Wednesday, September 14, 2011

Berita Harian - Tafsiran MPN mengenai British dipertikai

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mempersoalkan kesimpulan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya, Prof Datuk Zainal Kling itu dibuat pada sidang akhbar bersama Pengerusi MPN, Prof Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan anggota jawatankuasa MPN pada 9 September lalu.

MPN menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, hanya dilindungi Inggeris dengan meletakkan negeri Melayu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan melalui penguasaan undang-undang Inggeris, pentadbiran bercorak Inggeris dan ekonomi kapitalis cara Inggeris.
Dalam kata lain, MPN berkesimpulan bahawa dasar ‘protectorate’ yang diamalkan Inggeris terhadap Tanah Melayu dengan meletakkan residen dan penasihat di negeri Melayu sebagai satu tujuan murni untuk melindungi dan membantu Tanah Melayu dan pemerintah Melayu untuk memerintah tanah air mereka.
PKPIM juga mempersoal kenyataan MPN yang mendakwa dasar ‘protectorate’ Inggeris sebagai tidak mencabuli kedaulatan negeri Tanah Melayu. PKPIM merasakan kenyataan MPN sebagai keliru dan tidak objektif serta gagal memberi tafsiran lengkap dan memuaskan mengenai konsep ‘kedaulatan negara’.

Ini jelas dalam kenyataannya yang mendakwa bahawa walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara.

Malah, tesis baru MPN ini kelihatan seolah-olah mengiktiraf kerajaan kolonial Inggeris sebagai wira pelindung Tanah Melayu dan menafikan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan tanah air sendiri daripada kerajaan kolonial berkenaan yang memang dikenali dunia sebagai antara kuasa besar penjajah ketika itu.

PKPIM bersetuju dengan Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan dalam karya ilmiah terbaru beliau berjudul Historical Fact and Fiction (2011) bahawa fakta sejarah seharusnya diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira nilai dan saling kaitan antara fakta sejarah sehingga membentuk satu rangkaian kesimpulan bermakna.
PKPIM juga meyakini seseorang sejarawan bukan sekadar mampu mengutip fakta sejarah tetapi juga harus mempunyai kekuatan akliyah bagi mentafsir bahan sejarah dengan mendalam dan tepat.

PKPIM berpandangan kenyataan akhbar yang dibuat MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah. Amat malang bagi negara ini sekiranya ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah.

Sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi seperti mana lazimnya dilaksanakan oleh ilmuwan dan pengkaji sejarah berwibawa.

Justeru, mewakili golongan pelajar dan mahasiswa di Malaysia, PKPIM menuntut MPN menarik balik kenyataan mengelirukan ini dan menghasilkan penulisan ilmiah lengkap dan bernilai akademik dalam mengemukakan tesis mereka berhubung isu ini.

AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN,
Presiden Persatuan Kebangsaan
Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...