Wednesday, February 10, 2010

10 MUWASAFAT TARBIYYAH

‘Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, dan kepada-Nya kami memohon pertolongan atas urusan-urusan dunia dan akhirat. Ya Allah limpahkanlah rahmat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. penghulu segenap rasul, juga kepada keluarga, sahabat dan pengikutnya hingga hari kiamat’

Sudah beberapa hari penulis tidak sempat mengemaskini blog momentum ini lantaran dihambat dengan pelbagai mid term, assignment, dan pelbagai aktiviti lainnya yang selamanya tidak akan pernah berakhir. Namunpun begitu, itu bukanlah alasan untuk penulis mengenepikan kerja-kerja dalam gerakan pelajar Islam ini. Belajar dan dakwah sama-sama penting dan perlu berjalan seiringan. InsyaAllah.

Seperti biasa, media massa memainkan peranannya sebagai medium untuk masyarakat mengetahui perkembangan terkini yang mencakupi aspek sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan hiburan yang bukan sahaja di Malaysia tetapi melewati sempadan geografi dunia.

Dalam banyak-banyak isu, sudah pasti helaian akhbar arus perdana dipenuhi dengan pelbagai isu politik di Negara ini. Daripada isu keretakan PR, isu Ku Li dan royalti minyak, isu politik rasis yang mencabar konsep 1Malaysia digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib, isu liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim,isu krisis politik di Perak dimana perkembangannya yang terbaru menyaksikan kita keputusan Mahkamah yang menyebelahi MB Perak sekarang, YB Zambry dan pelbagai lagi yang menggambarkan sistem pemerintahan Negara yang sudah tidak stabil.

Disebabkan itu, penulis begitu terpanggil untuk menggariskan 10 muwasafat tarbiyyah yang diungkap dan dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam syarahan Ta’dib Perdana di Kolej Dar al-Hikmah beberapa minggu yang lepas (penulis tidak berkesempatan untuk hadir) bagi memperkukuh peranan kita sebagai pendakwah dan aktivis gerakan Islam yang mampu menyumbang ke arah kestabilan sosio-politik Negara dan seterusnya pembentukan tamadun Khayra ummah yang menjadi visi keluarga besar kita, PKPIM-ABIM-WADAH. InsyaAllah.

Sebelum itu, ribuan tahniah kepada mantan pemangku amir PKPIM Pusat Asasi PJ kerana telah menyediakan ucapan dasar yang cukup menarik yang menyentuh 10 Muwasafat tarbiyyah tersebut baru-baru ini di PAUIAM PJ. Berikut adalah sebahagian daripada ucapan dasar beliau yang penulis suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat seperjuangan PKPIM di UIAM Gombak serta kaum Muslimin dan Muslimat keseluruhannya…

1. Salimul Aqidah (Akidah yang sejahtera)

Menurut Fathi Yakan di dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam”, syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam, mesti berpegang dengan akidah yang benar lagi murni dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.

Namun begitu, kita perlu ingat bahawa pegangan tersebut mestilah selari dengan perkara yang terkandung di dalam Al-Qur’an dan sunnah Rasullulah s.a.w. mafhum hadith Baginda s.a.w.:

“Aku tinggalkan kamu dengan dua perkara. Tidak akan selama-lamanya sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, yakni kitab Allah dan sunnahku…”

Kita seharusnya sedar bahawa penglibatan kita di dalam jemaah ini bertunjangkan akidah yang sama, iaitu Islam. Sebenarnya, perjuanngn kita tiada bedanya dengan mana-mana jemaah lain. Agenda memperjuangkan Islam tetap sama. Namun begitu, fikrah, idealisme, dan instrumen masaing-masing cukup berbeza sama sekali.

Oleh itu, keharmonian sesama jemaah khususnya di pusat asasi (merujuk kepada waqi’ pimpinan PKPIM PAUIAM PJ) ini haruslah sentiasa dijaga rapi agar imej dan identiti gerakan kita sentiasa harum mewangi di pentas dakwah. Sebagaimana Hassan al-Banna pernah menyatakan:

“Mengapa bertelagah sesama sendiri, walhal perpaduan sesama Muslim adalah kewajipan yang mesti.”


2. Sohihul Ibadah (Ibadah yang betul)

Bilamana bercakap mengenai ibadah yang betul, timbul persoalan-persoalan dalam hati sanubari setiap insan; Adakah ibadah yang aku lakukan selama ni betul? Bagaimana ibadah itu dikatakan betul? Persoalan-persoalan sebegini memaksa kita mengkaji dan menyelidik ibadah yang sebenarnya dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Tuntutan menunaikan ibadah yang betul menggesa kita merujuk kepada sunnah Rasulullah s.a.w. yakni tidak boleh berlaku unsur-unsur penambahan atau pengurangan di dalam ibadah kita. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Solatlah kamu sebagaiman kamu melihat aku solat”

Budaya amal jamai’e seperti qiyamullail, solat berjemaah, iftar dan lain-lain haruslah dipertingkatkan agar kita semua dapat merasakan kelazatan di dalam beribadah bersama-sama. Sebagai pendokong jemaah, kita hendaklah berusaha agar ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati syarat dan rukunnya. Ibadah-ibadah wajib hendaklah dijaga dan pada masa yang sama ibadah-ibadah sunat perlu dipertingkatkan perlaksaannya dari semasa ke semasa.

