Tuesday, May 18, 2010

KAMI MENENTANG PEMBERIAN LESEN JUDI KEPADA KUMPULAN BERJAYA





Mungkin kedengaran dangkal hujah pihak kerajaan yang memberikan lesen perjudian kepada kumpulan BERJAYA apabila mengatakan ia adalah salah satu usaha untuk mencegah perjudian dan pertaruhan haram di Negara ini.

Pertaruhan sering kali berleluasa menjelang perlawanan bola sepak piala dunia. Menjelang perlawanan tersebut pada bulan Jun ini, pihak Kerajaan mengambil tindakan memberikan lesen perjudian untuk memastikan pertaruhan berlaku secara sah dan mengelakkan sebarang penipuan. Selain itu, mereka juga memberikan hujah kepada tindakan tersebut dengan mengatakan pemberian lesen itu adalah satu usaha untuk mengurangkan jenayah yang membabitkan sindiket jenayah dan kongsi gelap yang sering terlibat dengan gejala perjudian ini.



Ironinya, dalam usaha membasmi perjudian daripada berleluasa, pihak kerajaan pula memberikan lesen untuk menghalalkan aktiviti tersebut secara sah. Kenyataan pihak kerajaan yang dikeluarkan sebagai justifikasi kepada aktiviti tersebut benar-benar telah mengguris sensitiviti masyarakat Islam khususnya dan masyrakat awam secara umumnya. Kita sedia maklum, tiada sebarang agama sekalipun yang membenarkan perjudian ini kerana mudaratnya lebih besar berbanding maslahatnya.

Rentetan daripada pemberian lesen tersebut kepada kumpulan BERJAYA, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan pertubuhan agama mengadakan demostrasi bagi membantah tindakan pihak kerajaan tersebut.

Pihak PKPIM-ABIM-WADAH sendiri prihatin dengan kesan besar daripada pemberian lesen judi ini kepada kumpulan BERJAYA. Ini bukanlah isu yang sengaja dipolitikkan, tetapi ia merupakan tanda keprihatinan kami kepada keburukan yang bakal berlaku kepada masyarakat yang majoritinya Islam. Bukan sahaja menghancurkan masyarakat Islam, namun ia juga manghuru-harakan masyarakat berbilang kaum selain menjahanamkan Negara pada masa jangka panjang. Kita mahukan manusia yang beradab, berintegriti dan bermoral tinggi. Aktiviti judi ini hanya akan meranapkan segala usaha bersama kearah kelahiran modal insan kelas pertama yang berkualiti.

Kami sebulat suara menentang sekeras-kerasnya pemberian lesen judi ini kepada kumpulan BERJAYA dan mahukan pihak kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...