Wednesday, March 6, 2013

Pemuda Teras Kekuatan Bangsa: Dimensi Al Fateh



“Pemuda Teras Kekuatan Bangsa”. Ternyata usia bukanlah aspek utama untuk dilantik menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi ataupun negara, seterusnya memajukan sesebuah bangsa. Kali ini, penulis ingin berkongsikan sebuah cerita mengenai seorang pemuda dan pemimpin yang barangkali sudah tidak wujud dewasa kini. Kira-kira genap 558 tahun yang lalu, seorang pemimpin muda bernama Muhammad bin Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad al-Fateh telah diangkat namanya sehingga kini berikutan kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul). Bertepatan


                             

                                  

dengan sabda Rasulullah SAW: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad).

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam peperangan dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Ciri-ciri kepimpinan dan keperibadian yang unggul dalam dirinya terserlah sejak dari kecil lagi dengan penguasaan pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan seni bela diri, ilmu peperangan, tasawuf, psikologi dan lain-lain. Tambahan pula, dengan kebolehannya mangusai 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin, dan Serbia, cukup menggambarkan kebolehannya yang luar biasa.

Kepimpinannya semakin terserlah ketika baru berusia 12 tahun dengan memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam iaitu pada tahun 1444. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi iaitu Khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

Ketika Sultan Muhammad al-Fateh berusia 21 tahun, bersama-sama tenteranya seramai kira-kira 150,000 orang telah tiba di konstantinopel pada tanggal 19 April 1453. Walaupun dengan strategi yang sangat teratur dan persediaan yg sangat rapi, serta






Gambaran ketika peperangan di Konstantinople 1453



48 hari mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong. Namun, apabila tentera-tentera Islam solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.

Pada suatu malam, suatu keajaiban telah berlaku di mana Sultan Muhammad telah mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat kerana kapal-kapal tersebut tidak dapat memasuki kawasan utama kota Konstantinopel melalui jalan laut. Ini kerana tentera Rom telah memasang rantai yang kuat di dalam air bagi menghalang perjalanan kapal melaluinya. Hal ini memang suatu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh. Keesokan harinya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 buah kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku. Sesudah berlau 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan . Dengan nekad beliau berkata: “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, sila ikut saya!”

Ucapan tersebut benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu dan bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka terus bertarung sambil mengharapkan syahid.

Dengan izin Allah, akhirnya KOnstantinopel Berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang oarajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus.

Akhirnya pada 29 Mei 1453, Kota Konstantipel jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Sejak peristiwa inilah beliau diberi gelaran ‘Al-Fateh’ iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluki Konstantinople.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan bertanyakan kepada diri kita sendiri, apakah sumbangan dan pengorbanan yang telah kita berikan pada usia muda ini? Di manakah tempat-tempat yang sering kita kunjungi? Adakah di pusat-pusat membeli belah dan membeli-belah? Atau masa kita dihabiskan begitu saja dengan berpeleseran di Bandar-bandar bersama rakan-rakan? Tepuk dada tanyalah iman.

Ini kerana untuk mencapai kemajuan sesebuah negara dan bangsa, maka lihatlah pemuda-pemudanya. Jika baik golongan pemudanya, maka baiklah masa depan negara dan bangsanya, dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, membina generasi berilmu yang bermula dari kecil adalah satu kewajipan agar sesebuah negara dan bangsa akan menjadi maju dan membangun pesat dalam pelbagai aspek kehidupan.



hasil penulisan
Huzaifah Yatim
Kuliah Seni Bina, UIAM












No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...