Wednesday, April 14, 2010


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
14 April 2010/ 29 Rabiul Akhir 1431 H

JAWATANKUASA ANTARA AGAMA: PKPIM AKAN BERTEMU MENTERI

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang ditubuhkan pada Februari lalu yang turut mendapat kelulusan oleh jemaah menteri.

PKPIM berpandangan bahawa pihak kerajaan masih belum memberi penerangan dan penjelasan yang terperinci kepada umum berhubung dengan skop dan ruang lingkup kuasa yang akan diberikan kepada Jawatankuasa antara agama berkenaan.

Sehubungan itu, PKPIM bercadang untuk mengadakan pertemuan khas dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mendapatkan penjelasan yang jelas berkenaan dengan skop dan matlamat asal penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Dalam pada itu, PKPIM tidak mahu pihak kerajaan terus berteka-teki berhubung isu berkenaan dengan membiarkan semua pihak membuat tafsiran dan andaian yang tersimpang dari peruntukan undang-undang yang secara jelas memelihara kedaulatan Islam di Malaysia.

Seperti contoh andaian dari pihak tertentu yang mentafsirkan bahawa bahawa jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa yang mutlak dalam membuat keputusan sekiranya terdapat sebarang isu pertikaian antara agama pada masa mendatang.

Tafsiran dan andaian sebegini adalah jelas bercanggah dengan prinsip undang-undang negara yang meletakkan kuasa Majlis Raja-Raja sebagai kuasa nombor satu dalam sebarang isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Menurut PKPIM lagi, pihak kerajaan juga seharusnya menjelaskan perkara-perkara yang menjadi titik perbezaan antara jawatankuasa berkenaan dengan IFC sepertimana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekiranya agenda jawatankuasa ini adalah untuk “meliberalkan” peruntukan Islam dalam perlembagaan, maka samalah jawatankuasa ini dengan IFC dari sudut peranan dan matlamat.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM tidak menolak kemungkinan niat asal penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah murni iaitu untuk memberi ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Namun, ia tetap menjadi kebimbangan sekiranya platform ini disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan seperti wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain terhadap kedudukan Islam menerusi jawatankuasa berkenaan.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...