Thursday, August 13, 2009

1 MALAYSIA


RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN merupakan satu gagasan YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam menerajui kepimpinan beliau bagi tahun-tahun yang mendatang. Usaha-usaha kerajaan dalam mempromosi gagasan ini terutama dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang giat dijalankan agar konsep ini dapat dihayati dengan jelas oleh setiap lapisan masyarakat seterusnya cita-cita 1 Malaysia dapat dicapai.

Terbaru, Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Seminar Konsep 1Malaysia bertempat di Hotel Marriot Putrajaya selama 2 hari bermula 11 hingga 12 Ogos 2009. Seminar itu telah dihadiri oleh 500 orang peserta terdiri daripada ahli akademik, pelajar dari pelbagai universiti, pegawai-pegawai Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim selaku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Dalam ucaptama, YB telah menyatakan penganjuran seminar ini sesungguhnya menunjukkan Kementerian beliau serius dalam melestarikan semangat 1Malaysia yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Tambah beliau lagi, seminar ini adalah salah satu inisiatif Kementerian bagi memberi ruang dan peluang kepada golongan pendidik, belia dan mahasiswa bagi mendalami, menghayati dan memahami konsep membina Negara bangsa yang sebenarnya. Beliau turut sering mengulang-ulang kenyataan “satu untuk semua, semua untuk satu” dalam menerangkan konsep 1Malaysia.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan sejurus selepas peralihan kuasa pemerintahan kepada YAB Dato’ Seri Najib telah menggariskan 2 aspek penting iaitu:
1) penerapan teras-teras perpaduan yang menekankan aspek penerimaan kepelbagaian etnik, perinsip-prinsip kenegaraan dan keadilan sosial.
2) Penerapan nilai-nilai aspirasi termasuklah budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.
Kedua-dua aspek ini yang menjadi nadi pembangunan Negara bangsa yang harmoni dipercayai dapat digapai sekiranya pengisian yang sewajarnya dilakukan agar nilai tersebut boleh mencambahkan budaya pemasyarakatan di Malaysia.

Bagi menilai konsep 1 Malaysia dari sudut perspektif orang muda, PKPIM telah menganjurkan satu Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) yang lalu brtempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40 Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur. Daripada kongres itu PKPIM yang mewakili suara golongan muda peringkat kebangsaan telah membuat beberapa resolusi penting yang akan menjadi kerangka gerak kerja kami bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan Negara berteraskan semangat intelektualisme, spiritualisme, idealisme dan aktivisme.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...