Saturday, July 26, 2008

AUKU Melesukan Gerakan Mahasiswa

Oleh Datuk Saifuddin Abdullah


AKHIRNYA Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan bulan depan. Ini bermakna perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil. Saya sendiri turut terbabit dalam perjuangan meminda akta ini ketika menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya pada 1981.


Saya juga pernah menjadi mangsanya pada 1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sekarang, kerajaan bersetuju memindanya. Kali terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah dalam kolum saya “Perspektif” di akhbar ini iaitu ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan di dua IPTA.

Isu itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu, Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih baik. AUKU tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi merosot di tujuh IPTA, manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang. AUKU juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.


Sebelum cadangan pindaan ini, ada tiga pendirian mengenai AUKU. Pertama; AUKU baik bagi mahasiswa. Kedua; AUKU perlu dihapuskan dan diganti akta baru. Pendirian ketiga pula ialah peruntukan tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada pendirian ketiga. Mereka yang berpegang pada pendirian pertama menganggap AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka menggunakan data banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa sebenar. Ini kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”.


“Advokasi” adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis “aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan mahasiswa yang sihat dan segar. Mereka juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik, tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini berlandaskan faham politik sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya.
Alasan lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapa yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah ini juga double standard kerana ada mahasiswa kita di luar negara mendapat biasiswa lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak wang rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik. Ada pula yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya? Di samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang, dengan menjadi anggota parti politik, yang larangannya bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara dan pilihan raya umum.


Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum, mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik? Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa. Pada pertengahan 1970-an, ramai aktivis mahasiswa ditahan, menyebabkan sebahagian gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tinggal anggota bukan mahasiswa manakala Majlis Belia Malaysia (MBM) terputus jambatannya dengan kampus.


Banyak tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan Zainah Anwar, membincangkan kesan buruk AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap “tidak apa” di kampus, manakala Idris Ahmad dan Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan terhadap kehadiran parti politik di kampus dan tindakan keterlaluan terhadap beberapa mahasiswa yang kononnya didapati bersalah. Kerana itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi pendekatan, tetapi, mempunyai premis yang hampir sama dari segi penentangan terhadap AUKU.


Dalam hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1). Ini kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera, sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan membuat kenyataan media. Adakah dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba saja kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan mahasiswa, seperti sebelum zaman AUKU? Tiada siapa yang tahu jawapannya kerana setelah sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkan semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi “mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.


Tetapi, sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan peruntukan yang drakonian. Ia mungkin dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada faktornya. Namun, AUKU bukan sekadar membabitkan mahasiswa, malah pensyarah juga. AUKU juga bukan sekadar hal ehwal politik kampus saja, sebaliknya, ia adalah antara dasar utama tentang menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang sebenar.


Satu daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi tidak hanya membabitkan bidang politik. Sebaliknya, demokrasi membabitkan hampir seluruh spektrum kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi juga. Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk saja kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...