3. Matinul Khuluq (Akhlak yang mantap)

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahata, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su’ul Khuluq).”

Kemuliaan akhlak seseorang itu adalah bergantung kepada tahap keimanan yang ada pada dirinya. Merujuk kepada buku “Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam” oleh Fathi Yakan, terdapat beberapa ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan agar menjadi seorang Muslim yang benar.

Akhlak-akhlak tersebut adalah seperti yang berikut:

 Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.
 Memelihara penglihatan.
 Memelihara lidah.
 Bersifat lemah-lembut dan sabar.
 Bersifat pemalu.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailahaillallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari Jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Menyedari kita hanyalah insan biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kita hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh ikutan atau suri tauladan di dalam kehidupan seharian. Pinggirkan artis-artis yang menjadi ikutan orang ramai kerana sesungguhnya Rasulullah sahajalah contoh ikutan terbaik (qudwah hasanah) buat sekalian manusia.

4. Mutsaqqoful Fikri (berpengetahuan luas)

Pengetahuan yang luas tidak akan diperolehi tanpa pembacaan dan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu. Oleh itu, usaha membudayakan pembacaan seringkali ditekankan oleh para pemimpin PKPIM Pusat mahupun mantan-mantan yang tidak pernah lelah untuk membantu. Orientasi ilmiah (berbudaya ilmu), salah satu daripada 9 orientasi PKPIM menuntut kita agar sentiasa membudayakan ilmu dalam kehidupan.

Prof. Syed Naquib al-Attas mengatakan bahawa takrif ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang. Antara ciri-ciri penting budaya ilmu di dalam Islam adalah ialah:

 Ilmu sebagai sistem nilai, mencerminkan sikap sepadu terhadap konsep ketuhanan, kemanusiaan dan alam.
 Menekankan sumber yang sahih, bersifat sepanjang hayat sama ada dicapai secara formal atau tidak formal.
 Tiada diskriminasi antara kaya dengan miskin dari segi pemerolehan.
 Bersifat sejagat dan mampu menerima tradisi-tradisi lain dengan saringan-saringan tertentu.
 Sifat berani mencari kebenaran bagi menimbulkan kejelasan sesuatu ilmu.
 Budaya ilmu Islam juga ditandai dengan persuratan, adanya rasionalisme dan intelektualisme.

Dalam menghayati ilmu dan pembacaan buku sebagai salah-satu caranya, seorang pujangga Arab yang masyhur, Al-Mutannabi pernah berkata:

“Tempat duduk yang paling mulia didunia adalah pelana kuda dan teman yang paling baik sepanjang zaman adalah buku.”


5. Qowiyyul Jismi (Kuat tubuh badan)

Kekuatan jasmani merupakan satu daripada sisi peribadi yang perlu ada pada setiap aktivis gerakan. Kekuatan jasmani bererti seseorang itu memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam dengan fizikalnya yang kuat. Sindrom ‘letih’ dan ‘lesu’ seringkali terjadi selepas melaksanakan sesuatu program sehingga ada yang menjadikan alasan untuk tidak hadir ke kelas atau sebagainya. Jangan ada yang menjadikan penglibatan kita di dalam sesuatu jemaah sebagai alasan prestasi kita merudum dalam peperiksaan ataupun kehadiran tidak penuh ke kelas.

Kita juga seringkali leka dan alpa dalam merencana program-program berbentuk sukan atau rekreasi bagi santapan jasmani kita. Sebagaimana anak-anak kecil memerlukan perhatian daripada penjaga mereka, tubuh kita juga memerlukan penjagaan yang rapi daripada tuan empunya tubuh sendiri.

Sebagai seorang aktivis gerakan, kita perlulah mempersiapkan diri dengan tubuh badan yang sihat agar istilah ‘penat dalam berdakwah’ tidak hadir dalam kamus hidup kita. Hal ini kerana kekuatan jasmani merupakan satu daripada elemen penting yang perlu ada pada seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah”
(Hadith riwayat Muslim)

6. Qodirun ‘alal Kasbi (Mampu berusaha)

Sebagai seorang kader dakwah, kita perlu mempunyai kemampuan untuk berusaha dan inisiatif sendiri. Hanya seseorang yang mempunyai jiwa sebegini mampu berjuang dan mempertahankan demi menegakkan kebenaran sekalipun pahit untuk ditelan.

