Thursday, February 18, 2010

PEMIMPIN DINAMIK, PENGIKUT TERDIDIK





Mustafa Masyhur (2001) dalam bukunya berjudul ‘Jalan Da’wah: antara Qiyadah dan Jundiyyah’ terbitan Dewan Pustaka Fajar telah membicarakan tentang usaha-usaha keIslaman (‘amal Islami) sangat bergantung kepada tiga faktor utama iaitu:

1. barisan pimpinan yang berwibawa dan dihormati,
2. sistem penyusunan, pengurusan dan kawalan yang tersusun dan berkesan, dan
3. para pengikut yang terdidik lagi setia.

Penulis pada kali ini suka untuk mengupas secara ringkas barisan kepimpinan yang berwibawa, dinamik dan beradab serta pembinaan pengikut yang setia dan terdidik didalam konteks gerakan pelajar Islam yang kita ceburi terlahir dalam kancah kebangkitan kefahaman Islam lewat tahun 70-an.

Kita sedar dengan sejelas-jelasnya, pimpinan menjadi kepala kepada sesuatu gerakan Islam, manakala pengikut menjadi tulang belakangnya. Kekuatan dan kewibawaan kepimpinan dan kesetiaan pengikut menjadi teras kekuatan sesebuah gerakan Islam itu.

Pimpinan dinamik yang berwibawa adalah pemimpin yang bertenaga dan cergas dalam mengemudi bahtera perjuangan berprinsipkan amar makruf dan nahi munkar bersulamkan benang keemasan budaya ilmu. Pemimpin dinamik ini juga berperanan sebagai pendakwah yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama yang luas, tetapi mempunyai bidang pengkhususan tersendiri dalam pelbagai bidang terdiri daripada aliran sains sosial dan sains tulen yang dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat sekeliling.

Antara ciri lain pemimpin dan pendakwah dinamik adalah mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, intelektual, sosial dan budaya bagi mempelbagaikan dinamika kepimpinan supaya lebih meluas dan holistik. Contoh agung kepimpinan Islam ialah junjungan kita Rasulullah s.a.w. Baginda bukan sahaja seorang Rasul, malah menjadi seorang ketua Negara yang disegani kawan dan lawan, ahli perniagaan yang penuh integriti dan amanah, penyelesai masalah yang adil dan pelbagai lagi yang membuktikan keRasulan Baginda sebagai utusan Allah sebagai qudwah hasanah kepada seluruh manusia.

Selain itu, pemimpin dinamik juga mempunyai komitmen serta daya juang yang luar biasa, kental dan cekal jiwanya, mampu berterus-terang menyatakan kebenaran, kasih dan sayang kepada semua orang dengan pandangan iman, berdisiplin, bijaksana dan pelbagai sifat mahmudah yang lainnya. Kesemuanya terangkum kemas dalam kefahaman tuntas tentang adab sebagai hamba dan khalifah kepada Maha Pencipta.

Dengan adanya kepimpinan dinamik ini, makanya kita akan dapat melahirkan pengikut yang setia dan terdidik dengan tarbiyyah yang terbaik. Banyak contoh bagaimana pemimpin dinamik melahirkan pengikut yang terdidik sahsiahnya seperti generasi Khulafa’ ar-Rasyidun, generasi Salahuddin al-Ayyubi, generasi Sultan Muhammad Al-Fateh dan pelbagai lagi. Kisah-kisah pemimpin agung Islam tersebut tercatat dalam sejarah silam dunia Islam. Namun malangnya, generasi masa kini kian buta sejarah akibat terpukau dengan budaya Barat yang berkiblatkan materialistik semata-mata dan menolak secara total kepada keperluan beragama. Maka boleh dilihat implikasinya dimana masyarakat Barat hidup hura-hara lantaran ketiadaan matlamat hidup yang jelas.

Penulisan ini pasti hilang serinya jika tidak mengambil secebis nasihat daripada senior dalam gerakan kita ini. Sebagai memetik kata-kata Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam inti ucapannya bertajuk ‘Menoleh Masa Lalu, Menyorot Masa Depan’ disampaikan dalam muzakarah qiyaddah kali ke-2, pada 30 Januari 2010 baru-baru ini,

“Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.


Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.”


Sebagai akhirnya, tidak dapat dinafikan, kelesuan kepimpinan dan kepengikutan gerakan kita dewasa ini memerlukan muhasabah secara tuntas dan telus. Momentum perjuangan harus disusun semula dengan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua barisan qiyadah dan jundiyyahnya yang masih setia dan percaya dengan kerelevanan gerakan Islam kita ini. Semoga segala usaha kita kearah itu diberkati Allah demi kemaslahatan semua. Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...