Sunday, August 7, 2011

Ramadhan : Madrasah Tarbiyyah Buat Pejuang Islam

RAMADHAN: MADRASAH TARBIYYAH BUAT PEJUANG ISLAM

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah, rasa syukur yang tidak terhingga kiranya dipanjatkan ke hadrat Ilahi Yang Maha Esa dan moga-moga kita insafi kerna dapat berada di dalam bulan Ramadhan pada tahun ini yang tanpa disedari sudah masuk hari ke-5 setelah melepasi bulan Rejab dan Sya’aban yang lalu. Moga-moga ukhuwwah berteraskan pertalian aqidah yang dibina sekian lama ini mampu menjadi laluan kita ke Syurga Firdaus kelak. Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w pada setiap kalimat yang dinukilkan kali ini lantas berkat perjuangan baginda dan para syuhada’ lampau, kita generasi pada hari ini dapat merasai nikmat Islam yang tidak terkira.

Menyemangati Makna dan Sirah Ramadhan

Ramadhan yang seringkali digambarkan satu bulan panas yang kekeringan, dan istilah ini digunakan bagi menunjukkan adanya suasana panas ketika seseorang itu berada dalam kehausan. Pada bulan ini juga, dikatakan dosa-dosa umat Islam akan diampunkan dengan perbuatan baik seumpama sang matahari membakar tanah di bumi. Oleh hal yang demikian, sewajibnya kita mengambil segala kesempatan ruang, peluang dan masa pada bulan ini dengan usaha tajdid keimanan dan taubat yang merupakan maqam utama yang perlu dicapai oleh seorang soleh di dalam proses taqarrub (penghampiran diri) kepada Allah s.w.t dan puncak rasa mahabbah (cinta) serta menggandakan usaha amal soleh dengan sungguh-sungguh istiqamah dan bermuhasabah mengkoreksi peribadi dalam memperbaharui kekuatan spiritual, jasmani dan adab seperti cahaya panas penunu bunsen yang mampu mencairkan logam dalam proses pembakaran menggunakan oksigen.

“Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam Jannah (syurga) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Orang kafir mereka bersenang-senang dan makan seperti binatang ternakan makan. Dan neraka adalah tempat tinggalnya” (Surah Muhammad: 12)

Sejarah telah mencatatkan pada bulan ini berlakunya Perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah, yakni 1430 Hijrah yang lalu dan merupakan perang pertama dalam perjuangan peradaban Islam. Detik bersejarah ini perlu sama-sama kita kisahkan, kenangkan dalam lipatan minda dan aplikasikan ibrahnya dalam amal kita. Di dalam peperangan ini tentera umat Islam hanya sekitar 313 orang dan pihak lawan kaum musyrikin seramai lebih kurang 1000 orang yang lengkap peralatan senjata dan berkuda. Namun, perjuangan umat Islam pada masa itu hanya menggunakan sepenuh kekuatan. Pada ketika itu, jihad melalui peperangan boleh dianggap sebagai penentu masa depan gerakan dakwah dan ianya menjadi ujian besar kepada Islam.

Sememangnya janji Allah s.w.t itu tidak akan pernah palsu, umat Islam menang dengan penuh kegembiraan dan membuktikan kuantiti bukan penjamin kemenangan. Namun, kuasa intelek, kuasa strategik, kesatuan kepemimpinan, wala’ pada ketua, keberanian dan keyakinan berakarkan kalimah tauhid yang membawa banyak perubahan kepada dunia Islam. Semangat Badar ini perlu kita terapkan dalam setiap sosok tubuh penggerak dakwah terutamanya golongan belia pemuda pada hari ini. semangat yang dilandaskan atas dasar ilmu yang akan mendahului segala pergerakan amal akan mampu merubah dunia. Ilmu-ilmu teras Islam seperti Al-Qur’an, Hadith, Sirah, Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf perlu dimantapkan dengan tidak melupakan cabang-cabang ilmu yang lain seperti ilmu sosiologi, ilmu bahasa, ilmu teknologi sains, dan ilmu-ilmu semasa.

