Thursday, August 13, 2009

POLITIK BARU DALAM PEMBENTUKAN IDEALISME GENERASI BELIA

Sebelum saya lanjutkan bicara saya pada penulisan kali ini, sukalah saya untuk menceritakan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh Pujangga Iqbal, mengenai seekor burung yang lemah kerana terlalu dahaga. Dalam pencariannya mencari air,burung tersebut telah melihat sebutir intan dan tertipu oleh kerana batu yang ditimpa oleh cahaya matahari, terus mematuk kerana difikirnya bahawa batu itu ialah setitis air. Intan tadi menjawab dengan serta-merta:

“Saya bukanlah titisan air embun, saya tidak memberi minuman,
Saya tidak hidup untuk kepentingan orang lain.”

Burung tersebut berasa sungguh sedih lalu ia meneruskan terbangannya hingga ia akhirnya terlihat setitis air embun di ranting dan terus terbang menuju kepadanya bagi menghilangkan dahaganya. Air embun tadi jatuh ke mulutnya, lalu burung tersebut mati.

Moral dari cerita ini ialah bahawa seseorang harus menanamkan kegigihan yang terlahir dalam kalbunya kerana seseorang itu harus menceburkan dirinya dalam penghidupan yang penuh dengan perjuangan dan pertentangan. Perjuangan dalam memartabatkan idealisme generasi muda supaya sama-sama dapat menyumbang ide, tenaga dan masa dalam pembangunan Negara Malaysia yang harmoni hingga titisan-titisan darah yang terakhir.

Cerita yang saya sampaikan sebentar tadi amatlah cocok dengan kandungan tulisan yang akan saya sampaikan. InsyaAllah.

“Satu Malaysia: rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” merupakan cogan kata bagi Perdana Menteri kita yang ke-6, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Konsep yang cuba dibawa Y.A.B. telah mengundang pelbagai reaksi dan respons dari pelbagai juzuk masyarakat. Tidak ketinggalan generasi muda belia.

Kerangka fikir satu Malaysia ini masih lagi belum difahami dan dihayati dengan jelas yang akhirnya telah mewujudkan polemik dan salah faham berpanjangan yang menyimpang dari tujuan sebenar konsep itu.

Untuk kita keluar dari kepungan salah faham ini, PKPIM telah mengambil pendekatan dengan menyarankan agar konsep ‘Satu Malaysia’ ini dilihat dari perspektif idealisme “Politik Baru” tetapi pada masa yang sama PKPIM terus setia dengan orientasi gerakan sebagai NON-PARTISAN. Politik Baru yang digagaskan oleh YB Saifuddin Abdullah adalah bertujuan untuk memberi nafas baru yang lebih berhemah dan berhikmah dalam budaya politik di Malaysia. Cita-cita akhir idealisme politik baru ini adalah menyuburkan dan mematangkan demokrasi di Malaysia yang selalu dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

Sebelum kita pergi lebih dalam tentang gagasan Politik Baru ini, marilah kita sama-sama mengimbas kembali keputusan PRU ke-12 yang akan terus tercatat dalam sejarah politik Malaysia bilamana kekuasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional telah dinafikan oleh Pakatan Rakyat. Lantaran itu, ada suara-suara yang meramalkan pintu demokrasi di Malaysia sudah semakin terbuka luas dan inilah bibit-bibit kepada politik baru di Negara kita ini.

Dengan kehadiran generasi muda yang menyumbang lebih daripada 40% kepada jumlah penduduk tidak boleh tidak telah memberi kesan langsung kepada realiti politik semasa ini. Partisipasi generasi muda belia kita dalam arus politik Negara memang tidak dinafikan signifikannya. Jika wujud salah urus amanah rakyat, mereka lantang dan vokal dalam menyuarakan pandangan mereka bagi memberi kesedaran dan seterusnya sama-sama membetulkan keadaan. Sesungguhnya ia suatu momentum yang amat menggalakkan.. Generasi muda amat diperlukan dalam menghidupkan gagasan Politik Baru ini kepada realiti politik yang lebih tinggi nilai integritinya pada masa hadapan.

Walaupun begitu, kenyataan ‘Politik Baru’ telah menjadi sesuatu yang biasa dan hilang signifikan dan semangatnya. Namun begitu, menurut YB Saifuddin (2009), Politik Baru ini tidak sama dengan Politik Baru yang dicanang-canangkan oleh pihak-pihak lainnya. Malah, gagasan Politik Baru ini bukan baru dicipta bagi menarik perhatian rakyat, namun telah beliau caknakan dua dekad terdahulu.
Apa yang YB maksudkan dengan “Politik Baru” ini?

“Ia adalah satu pemikiran tentang amalan politik yang merangkumi dua komponen utama, iaitu pertamanya, “integriti politik” dan yang keduanya “Governans Baru”. Aspek yang membuatkan gagasan ini berbeza adalah saya menjadikannya sebagai satu AMALAN dalam berpolitik dan bukannya sebagai RAMALAN semata-mata.”