Selain itu, kita hendaklah melibatkan diri dengan sepenuh daya upaya dalam isu-isu yang melibatkan mehasiswa dan masyarakat. Sebagai kelompok mahasiswa yang terdidik dan memperoleh ilmu lebih daripada masyarakat di luar sana, kita perlu cakna dan berusaha untuk merakyatkan apa-apa isu untuk kemaslahatan semua. Apa gunanya jika kita memiliki ilmu tetapi tidak tahu membezakan yang baik dan buruk dalam tindakan?

Ungkapan “belajar mesti, dakwah tidak” telah menunjukkan sikap pesimis dalam diri seseorang individu. Sebagai seorang kader dakwah, kita haruslah menunjukkan kecermelangan kita di dalam pembelajaran seiring dengan kelantangan suara kita di dalam medan dakwah. Jangan hanya menjadi aktivis gerakan yang mampu berbicara soal ummah tetapi gagal di dalam pembelajaran. Elakkan daripada menjadi seseorang yang berjaya di dalam pembelajaran tetapi bisu dan pekak dalam masalah-masalah ummah.


7. Mujahadatun Linafsihi (mampu melawan nafsu)

Setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada bilamana seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsunya sendiri. Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus ditundukkan sedaya upaya untuk patuh pada ajaran Islam, Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya:

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam)”
(hadith riwayat Hakim)


8. Harithun ‘ala Waqtihi (menjaga waktu)

Allah S.W.T. berfirman:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”
( Al-‘Asr 103: 1-3)
Semua sudah mengetahui akan hakikat peri pentingnya menjaga waktu. Lebih-lebih sebagai ahli jemaah. Kita haruslah sedar bahawa kita bukanlah seperti rakan-rakan kita yang lain, punya waktu untuk bermain permainan video mahupun keluar berjalan-jalan ke panggung wayang setiap minggu. Tanggungjawab yang kita ada melebihi waktu yang kita ada. Jadi, gunakanlah waktu yang ada dengan sebaiknya dan elakkanlah membuang waktu (killing the time) dengan perkara-perkara yang tidak membawa sebarang faedah.

Antara yang ditekankan oleh Nabi s.a.w adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin. Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Jadi hargailah waktu yang kita ada, gunakanlah waktu yang kita ada dengan efektif agar kita tergolong dalam golongan yang beruntung.

9. Munazhamun fi Syu’unihi (Tersusun dalam urusan)
Kata Saidina ‘Ali:

“Kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.”
Umum sudah mengetahui betapa sesuatu itu perlu dilaksanakan secara tersusun. Perancangan yang rapi serta strategi yang mantap akan membuahkan hasil yang diingini. Urusan ini termasuklah daripada sekecil-kecil perkara seperti susunan baju didalam almari sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar seperti melaksanakan satu-satu program. Hal ini kerana kehidupan kita mencerminkan peribadi kita.

Begitu juga didalam pengurusan sesuatu organisasi, saya mengambil pendekatan dalam PKPIM sebagai contoh, kita hendaklah merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi mencapai visi dan misi gerakan kita. Perencanaan (khittah) ini amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun tanzim harakiy. Perencanaan ini mestilah disandarkan kepada 3 marhalah dakwah iaitu marhalah ta’rif, takwin dan tanfiz. Marhalah perencanaan tersebut mestilah mempunyai wasilah masing-masing agar kita dapat mengetahui langkah yang mana perlu didahulukan dan yang mana boleh dikemudiankan.

10. Naafi’un Lighoirihi (bermanfaat kepada orang lain)
Mafhum hadith baginda Rasulullah s.a.w.:
Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain.”
(Hadith riwayat Jabir)
Manfaat yang dimaksudkan tentu sahaja manfaat yang baik sehingga walau di mana dia berada, orang di sekitarnya merasakan keberadaanya kerana bermanfaat besar. Ibarat pepatah Melayu lama, “sebagaimana benih yang baik, jatuh ke laut dijadikan pulau, jatuh ke darat dijadikan gunung.”

Kita juga haruslah menanamkan tekad di dalam dir bahawa kita hidup untuk memberi dan jangan mengharapkan pembalasan atas pemberian kita. Saya ambil contoh penglibatan kita di dalam PKPIM ini mestilah didasari dengan hati yang ikhlas kerana Allah S.W.T. dan bukannya dikotori oleh kekotoran nafsu yang menipu.*

Akhirnya, penulis berharap agar kita sama-sama beroleh manfaat daripada 10 muwasafat tarbiyyah di atas. Seterusnya dimanfaatkan untuk kita sama-sama memperbaiki keadaan diri dan masyarakat sekeliling ke arah yang lebih baik, berintegriti, berwibawa dan beradab. Wallahu’alam.

Sumber rujukan:

*Ucapan dasar mantan pemangku Amir , PKPIM-ABIM PAUIAM PJ 2010.

Mimosa@;--

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...