Mempersiap Diri Untuk Langkah Akan Datang

1. Ilmu

Didalam bulan puasa ini sudah pasti kita akan banyak masa sekang tambahan kita mahasiswa majoritinya sedang bercuti yang harus kita penuhi dengan mempersiap diri dengan ilmu terutamanya ilmu Al-Qur’an. Pembacaan dan penghayatan memahami ayat-ayat Allah ini akan menjadi kekuatan kita bagi menghadapi segala mehnah akan datang. Ayat-ayat yang terdapat dalam Al-Qur’an mampu dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran pembinaan peradaban dan seharusnya kita generasi muda membina kesediaan dalam membina kekuatan intelektual berteraskan kalam Allah ini. Selain itu, proses pembentukan pemikiran (fikrah) Islam akan berjalan dengan meningkatkan rasa kecintaan kepada ilmu dengan menghadiri kuliah-kuliah agama, membaca bahan-bahan ilmiah, dan berdiskusi tentang isu-isu agama dan semasa.

2. Ketaatan

Menahan dari makan, minum dan berketahanan luar biasa ialah satu perkara yang sukar dihayati oleh manusia kerana sifatnya yang bertentangan dengan sifat semulajadi manusia yang bergantung pada kebendaan untuk hidup. Jadi, puasa akan mampu untuk kita terus mendekati Allah dan sentiasa zikrullah dalam setiap masa dan ketika tidak kira keberadaan kita di mana sahaja. Taatnya kita pada Allah pada bulan ini mampu mendidik diri kita untuk berhadapan bulan-bulan yang lain. Apabila kita mampu untuk mentaati Allah s.w.t pada bulan ini, ianya menjadi satu rahmat untuk kita mentaati Nya dan Rasul-Nya pada hari mendatang seterusnya mendidik diri kita mentaati pemimpin Islam yang tidak melanggar syariat.

3. Kekuatan (Daya Tahan)

“Sesungguhnya nafsu itu mengajak kamu kepada kejahatan” (Surah Yusuf: 53)

Kekuatan melawan nafsu merupakan satu ujian yang perlu kita tempoh pada setiap masa kerana nafsu pendorong kejahatan itu sememangnya ada dalam diri setiap manusia iaitu al-nafs al-ammarah. Jadi, bulan ini sebagai satu titik permulaan untuk kita mengajar diri agar melawan nafsu makan, minum dan menahan dari segala perkara yang membatalkan ibadat puasa kita. Mujahadah ini akan selanjutnya menuju puncak al-nafs al-mutma’innah yakni jiwa mukmin yang damai dengan mengingati Allah s.w.t. Kekuatan rohani-imani merupakan tonggak utama dalam pembinaan modal insan selain tidak mengkesampingkan kekuatan fizikal. Jika dihayati, bulan ini mengajar kita menjadi insan kamil, yang mampu berdaya tahan dari setiap sudut yakni istiqamah mengawal diri, keberdayaan menahan serangan luar, dan keteguhan peribadi. Justeru, kekuatan ini akan mampu menjadi benteng pertahanan diri kita pada lapangan bulan-bulan yang mendatang.

4. Ikhlas

Keikhlasan dalam beribadat sangat-sangat dituntut. Namun, untuk menjadikan diri kita ikhlas perlukan didikan ilmu jiwa yang mantap, komprehensif, sistematik dan terarah yakni pemurnian dan penyihatan jiwa yang tidak terpisah dari kesempurnaan dan keutuhan Islam yang multidimensial.

“Sesungguhnya berbahagialah orang yang membersihkan jiwanya dan celakalah orang-orang yang mengotorinya” (Surah As-Syam: 9-10)

Jika diteliti, ibadat puasa ini tidak mempunyai rupa bentuk pergerakannya seperti ibadat-ibadat khusus yang lain. Jadi, kerahsiaan ibadat ini hanya antara sang pelaku dengan Sang Pencipta sahaja. Ibadat ini sememangnya mampu menutup tingkap-tingkap perasaan bangga diri, riya’ dan seterusnya membuka ruang pengabdian kepada Allah dengan luasnya.

Muhasabah Ramadhan

“Kullu ‘amal ibn Adam lahu illa al-siyam fa innahu li wa Ana ajzi bihi” (Hadith Qudsi)

Maksudnya: Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.

