Tuesday, January 26, 2010



TREND SEKS DI LUAR PERKAHWINAN DI TAHAP GENTING



Beberapa tahun yang lepas, penulis pernah bertemu dengan seorang ibu melayu yang masih berumur 17 tahun bersama bayi kecilnya yang berusia seminggu di Pudu Raya. Penulis sempat berbual panjang dengannya. Ibu muda itu dengan naifnya memberitahu bahawa bayi yang bersamanya itu adalah hasil dari perhubungan haram dengan kekasih hatinya.

Yang paling menyedihkan, ibu muda itu ditinggalkan lelaki yang berjanji akan bertanggungjawab atas hubungan haram tersebut. 9 bulan dia terpaksa menghadapi kesukaran sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut di sebuah pusat kebajikan Kristian.

Kisah benar di atas merupakan salah satu contoh kejadian malang yang berlaku ke atas gadis-gadis yang naif sepertinya. Penulis banyak kali berjumpa dengan kes-kes sebegini, di kawasan perumahan mahupun kawan di zaman persekolahan. Trend seks di luar nikah dan melahirkan 'anak tak sama taraf' amat meruncing dan perlukan perhatian khusus dari semua pihak.

Mengikut statistik sepertimana dipetik dalam Berita Harian Online, bertarikh 27 November 2009, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75 6



Setelah dikenal pasti, punca utama kepada gejala yang tidak bermoral ini adalah kurangnya didikan agama dan moral yang bersungguh-sungguh dalam keluarga dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap aspek pembangunan jasadi tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani. Akibatnya, mereka mudah terjebak dengan gejala tidak sihat hatta melanggar syariat.

Didikan asas agama dan moral bermula daripada rumah lagi dan seterusnya bersambung di alam persekolahan. Disinilah anak-anak menghabiskan masa, bersama rakan-rakan sebaya. Kesibukan para ibu bapa dalam urusan pekerjaan kekadang menghadkan masa mereka untuk bersama dan memantau anak-anak. Tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah. Namun malangnya, sistem persekolahan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, tidak dapat membantu kepada pemahaman agama yang tuntas. Maka, membesarlah generasi muda ini dengan kekosongan jiwa dan rohani.

Agama menjadi panduan hidup setiap orang. Tanpa agama dan penghayatan yang jelas terhadap ajaran agama, hidup akan menjadi tidak punya matlamat. Sebab itulah semua perkara yang tidak berlandaskan ajaran agama akan meneyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam konteks zina ini, tidak ada satu agama pun yang membenarkan hubungan seks di luar nikah ini. Untuk ini, Dr. Mohd Ridhuan Tee telah membicarakan isu ini dalam artikel beliau yang bertajuk, 'Isu Timbul Kerana Kejahilan Agama' diterbitkan dalam ruangan rencana, akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009.

Menurut beliau, semua agama iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Sikh apatah lagi Islam telah melarang penganutnya terjebak dengan zina ini. Beliau juga menggalakkan pembaca untuk lihat pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html dimana larangan berzina amat keras sekali.

Kesimpulannya, trend seks di luar perkahwinan atau lazim diketahui sebagai zina merupakan satu dosa besar dalam ajaran Islam. Bukan sekadar, perbuatan zina tersebut, tetapi semua perkara-perkara yang menjurus kepada gejala ini termasuklah hubungan sosial yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan serta penayangan pornografi yang berleluasa di era 'langit terbuka' ini juga dilarang. Tambahan lagi, zina ini juga dilarang dalam agama-agama lainnya.

Trend ini jika tidak dibendung dengan bersungguh-sungguh, dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara dan krisis moral dalam masyarakat. 83.3 kes kelahiran anak luar nikah setiap hari seperti yang dinukilkan di atas statistik cukup menggambarkan kepada kita keruntuhan dan krisis moral di tahap yang genting. Justeru, semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi sekolah, institusi agama, badan-badan bukan kerajaan (NGO), media cetak mahupun kerajaan harus bekerjasama dalam memikirkan cara terbaik dalam menangani krisis ini. Wallahu'alam.


Mimosa @;--

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...