun akan dosa mereka hatta ikan dan binatang laut, binatang buas dan binatang jinak di darat, langit dan bintang-bintangnya.” (diriwayatkan Abu Syaikh Ibnu Habiban dan Ibnu Abdil Barr).

Secara umumnya, ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ‘ain merupakan ilmu yang yang wajib diketahui oleh setiap manusia Islam. Ia terkait rapat dengan konsep hablumminallah seperti tauhid, rukun Islam, rukun iman serta ilmu-ilmu yang membantu kita melakukan ibadah kepada-Nya. Manakala, ilmu fardhu kifayah itu terkait dengan konsep hablumminnas. Ilmu fardhu kifayah merupakan ilmu-ilmu yang seseorang muslim perlu ketahui secara kolektif. Ia merupakan ilmu-ilmu yang diperlukan untuk membangun masyarakat sekeliling dari sudut sosial, politik dan ekonomi. Sebagai contoh, ilmu perubatan, ilmu sosial, ilmu kejuruteraan, ilmu reka cipta dan pelbagai lagi. Kedua-dua jenis ilmu ini saling berkaitan dimana produk akhirnya maka akan lahirlah kehidupan manusia yang teratur.


Membaca sebagai komponen dalam budaya ilmu.




Membaca merupakan elemen asas yang penting dalam kerangka budaya ilmu. Daripada aktiviti membaca, ia mengajak kita kepada elemen budaya ilmu yang lain iaitu berfikir, berdiskusi, membuat kajian dan seterusnya menulis untuk menyampaikan ilmu kepada manusia lainnya. Bilamana aktiviti membaca ini subur, maka budaya ilmu itu akan turut subur. Apabila skop pembacaan kita meluas makanya pandangan dan cakerawala ilmu kita juga akan meluas dan mencapah.

Tradisi budaya ilmu dalam Islam mempunyai rohnya yang tersendiri. Ilmu yang tiada roh ibarat jasad yang tiada nyawa ataupun ilmu bangkai. Ilmu yang mempunyai roh melahirkan manusia-manusia beradab yang takut pada Tuhannya. Bilamana bertambah ilmu seseorang itu, maka semakin bertambahlah tanggungjawabnya. Semakin bertambah ilmu seseorang itu, semakin dia tidak tahu, semakin terasa kekerdilan diri dan semakin bertaqwa seseorang itu. Banyak contoh yang menggambarkan golongan ilmuwan Islam yang disulami dalam roh ilmu. Nama tokoh-tokoh besar ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Khaldun, Al-Jahiz, Ibn Haytam, Al-Khwarizmi, Imam Al-Ghazali dan ramai lagi bukan sahaja masyhur dalam dunia Islam namun menjadi ikon yang menyebabkan ‘turning point’ kepada kelahiran tamadun Barat yang maju.

Ilmu yang tiada roh melahirkan manusia-manusia yang kehilangan adab. Semakin dia berilmu, semakin banyak kejahatan dan kerosakan yang dia lakukan. Semakin bertambah ilmu, semakin tidak aman dunia ini. Lihat sahaja dewasa ini, berapa banyak golongan cerdik pandai yang menjadi pemimpin masyarakat terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral seperti rasuah, pembunuhan, gila kuasa, penyelewengan dan sebagainya. Benarlah kalamullah yang tertulis di dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud;

“Telah lahirlah bencana di daratan dan di lautan kerana hasil usaha tangan-tangan manusia…”

Sebagai kesimpulan, ilmu merupakan kompenen penting dalam menjalani kehidupan secara teratur. Ilmu yang berpaksikan kepada kalimah tauhid Lailahaillallah melahirkan manusia yang beradab dan patuh kepada-Nya. Konsep budaya ilmu dalam Islam sangat luas dan holistik bukan sahaja membangun diri, tetapi juga masyarakat sekelilingnya. Budaya ilmu islami akan melahirkan golongan Ulu al-bab yang disebut didalam Al-Qur’an yang beerti “mereka yang menyebut dan mengingati Allah (yadhkurun Allah) semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan (yatafakkarun) tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan kesemua ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau! Maka peliharalah kami daripada api neraka.” (Surah Ali ‘Imran: 191).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...