Friday, January 22, 2010

MAULANA SAYYID ABUL A’LA AL-MAUDUDI


Pengasas Gerakan Jamaah al-Islami ini dilahirkan di Aurangabad, Hyderabad Dhaka pada tanggal 25 September 1903. Beliau adalah keturunan Maudud iaitu seorang perawi hadith Rasululullah s.a.w. Biasa dikenali dengan Al-Maududi, beliau mendapat pendidikan langsung daripada bapanya dan ulama yang semasa dengannya. Al-Maududi seorang manusia luar biasa dalam mempelajari ilmu pengetahuan. Beliau dikatakan sebagai self-educated man (Mustafa Daud, 1989). Beliau dikatakan begitu kerana mampu mencambah ilmu-ilmu yang dipelajari dalam fikirannya sehingga beliau menjadi seorang ulama yang amat mengagumkan.

Al-Maududi sudah mula bekerja pada usia 16 tahun sebagai seorang wartawan akhbar Taj iaitu pada tahun 1920. Kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan telah menyebabkan beliau dilantik sebagai pengarang akhbar tersebut. Kemudian Al-Maududi berpindah ke Delhi menjadi editor Al-Jamiat.

Pada tahun 1941, Al-Maududi menubuhkan Harakah Islam Jama’at Islami setelah sekian lama menyertai gerakan Khalifah iaitu pertubuhan politik Islam yang berjuang menegakkan pemerintahan Islam (khalifah) di India. Jama’at Islami pada pandangannya merupakan alternatif tunggal untuk dapat menyelamatkan masa hadapan umat Islam di India (Mustafa Daud, 1989). Meskipun pada waktu itu gerakan Khalifah dan Liga Muslim bergerak aktif, tetapi kedua-dua pertubuhan tersebut dipecah belahkan dan tenggelam oleh Congress dan Inggeris. Beliau juga melihat bahawa pada waktu itu, musuh-musuh Islam telah menghasut nasionalisme dan cita-cita nasionalis yang bekerjasama dengan orang-orang Arab dalam perang Dunia Pertama sehingga orang Arab dan Turki saling bermusuhan disebalik kerjasama (Maryam Jamilah 1989). Matlamat utama yang hendak dibawa Al-Mududi ialah menegakkan sebuah pemerintahan Islam dengan penubuhan negara Pakistan. Pergerakan Jama’at Islami teguh sekali kerana mendapat sokongan dan penyertaan tenaga muda dan tua, ulama, orang awam, golongan profesional dan pekerja biasa.

Al-Maududi juga mahu memperjuangkan pelaksanaan Syariah Islamiyah sepenuhnya jika Pakistan berjaya ditubuhkan. Beliau menolak nasionalisme sempit yang menimbulkan perpecahan dan peperangan sesama umat Islam di seluruh dunia. Pemikiran-pemikiran barat juga turut mendapat tentangan beliau.

Al-Maududi memberi penekanan bahawa penting untuk mempelajari, memahami dan meneliti konsep politik Islam secara tepat dan mendalam. Beliau juga mengaitkan hubungan Ilah dan Rabb dengan politik Islam. Menurut Al-Maududi, “Ilah” ditafsirkan sebagai objek penyembahan (ma’bud). Justeru hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah seperti hubungan hamba dengan tuannya atau penyembah dengan yang disembah (Mustafa Daud, 1989). Inilah fungsi dan kewajipan manusia di atas muka bumi iaitu untuk patuh, menyerah, menyembah dan beribadat semata-mata kepada Allah s.w.t.

Rabb pula membawa pengertian yang mencipta, mengatur, mentadbir dam memelihara kesempurnaan apa jua yang dicipta. Manusia yang dicipta oleh Allah seharusnya menyedari hakikat pencipta, pengatur dan pemelihara hidupnya di dunia ini (Mustafa Daud, 1989).

Prinsip politik dan pemerintahan Islam juga turut menjadi penekanan oleh Al-Maududi. Beliau turut menerangkan mengenai hakikat Negara Islam iaitu negara yang dibentuk berasaskan al-Quran dan Sunnah yang disampaikan oleh Allah s.w.t melalui Rasulullah s.a.w. Dengan mengambil ayat dari surah al-Hadid ayat 25, Al-Maududi mengibaratkan Al-Quran dan Sunnah berfungsi sebagai pembimbing negara yang dapat memberikan keadilan kepada rakyat.

Struktur negara Islam yang digarikan oleh Maulana Sayyid Abul A’la Al-Maududi terdiri daripada Ketua Negara yang memiliki ciri-ciri mestilah seorang Islam, lelaki, waras, dewasa, paling alim, beriman dan bertaqwa. Dalam pemilihan khalifah iman dan amalan salih menjadi ukuran. Struktur yang kedua pula ialah Majlis Syura yang ditubuhkan bertujuan menjadi tempat rujukan dan tempat perundingan khalifah dengan orang-orang yang arif tentang undang-undang Allah. Seterusnya Al-Maududi meletakkan Badan Kehakiman sebagai struktur yang ketiga. Kehakiman mempunyai kuasa mutlak dan bebas daripada pengaruh badan eksekutif iaitu pentadbiran dan pemerintahan. Badan ini berfungsi sebagai wakil khalifah dan juga wakil Allah. Struktur Negara Islam yang terakhir yang digariskan oleh Al-Maududi ialah rakyat. Rakyat mempunyai kewajipan tertentu yang seperti memberi taat setia kepada pemerintahan Islam yang tulen dan adil, menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pemerintah dengan jujur dan ikhlas semata-mata kerana redha Allah s.w.t, dan bertanggungjawab memberi kerjasama serta berkorban apa sahaja saat negara mengahadapi ancaman luar dan dalam.

Antara buku-buku yang ditulis oleh beliau ialah:
1) Asas-asas islam
2) Ke arah Memahami Islam
3) Khilafah dan Kerajaan
4) Jihad dalam Islam
5) Ekonomi Islam

Banyak lagi buku-buku yang ditulis oleh beliau merangkumi bidang agama, sejarah dan biografi, politik dan sosiologi, ekonomi, undang-undang dan kemasyarakatan dan lain-lain.

Rujukan:
Pemikiran Politik dan Ekonomi Al-Maududi, Mustafa Haji Daud. 1989. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Sayyid Abul A’la Al-Maududi: Dalam Kenangan, Maryam Jamilah. 1989. Dar Al-Alami Publications, Kuala Lumpur

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...