Saturday, July 19, 2008

Kontrak Sosial dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Pembentukan Negara Malaysia

Satu perkara yang boleh dibanggakan tentang Malaysia ialah kepelbagaian rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya. Citra penduduk Malaysia ini terbentuk kesan daripada penjajahan British suatu ketika dahulu. Setelah tamatnya penjajahan British di Tanah Melayu, Bangsa Melayu telah bertolak-ansur dengan membenarkan bangsa Cina dan India yang ketika itu dibawa masuk oleh pihak British atas urusan ekonomi dan kerahan tenaga kerja untuk terus tinggal di Tanah Melayu dan diiktiraf kerakyatannya. Inilah yang disebut-sebut sebagai kontrak sosial. Kontrak sosial merujuk kepada perjanjian antara kaum Melayu dan kaum Cina dan India untuk membentuk satu Negara yang berbilang kaum.

Terdapat empat elemen penting dalam kontrak sosial yang kemudiannya termaktub kemas di dalam perlembagaan Malaysia. Pertama, kedudukan Raja-raja Melayu. Kedua, agama Islam sebagai agama persekutuan,. Ketiga, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Keempat dan yang terakhir ialah hak istimewa Melayu dan Bumiputera. Keempat-empat elemen ini berfungsi untuk memelihara kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan ini telah diterima dan dipersetujui oleh bangsa-bangsa lain yang terlibat dalam kontrak social itu.

Empat elemen ini kemudiannya telah dijelmakan dalam bentuk dasar-dasar Negara iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK), Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Dasar Kebudayan Kebangsaan (DKK).Malangnya, kebelakangan ini, ketiga-tiga dasar ini telah dipersoal oleh kaum-kaum lain atas alasan ketidak-relevannya pada masa kini. Pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, cubaan penghapusan DEB, isu biasiswa dan pelbagai lagi telah mewarnai realiti semasa rakyat Malaysia. Tindakan-tindakan ini telah mencabar ketuanan Melayu Islam yang merupakan penduduk asal Negara ini. Bibit-bibit perpecahan kaum mula kelihatan. Sebagai bangsa Melayu Islam, kita jangan terlalu selesa dengan segala hak-hak yang diberikan. Seharusnya kita perlu lebih bekerja keras sebagai tanda syukur kita pada rahmat ini. Duduk diam dan tidak kisah dengan permasalahan yang sedang berlaku kini akan hanya merugikan diri, bangsa, budaya dan agama Islam itu sendiri. Hendakkah kita menjadi bangsa yang terpinggir di negara sendiri? Walaupun kita pertahankan hak-hak kita sebagai bangsa Melayu, harus diingat kita tidak akan pernah meminggirkan dan membuat ketidakadilan kepada penduduk bukan bumiputera. Contoh yang paling jelas, kaum-kaum lain juga dibenarkan berpatisipasi dalam hal ehwal pemerintahan Negara.

Demi menjamin perpaduan Negara ini terus utuh, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) harus diperkasakan perlaksanaannya. DKK telah diputuskan pada tahun 1971 dalam satu Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Terdapat tiga prinsip pembentukan DKK ini iaitu berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal (Melayu) rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. DKK ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan Negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan, memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosio-ekonomi. (Wan Azmi Ramli, 1993).[1]

Menurut Wan Azmi Ramli objektif dasar ini boleh digapai melalui strategi-strategi berikut:

1. pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan kearah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;

2. meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan selua-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;

3. mewujudkan komunikasi yang berkesan kea rah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;

4. memnuhi keperluan sosio-budaya;

5. meninggikan taraf dan mutu kesenian.

DKK ini harus dilaksanakan secara berterusan dan efektif agar perpaduan pelbagai bangsa dalam satu Negara dapat dipelihara. Pucuk pimpinan Negara terutamanya harus sedar kepentingan DKK ini dengan memberikan peruntukan kewangan yang secukupnya dan menyokong usaha-usaha badan bukan kerajaan dalam mempromosikan DKK kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini penting kerana DKK merupakan landasan paling kukuh dalam menyediakan rakyat Malaysia yang bersatu-padu dengan satu identiti nasional mengatasi kepentingan sempit perkauman berteraskan kebudayaan Melayu dan Islam.

Akhir bicara, kami PKPIM UIAM menyeru bangsa Melayu Islam agar bersatu- padu dan bekerjasama memelihara perpaduan Negara yang telah dikecapi setelah Negara bebas merdeka pada tahun 1957. Ketepikan segala perbalahan ideologi politik parti kerana perpaduan umat Melayu Islam itu lebih terutama.



[1] Wan Azmi Ramli (1993), Dasar Sosial di Malaysia, m/s 154. Golden Books Centre Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...