Thursday, January 6, 2011

Tahun Baru Sebagai Mekanisme Pembinaan Nilai Kebangsaan





Genap satu abad globalisasi mengambil tempat di mata masyarakat sebagai asas pembangunan sesebuah tamadun. Lantas perkembangan zahiriah yang berlaku dengan pantas meninggalkan nilai-nilai peradaban yang telah lama dibawa dalam perkembangan budaya sesebuah bangsa. Jaringan globalisasi telah merapatkan jurang antara bangsa, malah telah mencampur-adukkan nilai-nilai yang sedia ada, lantas kecelaruan terbentuk.

Dalam tempoh sepuluh abad yang dilalui, masyarakat gagal membangunkan nilai-nilai yang positif. Kegagalan ini adalah berpunca daripada kegagalan membentuk unit-unit individu yang baik. Masyarakat gagal menghadam dan memahami konteks sebenar dalam pembinaan nilai yang baik. Kesannya pembangunan zahiriah adalah selari dengan perkembangan gejala sosial. Krisis nilai yang terbentuk menjatuhkan lagi akhlak dan nilai moral masyarakat. Persoalannya, apakah acuan yang dibentuk dalam meneruskan survival masyarakat pada tahun 2011?

Tempoh yang telah dilalaui selama 10 tahun yang lepas harus dijadikan ikhtibar. Oleh itu, 2011 wajar fijadikan pemula dalam pembangunan insaniah masyarakat. Maka, acuan nilai kebangsaan harus dibina berdasarkan pemahaman bahawa nilai kemanusiaan sejagat ada pada semua budaya dan agama tidak kira bangsa dan keturunan. Jelas tidak ada agama mahupun bangsa yang menolak nilai-nilai yang baik dalam pembinaan masyarakat. Mana-mana budaya dan agama di dunia ini yang menganjurkan kejahatan harus ditolak.

Islam sendiri telah menggariskan beberapa nilai yang mampu dibawa oleh setiap muslim. Asas ilmu sendiri telah menjadi jambatan untuk mengenali Allah di samping menjadi pintu untuk mencapai kebaikan di dunia dan akhirat. Jadi, tidak ada sekularisme dalam ilmu, malah kesepaduan ilmulah yang mampu menjamin kemajuan hidup dan pembangunan nilai insani. Ini sesuai dengan kepercayaan tauhidik agama Islam.

Malah, Islam juga menganjurkan pekerjaan sebagai ibadah kepada Allah sebagai tanda pengabdian diri kepadaNYA. Prinsip wasatiyyah menjadi asas dalam nilai pembangunan. Prinsip ini menjelaskan bahawa kemajuan materialistik seharusnya selari dengan kemajuan ekonomi dan melalui ini, jurang perbezaan mampu dielakkan.

Kita tidak dapat menolak nilai adat resam, ritual agama dan kepercayaan yang hadir, ini adalah hak budaya manusia. Baik mahupun tidak, bukanlah menjadi hak sesiapa untuk menentukkannya. Asal sahaja tidak merosakkan bangsa dan negara, perkara ini menjadi kebebasan kepada mana-mana penganut gama tersebut untuk mengamalkannya. Yang ditolak adalah nilai dan pengaruh negatif yang mampu merosakkan pembangunan insan masyarakat.

Secara ringkasnya dalam memacu dan mengisi tahun 2011, harus difahami bahawa unsur-unsur kebudayaan yang mewarnai negara Malaysia wajar diterima. Kepelbagaian ini mampu menjamin keharmonian pembangunan negara . Pada masa yang sama Islam pula seharusnya menjadi unsur uang penting dalam pembentukan nilai kemasyarakatan, dan seharusnya kepesatan dan kemodenan sesebuah negara seiring dengan perkembangan peradaban sesebuah bangsa. Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang tidak lupa untuk membangunkan nilai etika dan moralnya.


Pidato disampaikan di Expresive Corner pada 5 Januari 2011
oleh Saudara Ali Emran
Presiden PKPIM UIAM Gombak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...