Tuesday, January 27, 2009

Syor tolak calon kepartian


Pilihan raya kampus (PRK) merupakan medan terbaik dalam mendewasakan pandangan politik mahasiswa. Kematangan dalam berpolitik adalah sangat dituntut agar nilai dan semangat sebenar kemahasiswaan tidak dikesampingkan yang menjurus kepada sikap tidak benar dan berterusan diperalat golongan ketiga yang sedia menanti ruang silap generasi penerus kecemerlangan negara yang bakal membuka pintu polemik yang berterusan.


Kekuatan sebenar mahasiswa seharusnya diserlah menerusi peti undi PRK. Juteru sikap non-partisan yang menjadi tunjang kekuatan suara ketiga (the third voice) yang jelas tidak menjadi bayangan kepada mana-mana parti politik luar adalah pelu disuburkan kembali di arena politik kampus. Keadaan semasa jelas menggambarkan sebaliknya.


Kita perlu berasa kecewa dan dukacita sekiranya perkara ini tetap menjadi penentu utama dalam PRK tahun ini. Oleh itu, seruan kepada semua mahasiswa kampus agar menolak calon yang bertanding atas ideologi politik kepartian yang menebal sehingga mengabai objektif dan matlamat kemahasiswaan.


Calon yang membawa aspirasi mahsiswa, yang jujur dan amanah, matang dan berhikmah, luhur akhlak serta tinggi kualiti intelektualnya harus diterima dan diletakkan ditempatnya. Secara umumnya mereka harus menginsafi dan menjiwai teras 3P iaitu, prihatin, pembela dan pendidik.


Pertama. mereka harus bersifat prihatin kepada masyarakat kampus, penduduk di lokaliti setempat serta rakyat Malaysia dan dunia umumnya. Semangat kepedulian umat ini tidak akan ahir sehari dua dalam tempoh berkempen, tetapi ia adalah suatu proses yang panjang dan berterusan.


Pimpinan mahasiswa dan masyarakat luar adalah ibarat satu badan yang sekiranya dicubit peha kanan peha kiri turut terasa pedihnya. Bersatu dengan masyarakat bukan sahaja mampu mengarusperdanakan mahasiswa malah memastikan mereka kekal relevan dalam cabaran dunia semasa.


Kedua, mereka harus sedia membela atas prinsisp keadilan dan kebenaran. Mereka bukan sahaja simpati dan empati terhadap permasalahan masyarakat malah sedia dan berani mengenengahkannya di pentas yang sepatutnya.


Kemandulan dan kebaculan mahasiswa jelas tergambar apabila mereka bukan sahaja gagal membela nasib umat malah diri mereka sendiri sering diperkotak-katikkan. The angry young man tidak sepatutnya terus dikambinghitamkan dalam setiap permasalahan.


Ketiga, menjiwai roh pendidik dalam usaha membela dan mengangkat martabat umat. Pembelaan buta tanpa disokong nilai perubahan dan pemulihan akan hanya merugikan semua. Justeru pandangan ilmu yang sebenar dan kuasa ilmiah harus diselarikan dengan semangat aktivisme.


Selain nilai ilmiah, konsep pendidik ini juga perlu dihimpun bersama nilai ta’dib yang membawa semangat merubah kepada keperebadian unggul dan berakhlak mulia selaras dengan ajaran Islam dan lain-lain agama.


Dalam konteks ini, kita harus memilih pemimpin yang teradun sebati bersama nilai aktivisme dan intelektualisme selain mampu menjadi contoh tauladan yang baik kepada semua seperti yang yang ditekankan dalan ciri kepimpinan al-Mawardi.


Secara keseluruhannya, calon yang terbaik harus mempunyai kekuatan ilmu dan kebijaksanaan, kepedulian yang mengakar, hikmah dalam menyanggah, waras dalam beremosi, luhur budi pekerti serta berani dalam mengangkat kebenaran dan keadilan sejagat.


Apapun sekarang, pilihan ditangan mahasiswa. Kalau baik pilihannya, maka baiklah kepimpinannya, kalau tidak, kita harus siap untuk menghadapi saat sukar di masa depan. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa ayat 85 yang bermaksud, “barangsiapa yang memberi pertolongan yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian dari (pahala)nya. Dan barangsiapa memberi pertolongan dengan pertolongan yang buruk, nescaya dia akan memikul bahagian dari (dosa)nya. Allah maha kuasa atas segala sesuatu.”


Kita perlu keluar dari lingkaran syaitan (vircious circle) sepertimana yang diungkapkan oleh Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, agar tidak terus melahirkan pemimpin palsu yang lahir dari keceramukkan budaya ekoran kecearuan pemikiran.


Al-Qaid al-mufakkir atau pemimpin pemikir perlu diserlahkan di barisan utama mahasiswa agar dapat mengemudi idea penerus (guiding idea) seperti yang ditekankan oleh Malek Ben nabi sebagai perkara terpenting dalam sesuatu gerakan yang mana ideanya harus komprehensif meliputi pengajaran dari rentetan sejarah, relevan pada zamannya dan kebolehdugaan pencapaian hadapan.


Justeru, pada pemilihan akan datang, mahasiswa diseru membuat pilihan dengan bijak dan lebih kritis dalam menilai calon dan manifestonya. Masa depan di tangan anda. Selamat mengundi.


ABU QASSIM NOR AZMI

Exco Pendidikan dan Penyelidikan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...