Berdasarkan hadith di atas, jelas memperlihat segala amal itu diserahkan kepada Allah s.w.t yang akan mengadilinya dan amalan berpuasa itu mempunyai keistimewaan sendiri sehinggakan tiada siapa yang akan mengetahuinya. Ibadat puasa merupakan tarbiyyah dari Allah s.w.t kepada seluruh manusia di dunia ini yang akan membentuk peribadi rabbani yang telah ditafsirkan oleh HAMKA sebagai orang yang rapat dengan Tuhan dalam urusan kerohanian. Jadi, manusia ini akan baik jika didikan yang diterimanya baik sepertimana yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali iaitu secara fitrahnya manusia ini memiliki potensi yang boleh dibentuk sama ada al-khayr (kebaikan) mahupun al-sharr (kejahatan) yang bergantung kepada corak pendidikan yang diterimanya.

Jadi, pendidikan bulan rahmat ini sudah pasti mampu menjadikan manusia sebagai insan rabbani yang mampu memainkan peranan utama dalam gerakan pencerahan ummah. Inilah masa yang sesuai untuk kita meningkatkan rasa kebertanggungjawab kepada agama kita baik diri sudut individu mahupun universal (kulli) yang bersifat ummatic dengan menggandingkan rasa keimanan kepada Allah s.w.t, hidayah, taubat, amalan soleh dan zikir serta seruan amar makruf nahi mun’kar yang tidak akan putus-putus. Kesemua perkara ini mampu melahirkan seorang insan yang memperoleh sakinah yakni ketenangan (itmi’nan).

Sepertimana yang diketahui umum, ibadat puasa ini bukan sekadar menahan kemahuan perut dan kemaluan sahaja tetapi seharusnya melebihi dari itu yakni mengawal segala anggota badan dari hal-hal mengghairahkan dan mengawal hati dengan iltizam serta mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Oleh itu, rasa taqwa kepada Allah s.w.t perlu diletakkan di atas segala-galanya. Rasa cinta dan kasih kepada manusia akan menjadikan diri kita mempedulikan masyarakat. Kedua-dua garisan ini akan menjadikan kita sebaik-baik umat yang mempunyai matlamat mardhotillah dengan memeperkasa usaha dakwah kepada masyarakat dan golongan terdekat.

Tambahan pula, pada tahun ini kita melaksanakan ibadat puasa ini dengan beberapa tarikh-tarikh penting di negara kita iaitu Hari Pahlawan (30 Julai yang lepas) dan Hari Merdeka (31 Ogos yang bakal tiba). Jadi, kita sebagai rakyat yang sedar akan kepedulian kepentingan Islam itu sendiri harus menyemangati makna kepahlawanan dan kemerdekaan itu yang bukan hanya sekadar melaungkan sorakan di dataran-dataran, menghias segala macam dengan bendera-bendera sahaja, harus lebih dari segalanya yang berbentuk luaran semata. Proses memahamkan manusia tentang erti kepahlawan dan kemerdekaan itu perlu dilaksanakan. Peristiwa-peristiwa sebegini seharusnya mematangkan kita dari setiap sudut pandang dan berusaha untuk mengembalikan sistem pemerintahan pentadbiran Islam seperti yang telah tercatat dalam lipatan sejarah peradaban Islam suatu ketika.

Akhir kata, ayuh kita mempersiap barisan pemuda Islam yang rasa BerTuhan dalam diri, rasa cinta akan Rasul-Nya, dan rasa bertanggungjawab akan urusan agamanya. Untaian kata-kata dalam bekalan ini buat diri saya dan seluruh pendukung gerakan kemahasiswaan Islam di seluruh tempat dan khususnya bumi Taman Ilmu dan Budi. Justeru, proses pengakaran tarbiyyah, ta’adib dan ta’alim itu perlu berjalan setiap masa dan tempat dengan memanfaatkan segala teknologi perhubungan komunikasi kini. Ayuh, sama-sama kita mengangkat serta meningkatkan rasa Ubudiyyah kepada Yang Maha Esa, Allah s.w.t dan menginsafi segala ujian dan azab yang telah diberikan kepada kaum yang lalu untuk kita jadikan iktibar buat diri kita generasi muda pada hari yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Ramadhan Kareem buat semua dan Salam Mujahadah buat Pejuang Generasi Muda Islam.

Hidup Biar Berjasa

Membina Generasi Murobbi

5 Ramadhan 1432 H/ 5 Ogos 2011 M

Semenyih, Selangor

Amir PKPIM UIAM Gombak

Sesi 2011/2012

Published with Blogger-droid v1.6.9

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...