Kehadiran gelombang idealisme politik baru ini disaluti dengan beberapa prinsip yang dikupas secara ringkas melalui pembacaan dan pemahaman saya terhadap buku tersebut.

Dalam buku ‘Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia’ (2009), YB Saifuddin ada menyatakan yang kita memerlukan aspirasi politik yang murni dan tinggi, atau sekurang-kurangnya tidak berdaki, dan berusaha menghidupkan serta menggerakkan Politik Baru yang menghampiri politik ideal.

Masyarakat awam sering dimomokkan dengan kata-kata, ‘politik adalah kotor’. Ya, mana mungkin kita boleh menyalahkan mereka jika mereka mempunyai persepsi sedemikian rupa kerana politik itu sendiri tidak sunyi dari cacat-celanya yang diakibatkan oleh politikus-politikus licik dan penuh muslihat. Namun, kita cuba melihat kepada aspek positif politik yang secara idealnya ia mampu memberi kebahagiaan dan keharmonian kepada semua orang yang tinggal dalam satu taman dengan pelbagai jenis bunga dan serangga.

Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, ilmu politik harus diajar kepada anak-anak muda kita supaya mereka tahu dan punya perasaan hidup berbangsa dan bernegara yang murni. Saya percaya, dengan adanya sistem pendidikan khusus tentang politik,masing-masing akan lebih menghargai teras-teras kenegaraan khususnya, Malaysia dan seterusnya mengurangkan salah faham sesama rakyat supaya pada akhirnya keharmonian dan kesejahteraan dapat di gapai.

Dalam usaha merealisasikan cita-cita politik ideal ini, jawapannya yang paling pokok adalah dengan menghayati konsep integriti politik. Dalam konteks amalan politik baru, integriti politik membawa maksud politik perjuangan yang beliau berpendapat terdapat tiga rukun penting iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Ketiga-tiga rukun ini harus berjalan seiringan supaya politik perjuangan kita kukuh lagi padu dalam mengejar apa yang dimpikan iaitu memberi kebahagian kepada semua dan mematangkan demokrasi di Malaysia.

Dengan kata lain, Politik Baru tidak akan dicapai jika tidak didasari idealisme perjuangan yang tinggi. Ketidak hadiran idealisme ini dalam perjuangan hidup bernegara akan menyebabkan segala aktivisme yang dirancang dan dijalankan tidak mempunyai ‘roh’ atau sia-sia. Selain itu, rukun ketiga terpenting ialah dari aspek intelektual. Politik Baru semakin mencabar pada abad globalisasi ini dan menuntut kita kepada ilmu yang tinggi demi mendepani cabaran itu. Semestinya, kekuatan politik itu harus disandarkan kepada kekuatan ilmu langsung menolak politik ampu. Aplikasi ketiga-tiga rukun yang saya sebutkan sebentar tadi akan menjadi cerminan budaya politik Malaysia pada masa hadapan.

Konsep politik berintegriti disulami dengan amalan-amalan murni yang bertitik-tolak daripada konsep amar makruf wa nahi munkar. Kita mahu mewujudkan amalan “kerajaan/politik berilmu dan bukannya kerajaan/politik ampu. Kita mahu lahirkan kerajaan/politik hikmah dan menolak kerajaan/politik fitnah. Seterusnya, kita mahu wujudkan kerajaan/politik bakti dan bukannya kerajaan/politik undi.”

Seterusnya, komponen kedua terpenting dalam amalan Politik Baru yang tertulis didalam buku tersebut adalah mewujudkan suatu kerangka Governans Baru. Ia merujuk kepada kerangka pengurusan Negara yang lebih segar daripada apa yang ada sekarang. Jika sekarang kita terlalu berorientasikan kerajaan/politik, namun dengan gagasan amalan Politik Baru ini, perniagaan dan masyarakat sivil tidak dikesampingkan. Malah ketiga-tiga sektor, politik, perniagaan dan masyarakat sivil saling bergantungan sebagai rakan pembangunan dalam kedudukan yang saksama. Ini termasuklah golongan muda belia. Kita mahu memadamkan dominasi hanya kepada satu pihak sahaja kerana ia akan mempengaruhi kestabilan Governans Baru ini.

“Kesimpulannya, Politik Baru adalah landasan untuk memikir, merancang dan merangka dasar dan program pembangunan Negara yang lebih mesra rakyat, iaitu yang bersesuaian dengan lunas demokrasi. Rakyat memerlukan ruang dan peluang untuk menyuarakan rungutan, pandangan dan gagasan mereka tentang kehidupan dan masa depan mereka.”

Kita amat berharap generasi muda dapat menyelami dan menghayati gagasan Politik Baru ini bersempena dengan Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan. Kalian semua adalah agen perubah masyarakat dan Negara di masa hadapan. Politik Baru menjanjikan perubahan ini.

Wabillahi taufiq wa hidayah, wassalmu’alaikum w.b.t.

Rujukan,

Saifuddin Abdullah. 2009. Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia. Institut
Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.



Oleh,
Faridah Mohd Tap
Aktivis PKPIM-ABIM-WADAH
6 Ogos 2009

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...