Sunday, May 31, 2009

Penguatkuasaan Pemakaian Topi Keledar Bermula 1 Julai 2009


UIAM, 27 Mei- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM telah menganjurkan satu sesi dialog antara pihak pentadbiran dan pelajar UIAM mengenai isu-isu kebajikan yang berlangsung di Experimental Hall pada jam 8 hingga 11 malam. Dialog ini dianjurkan adalah bertujuan untuk memberi penjelasan tentang penguatkuasaan pemakaian topi keledar bermula 1 Julai 2009.

Pihak pentadbiran UIAM telah di wakili oleh Dr. Akmal Khuzairy Abdul Rahman (Pengarah S-Dev), Encik Muhammad Azrul Hazerin Abdul Razak (Penolong Pengarah di Legal Unit) dan Encik Abd Wahab Hj. Zawawi (Pegawai Keselamatan). Manakala moderator bagi dialog ini dikendalikan oleh Saudara Mohd Hairuzaim Md Zin.

Setelah sekian lama, penguatkuasaan pemakaian topi keledar secara mendadak ini telah mengundang tanda tanya kepada pelajar malah ramai juga yang membantah. Inilah tujuan utama dialog ini iaitu menyediakan medium kepada pelajar bagi mendapatkan penjelasan dari pihak pentadbiran dan seterusnya menemui kata sepakat. Walupun demikian, dewan kelihatan lengang dan sepi dengan jumlah kehadiran tidak lebih 50 orang para pelajar.

Menurut Dr. Akmal Khuzairy, penguatkuasaan pemakaian topi keledar ini adalah respons kepada aduan-aduan dari pelbagai pihak mengenai perbuatan sesetengah penunggang motosikal dari kalangan pelajar yang tidak memakai topi keledar ketika keluar dari kawasan UIAM. Menurut beliau lagi, faktor utama kepada penguatkuasaan ini adalah atas arahan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Selain faktor-faktor di atas, En. Muhammad Azrul mengatakan faktor keselamatan pelajar dan undang-undang juga di ambil kira bagi menguatkuasakan pemakaian topi keledar ini. Menurut beliau, tidak ada sebuah universiti pun yang terkecuali dari undang-undang topi keledar ini. Disebabkan itu, penguatkuasaan undang-undang ini di UIAM seharusnya tidak menjadi suatu isu yang besar.

En. Abdul Wahab pula menyatakan pemakaian topi keledar yang berkuatkuasa pada 1 Julai ini adalah satu usaha untuk mengimplementasi undang-undang secara serius di UIAM ini. Menurut beliau lagi, undang-undang ini bukanlah baru kerana ia sudah lama tercatat didalam buku disiplin bagi pelajar iaitu kesalahan no.57 (Offence 57). “Selain itu, undang-undang ini adalah selari dengan Akta Pengangkutan 1987”, tambah beliau lagi.

Pihak pentadbiran universiti berharap para pelajar dapat menerima keputusan mengenai penguatkuasaan pemakaian topi keledar bermula pada 1 Julai tahun ini demi menjaga keselamatan dan kebajikan para pelajar di Taman Ilmu dan Budi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...